Saturday, December 27, 2014

JANGAN MENZALIMI ORANG LAIN
Konsep zalim dalam Islam agak berbeza dari pengertian yang sering kita fahami. Biasanya zalim diertikan sebagai menganiaya, menindas dan menyakiti perasaan seseorang. Namun begitu dalam Islam zalim ialah melatakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Contohnya, jika satu-satu jawatan itu diisi oleh orang yang tidak layak mengisinya maka perbuatan itu adalah zalim. Dalam kontek ini, Islam telah meletakkan garis panduan bagi mengelakkan kezaliman dan menentukan supaya satu-satu beban tugas tidak diletakkan ke atas bahu orang yang bukan ahlinya.

Dalam menjalankan tugas kita sehari-hari, kita mungkin banyak melakukan kezaliman terhadap orang ramai atau orang bawahan. Perbuatan-perbuatan seperti cuai, tidak cekap, berkelakuan tidak sopan dalam pejabat dan sebagainya adalah termasuk dalam kelakuan yang zalim. Dalam memberi khidmat kepada orang ramai kepada orang ramai kita mungkin menzalimi mereka dalam melambat-lambatkan urusan mereka, tidak menyediakan kemudahan-kemudahan yang sepatutnya dan tidak memberi layanan yang baik.

Kezaliman juga boleh berlaku kepada keluarga kita terutama kepada isteri dan anak-anak. Kepada ibu dan bapa. Kepada adik beradik dan sebagainya. Tambahan pula kepada suami yang mempunyai ramai isteri. Kezaliman akan berlaku apabila kita cuai menjalankan tanggungjawab kepada mereka.

Ada diceritakan ketika Abu Ubaidah menjadi Amir di Syam. Beliau pernah memukul dan mencaci peladang di Syam, Maka Khalid telah pergi ke sana dan membuat pertemuan dengan penduduk di Syam. Dalam pertemuan itu beliau (Khalid) ditanya apakah kedatangannya untuk menegur (memarahi) sikap buruk yang dilakukan oleh Gabenor itu?

Kemudian lantas Khalid menjawab; Saya tidak bermaksud untuk menegurnya, memaahinya tetapi saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya azab manusia paling hebat sekali di hari kiamat ialah orang yang paling banyak menyeksa manusia di dunia ini."

Dari kisah di atas dapatlah dijelaskan bahawa betapa pintarnya Khalid mengkritik sikap pemimpin bawahannya yang kurang disenangi oleh rakyat Syam. Disamping itu jawapan yang kemas dan ringkas ini dapat mengelakkan kontravasi antara rakyat dengan pemimpin. Kisah ini juga memaparkan betapa sensitifnya Khalid terhadap sikap buruk Abu Ubaidah yang cuba menzalimi rakyatnya.

Pandangannya dengan nada yang sinis dapat menenangkan suasana dan memberi harapan kepada kalangan yang tertindas bahawa kezaliman yang dilakukan, secara langsung dimurkai Allah. Orang yang melakukan kezaliman itu akan menerima pembalasan di hari akhirat nanti.

"Tiada satu pun dosa yang paling layak disegerakan seksaannya di dunia kepada orang yang melakukan kejahatan, selain daripada apa yang disimpan oleh Allah baginya (penyeksaan) di akhirat, daripada dosa memutuskan silaturrahim dan bersifat khianat, dan pembohong, dan sesungguhnya perbuatan baik yang paling segera dikurniakan pahalanya ialah mengukuhkan silaturrahim sehingga sesuatu golongan keluarga yang bersifat jahat pun masih juga bertambah hartanya dan ramai bilangannya selagi silaturrahim antara mereka."
(Riwayat At-Tabrani)

Thursday, December 25, 2014

SEKALI AIR BAH SEKALI PANTAI BERUBAH?

HIJRAH
Hijrah membawa maksud meninggalkan sesuatu tempat untuk pergi ke suatu tempat yang lain. Hijrah boleh membawa maksud perpindahan, pertukaran dan juga perubahan. Ia bergantung kepada situasi bagaimana ianya berlaku. Hijrah boleh berlaku sama ada penghijrahan rohani atau penghijrahan jasmani. Hijrah boleh berlaku dalam bentuk arahan, paksaan dan boleh juga berlaku atas kehendak diri sendiri.

Setiap awal tahun sama ada Tahun Hijrah atau Tahun Masihi, manusia sering berjanji untuk berhijrah. Dalam konsep ini, manusia berjanji untuk melakukan perubahan (hijrah) dalam bentuk keazaman. Semesti kita mendengar orang lain atau diri kita sendiri berazam melakukan hijrah melalui tekad dan keazaman dari yang negatif kepada yang positif. Persoalannya, apakah kita telah berjaya melaksanakan tekad dan keazaman itu?

Hijrah dalam diri merupakan hijrah rohani. Hijrah rohani perlu dilakukan untuk membentuk diri lebih mendekati dengan Pencipta. Hijrah rohani ini memerlukan pengorbanan yang tinggi. Terbentuk melalui keinsafan atau paksaan dalam diri. Hijrah diri akan membentuk diri yang lebih baik. Yang lebih positif. Yang lebih mulia dan yang lebih berjaya.

Hijrah jasmani boleh berlaku atas kehendak diri sendiri juga atas kehendak orang lain. Ianya bergantung kepada situasi hijrah itu berlaku. Hijrah dari luar bandar ke bandar boleh berlaku untuk mendapat keselesaan atau meningkatkan taraf kehidupan. Terdapat banyak peluang di bandar akan menyebabkan berlaku penghijrahan. Umpamanya peluang-peluang pekerjaan dan kemudahan asas yang baik.

Begitu juga adanya berlaku berhijrah dari bandar ke luar bandar. Terdapat juga manusia akan lebih selesa berada di luar bandar. Mereka yang berhijrah dari bandar ke luar bandar selalunya memerlukan ketenangan dalam kehidupan meskipun terdapat banyak kekurangan di luar bandar.

Arahan pertukaran boleh dikaitkan dengan hijrah dalam bentuk arahan. Sering berlaku sama ada kepada penjawat awam mahu pun swasta. Arahan pertukaran boleh berlaku untuk kenaikan pangkat. Hijrah (pertukaran) ini adalah untuk mengisi kekosongan atau pun pengisian jawatan baru. Terdapat juga arahan pertukaran ini berbentuk pertukaran setara. Ia berlaku sebagai pengisian kekosongan.

Hijrah dalam bentuk paksaan berlaku atas dua situasi. Hijrah terpaksa atau hijrah dipaksa. Lari ke negara lain untuk mendapat perlindungan politik adalah merupakan hijrah terpaksa. Hijrah ini terpaksa dilakukan disebabkan tindakan-tindakan dilakukan dan juga ancaman-ancaman yang diterima.

Hijrah dipaksa berlaku kepada mereka yang kononnya melakukan pencerobohan tanah. Mereka mendirikan kediaman di satu kawasan. Setelah begitu lama menetap tiba-tiba mereka dipaksa pindah (hijrah) dengan alasan kawasan itu adalah dimiliki seseorang atau syarikat. Persoalannya, mengapa sebelum ini tiada sesiapa pun yang mengaku memiliki tanah tersebut?

Kita akan berada dalam tahun 2015 tidak berapa lama lagi. Apakah akan berlaku penghijrahan kepada diri kita? Apakah kita akan memulakan azam yang baru tahun demi tahun? Apakah kita akan dalam situasi yang lebih baik? Apakah kita akan berada dalam situasi yang sama? Berusaha, berdoa dan bertawakkal adalah terbaik kepada kita.

"Ya Allah, jadikan tahun ini lebih baik kepada hamba-Mu ini dari tahun sebelumnya dan jadikan tahun akan datang lebih baik kepada hamba-Mu ini dari tahun ini."

Wednesday, December 24, 2014

ILMU PEMBIMBING KE JALAN YANG LURUS

Kepentingan berilmu ini telah ditegaskan oleh Alah s.w.t. dengan firmannya yang bermaksud:
"Adakah dapat disamakan orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?"
(Az-Zumar : 9)

Untuk menjadi seorang pentadbir yang cekap dan berjaya, seseorang individu itu perlu mempunyai ilmu dan kemahiran bekerja yang secukupnya. Untuk mencapai ke tahap ini, seseorang pekerja itu perlulah menambahkan ilmu pengetahuan masing-masing dari masa ke semasa, Lebih-lebih lagi ilmu yang berteraskan Islam.

Sejarah telah membuktikan nilai-nilai yang dipakai oleh negara-negara maju melalui displin-disiplin ilmu yang tidak mengikut keutamaan ilmu dalam Islam yang membawa negara-negara berkenaan ke dalam kancah keruntuhan moral, adat susila dan krisis nilai. Ilmu dalam Islam ini membentuk orang yang berilmu itu takut kepada Allah seperti dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Sebenarnya yang menaruh bimbang dab takut (melangga perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu".
(Al-Fatir : 28)

Bagi mengembalikan nilai-nilai Islam, maka kita (pentadbir) seharusnya mengambil langkah memberi keutamaan mempelajari ilmu-ilmu Islam dan seterusnya diamalkan di dalam kehidupan pekerjaan pekerjaan sehari-hari. Jika ini dapat dipraktikkan, insya-Allah akan lahirlah pentadbir, pengurus dan pekerja yang cekap da tidak menyalahgunakan kecekapan itu sehingga tergeincir dari landasan yang diredhai oleh Allah s.w.t.

Cara yang agak mudah untuk menambah ilmu ialah dengan membaca. Dewasa ini banyak bahan-bahan bacaan yang senang diperolehi. Melalui bacaan buku-buku malahan melalui bacaan bahan-bahan dari internet.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang diketahuinya."
(Al-Alaq: 1 - 5)

BERBUAT BAIK KEPADA SEMUA

BERBUAT BAIK
Bagi mendapatkan pahala mengikut peraturan Islam, cukup mudah. Bukannya setakat mengamalkan kerja yang disuruh atau meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah sahaja yang diberi pahala, akan tetapi menunjukkan orang supaya berbuat baik atau memberi contoh, membimbing, menasihati dan mengingati orang lain kepada kebaikan juga adalah dikira sebagai ibadah yang akan diberi pahala.

Kebaikan di sini termasuklah kebaikan dalam kedua-dua unsur dunia dan akhirat. sebagai contoh, jika seseorang pegawai baru, kita bimbing supaya cekap dan amanah, maka selagi pegawai berkenaan mengamalkan perkara tersebut bagi tujuan kebaikan, selama itulah pahala dari perbuatan baiknya akan datang kepada kita. Begitulah juga sebaliknya. Dengan demikian, perbuatan baik adalah sentiasa dituntut oleh Islam.

Terdapat sebuah cerita yang boleh menjadi kisah dan teladan kepada kita. Cerita mengenai balasan Allah terdapat manusia yang berbuat baik terhadap seekor haiwan. Kisah tersebut adalah seorang lelaki sedang berjalan di sebatang jalan. Ia berasa terlalu dahaga. Dalam perjalanannya itu, lelaki tersebut terjumpa dengan sebuah perigi. Ia mengambil air dari perigi tersebut dan meminumnya sehingga hilang dahaga.

Tiba-tiba ia ternampak seekor anjig yang dalam kehausan sambil menjilat-jilat tanah yang lembab. Lelaki itu berkata, "Sungguh dahaga anjing ini sebagaimana dahaganya aku tadi." Lalu lelaki itu mengambil air dari perigi itu dengan kasutnya dan memberi minum anjing tersebut. Allah mengucapkan syukur kepadanya dan mengampuni dosanya.

Para sahabat Nabi s.a.w. bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah kerana menolong binatang pun kita mendapat pahala? Baginda Rasulullah s.a.w. menjawab, "Pada tiap-tiap binatang yang mempunyai hati yang basah ada pahala kerana menolongnya." Begitulah kisah di atas adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Sunday, December 21, 2014

ADIL DALAM SEMUA KEADAAN

ADIL
Adil mengandungi pengertian yang sangat luas meliputi segala aspek kehidupan manusia. Walaupun demikian dapatlah dirumuskan sebagai berikut: "Adil ialah memberikan kepada yang berhak akan haknya mengikut kadar masing-masing". Ulamak-ulamak telah membahagikan adil itu kepada beberapa bahagian iaitu adil terhadap diri sendiri, adil terhadap orang bawahan, adil terhadap orang atasan, adil terhadap saudara mara, adil terhadap rakan sejawat dan adil terhadap semua pihak.

Sesuatu keputusan yang adil, akan dapat diterima oleh hati nurani manusia dengan tenang dan aman. Sebaliknya pula, keputusan yang tidak adil atau zalim, manusia akan menerima dengan protes dan penentangan. Sebagai contoh, seorang suami yang tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya, suami tersebut akan diprotes oleh isterinya yang merasa dirinya dizalimi. Keadaan seperti ini mungkin membawa kepada suasana tidak aman dan tenteram di dalam rumah tangga atau mungkin akan membawa keretakan dalam rumah tangga itu.

Demikian juga halnya pemimpin masyarakat, pemimpin negara atau hakim yang tidak melaksanakan keadilan terhadap rakyat akan diprotes atau ditentang oleh rakyat dan jika hal ini berlaku, keselamatan masyarakat dan negara akan tergugat. Demikianlah betapa pentingnya keadilan itu diterap dan diwujudkan ke dalam masyarakat demi untuk ketenteraman dan keselamatan masyarakat dan negara.

Ali bin Abi Taib berkata:
"Negara itu adalah taman. Undang-undang (Syariat Islam) adalah pagarnya. Undang-undang itu ialah kekuasaan yang wajib ditaati. Kepatuhan rakyat kepada undang-undang menjadi teguhnya pemerintah. Pemimpin negara adalah pengawal yang wajib dibantu oleh tentera-tentera yang kuat. Tentera-tentera itu wajib ditanggung makan minumnya dengan sempurna dari Perbendaharaan Negara. Perbendaharaan Negara adalah dkumpulkan dari harta rakyat jelata, maka golongan rakyat itu hanya dapat ditundukkan di bawah undang-undang adil. Oleh yang demikian, keadilan menjadi sendi kekuatan sesuatu negara (masyarakat)".

Saturday, December 20, 2014

TEKUN KERJA KUNCI KEJAYAAN

TEKUN BEKERJA/DEDIKASI
Banyak pekerjaan yang dilakukan oleh manusia tetapi bukan semuanya dianggap sebagai sempurna. Setiap pekerjaan yang dijalankan dengan tidak sempurna akan merugikan bukan sahaja diri sendiri tetapi juga orang lain.

Oleh itu, tiap-tiap orang perlulah berusaha dan sudah pasti setiap hasil yang diperolehi itu mengikut sebanyak mana usaha yang telah dibuat. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:-
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (baasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakan."
(An-Najm: 39)

Islam menekankan supaya seseorang itu sentiasa mengekalkan usaha-usaha yang baik kerana dengan demikian ia boleh meninggalkan kesan yang positif kepada semua pihak. Sesungguhnya tekun adalah asas bagi menghasilkan prestasi dan mutu kerja yang tinggi selaras dengan maksud hadis Rasulullah s.a.w. bahawa Allah s.w.t. suka kepada orang yang dapat membuat kerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

Setiap kerja yang dilakukan mestilah mengikut aturan atau tertib. Ini untuk mengelakkan berlakunya pertindihan dalam sesuatu kerja yang boleh menyusahkan orang lain. Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud:-
"Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)."
(Al-Insyirah: 7)

Setiap pekerja yang tekun akan sentiasa melaksanakan tugas-tugasnya dengan bersungguh-sungguh pada setiap masa dan sentiasa suka kepada kerjanya tanpa rasa jemu atau kecewa. Dalam masa kerja dia akan sentiasa memberi perhatian dan penelitian terhadapnya tanpa leka dan lalai. Dia juga akan berusaha mengatasi sebarang masalah dengan bersungguh-sungguh sama ada secara berseorangan atau secara berkumpulan.

SUNGAI SIPUT - LEKIR - TELUK INTAN - SUNGAI SIPUT

Pada 13 Disember 2014, buat pertama kalinya teman pergi tiga kenduri sorang-sorang. Ini disebabkan yang lain bersedia untuk pergi kenduri di Lekir, Sitiawan. Kenduri di Lekir adalah perkahwinan anak sahabat teman yang sama-sama pergi menunaikan umrah bulan Mac dulu. Kawan teman pergi sekeluarga tiga orang dan teman pulak sekeluarga empat orang.

Meriah jugak kenduri kawan teman itu. Maklumlah kenduri pertama dan anak sulung pulak. Dah ramai kekawann teman yang udah menerima menantu. Ader jugak kekewan teman yang udah menimang cucu. Hidup demer ler nih udah dikelilingi cucu-cucu. Seronok juge agaknyer bila udah ada cucu. Dalam hal ini idak ler teman tahu, idak ader pengalaman lagi.

Lepas ajer kenduri kawan teman tu. Masa sembahyang asar kat masjid di situ, teringat pulak teman nak ziarah kawan teman yang udah bersara. Udah lama kawan teman itu idak jumpa. Jadi teman pun telefon nak pastikan dia ada kat rumah. Seronok bebenor kawan teman tu bila dengar teman nak pegi rumahnya.

Kawan teman itu rupanya telah lama mengidap kencing manis. Kasihan kawan teman tu. Kaki kanannya pun telah dipotong. Kawan teman tu nasihatkan teman agar jangan merokok lagi. Alhamdulillah, teman pun udah lama berhenti jadi penagih rokok. Kalau dedulu teman ngisap rokok dua kotak sari. Kotak yang 20 batang pulak tuh. Nasib baik boleh berhenti.

Lama juga kami bersembang. Akhirnya teman minta diri sebab nak balik Sungai Siput. Dalam perjalanan pulang tu teman sempat nginggah kat pekan Teluk Intan. Nama lamanyer Teluk Ensen. Nama lagi lama Teluk Mak Intan. Jadi, teman pun merayau-rayau di pasar malam Teluk Ensen. Maka teringatler zaman bujang dulu ketika berada di Teluk Ensen.

HIDUP PENUH KESEDERHANAAN

SEDERHANA
Kesederhanaan merupakan satu sikap yang menolak keterlaluan sama ada keterlaluan dalam menetapkan sesuatu peraturan,perbelanjaan atau sebagainya. Disamping itu, keterlaluan membahayakan perkembangan dan kemajuan sesuatu umat.

Sederhana mengikut ajaran Islam adalah perseimbangan dalam memenuhi tuntutan keduniaan dan tuntutan akhirat secara bersepadu menurut Islam. Mereja yang mengamalkan satu-satu ajaran Islam secara keterlaluan dan membabi buta sehingga melebihi kehendak ajaran-ajaran Islam itu sendiri adalah dianggap pelampau agama yang bercanggah dengan ajaran dan nilai kesederhanaan dalam Islam.

Dalam tugas sehari-hari sikap sederhana dalam bercakap, mengeluarkan arahan, bergaul, berpakaian yang sopan dan lain-lain adalah sangat penting bagi menambah kecekapan sesuatu organisasi. Perbuatan-perbuatan seperti melambat-lambatkan kerja, ponteng kerja dan melanggar disiplin pejabat tidaklah boleh dibiiaran kerana ini bukan dinamakan sederhana lagi. Orang yang bersalah mesti dihukum kerana hukuman yang sewajarnya boleh dijatuhkan ke atas pelaku-pelaku kesalahan

Wednesday, December 17, 2014

TUNAIKANLAH TANGGUNGJAWAB

BERTANGGUNGJAWAB

Bertanggungjawab merupakan salah satu kunci kejayaan dalam pengurusan. Setiap orang perlu bertanggungjawab terhadap setiap kerja yang dilakukan. Kesedaran kepada rasa tanggungjawab ini akan mengikis perbuatan "melontar batu sembunyi tangan".

Dalam sesuatu operasi, semua anggota kumpukan operasi tersebut mempunyai tanggungjawab masing-masing. Pemimpin bertanggungjawab terhadap yang dipimpin. Tanpa rasa tanggungjawab yang mendalam dikalangan pegawai dan kakitangan awam akan menyebabkan orang ramai mendapat kesusahan dari kelewatan perkhidmatan yang terjadi akibat perbuatan melalaikan tanggungjawab pegawai tersebut.

Selain dari itu penyelewengan-penyelewengan seperti penyalahgunaan keistimewaan kepegawaian dan peralatan pejabat untuk tugas peribadi serta perbuatan rasuah juga adaah akibat lenyapnya rasa tanggungjawab seseorang pegawai.

Sunday, December 14, 2014

BERSYUKUR TERHADAP APA YANG ADA

BERSYUKUR
Setiap manusia mempunyai berbagai-bagai pemberian (nikmat) dari Allah s.w.t. Pemberian-pemberian asas yang biasanya diperolehi oleh setiap orang ialah kesihatan, penglihatan, pendengaran dan berbagai-bagai lagi pemberian semula jadi yang diberikan oleh Allah s.w.t. Selain daripada itu sebagai seorang anggota masyarakat sudah tentu ia memperolehi beberapa kemudahan yang jika dihitung maka sudah tentu ia akan mendorong seseorang itu bersyukur atau berterima kasih.

Sikap suka berterima kasih dapat memberikan kesedaran tentang banyaknya sumbangan yang diperolehi daripada orang lain dan kerana itu sebagai seorang yang telah menerima nikmat dan pemberian, maka adalah wajar ia mengucapkan syukur. Rasa kesyukuran yang dilafazkan itu boleh menggerakkan seseorang itu untuk melipatgandakan usahanya dalam sesuatu bidang pekerjaan.

Sikap bersyukur ini amat penting dimiliki oleh semua anggota perkhidmatan awam. Dengan adanya perasaan syukur terhadap nikmat kerja yang diberikan oleh Allah s.w.t. ini akan menjadikan kita tabah menghadapi sebarang pekerjaan. Tidak mudah mengeluh, gelisah atau naik radang terhadap masalah-masalah yang dihadapi. Juga, tidak menunjukkan reaksi yang negatif kepada setiap perkara yang tidak menyenangkan dalam pekerjaannya.

Saturday, December 13, 2014

UTAMAKAN KEBERSIHAN

BERSIH
Kebersihan merupakan satu ciri yang perlu wujud dalam kehidupan manusia yang menjalankan semua urusan. Ia merangkumi aspek rohani dan jasmani. Islam menekankan kebersihan pakaian, bangunan dan kawasan; juga bersih dalam urusan-urusan pemilikan harta dan pentadbiran. Konsep kebersihan yang menyeluruh ini merupakan salah satu nilai yang sangat penting untuk diamalkan kerana dari kebersihan ini akan terbentuklah persekitaran dan masyarakat yang sihat.

Pegawai yang menjalankan segala urusannya dengan bersih sudah tentu akan dihormati dan disegani. Sebaliknya pegawai yang rasuah, mementingkan diri dan sebagainya akan dipandang jijik dan hina. Dari segi fizikal pula kebersihan sangat diperlukan. Ia dapat menjauhkan penyakit dan menyenangkan mata memandang. Ada tempat kerja memerlukan tahap kebersihan yang sangat tinggi untuk memastikan hasil yang memuaskan seperti bilik makmal bahan radioaktif, bilik-bilik makmal yang lain, bilik rawatan dan sebagainya.

Kerja-kerja pejabat seperti penyediaan laporan, minit mesyuarat, kerja-kerja percetakan juga seharusnya dilaksanakan dengan bersih dan kemas. Keadaan ini boleh membantu meninggikan produktiviti kerana suasana pejabat yang kotor dan kerja-kerja yang tidak kemas boleh membuntukan fikiran dan menganggu kelancaran kerja.

Kesimpulannya, kebersihan dalam semua aspek adalah sangat-sangat diperlukan bagi semua kumpulan pekerja yang ingin berjaya.

BERDISIPLIN MEMBENTUK KEYAKINAN DIRI

BERDISIPILIN
Agama Islam telah menentukan beberapa amalan fardu yang melatih bukan sahaja aspek-aspek fizikal tetapi juga kejiwaan. Kesemua amalan tersebut adalah diasaskan kepada disiplin tertentu yang mesti dipatuhi apabila sesuatu kerja djalankan. Contohnya apabila kita hendak mengerjakan sembahyang maka ia hanya boleh dilakukan pada waktu-waktu tertentu sahaja. Boleh dikatakan seluruh isi al-Quran mengandungi perintah-perintah dan larangan-larangan yang merupakan disiplin. Ini menunjukkan bahawa manusia tidak boleh melepaskan dirinya daripada disiplin dan sebaliknya kehidupan tanpa disiplin akan berakhir dengan huru-hara dan kacau bilau.

Dalam tugas sehari-hari di pejabat-pejabat, patuh kepada disiplin sangatlah penting. Tanpa disiplin, tugas-tugas akan menjadi kacau bilau dan kerja tidak selesai. Arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak atasan hendaklah dipatuhi oleh anggota bawahan. Sikap hormat menghormati antara sesama pekerja dan pegawai-pegawai akan menambah kemesraan dalam jabatan dan meningkatkan semangat untuk mematuhi disiplin pejabat.

kepatuhan terhadap disiplin menjadi sangat penting kepada pekerja-pekerja dan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam semua bidang khususnya dalam bidang-bidag yang sensitif seperti menjaga rahsia kerajaan dan mengendalikan makmal-makmal perubatan serta bahan-bahan kimia yang merbahaya. Pendek kata disiplin sangat penting dalam semua hal.

Wednesday, December 10, 2014

BERBUDI MULIA AMALAN KITA

BERBUDI MULIA
Keindahan dalam msayarakat manusia ialah kerana adanya budi mulia. Kemuliaan budilah yang membezakan manusia dari kehidupan yang liar. Berbudi bukanlah suatu yang dapat dibuat-buat. Ia merupakan hasil terakhir dari pembentukan peribadi dan jiwa sejak kecil lagi.

Oleh itu, untuk melahirkan pekerja-pekerja yang berbudi mulia bukanlah mudah. Ia memastikan usaha giat dilakukan bagi membentuk peribadi tersebut. Antara caranya ialah dengan memberi ceramah-ceramah agama dan pendidikan moral kepada pekerja tersebut. Berbudi mulia yang meliputi aspek-aspek pertuturan, tingkah laku, pakaian, tindak tanduk dan cara melayan tetamu sangatlah penting dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai. Orang ramai berharapkan perkhidmatan yang mesra dari pegawai-pegawai tersebut kelak akan dianggap oleh orang ramai sebagai sikap kerajaan terhadap rakyat.

Oleh itu, sikap positif, lemah lembut dan berbudi bahasa dalam melayan orang ramai ketika memberi perkhidmatan sangat penting dan menjadi suatu kewajipan. Dalam perkhidmatan kesihatan pula sikap budi mulia dan lemah lembut jururawat atau doktor menjadi ubat yang mujarab kepada pesakit yang sedang menderita.

Sunday, December 7, 2014

BEKERJASAMA SIFAT TERPUJI

BEKERJASAMA
Islam amat menggalakkan umatnya supaya bekerja dengan penuh muhibbah, kasih sayang dan kemesraan. Situasi begitu perlu wujud diantara pekerja dengan pekerja dan pekerja dengan majikan di dalam semua jenis lapangan perkhidmatan, asalkan ia tidak melanggar hukum-hukum syarak. Sebagai contoh ialah apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para Khalifah Al-Rasyidinsemasa menjalankan pentadbiran dalam masyarakat berbilang kaum dan agama yang telah dapat melahirkan kerjasama, tolong menolong dan kasih sayang yang amat erat di kalangan mereka.

Hubungan sesama manusia dalam menjalankan semua jenis perkhidmatan untuk kebajikan bersama adalah diberi nilai yang tinggi, dan bagi orang Islam ianya dianggap sebagai satu ibadah. Oleh itu, tolong menolong melakukan kebaikan adalah sangat-sangat digalakkan manakala tolong menolong melakukan kejahatan adalah dilarang sama sekali.

Allah berfirman yang bermaksud;
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan."
(Al-Maidah: 2)

Kita perlu ingat bahawa melalui kerjasama atau tolong menolong, setiap orang dijanji ganjaran yang berpanjangan iaiu untuk setiap pertolongan yang diberikannya. Tolong menolong yang dilakukan mestilah ke arah kebaikan bukannya ke arah kejahatan. Tolong menolong wajar dilakukan dengan dimulakan antara saudara mara. Ini diikuti rakan sejawat, jiran tetangga, masyarakat setempat dan seterusnya yang lebih luas lagi iaitu sesama manusia.

Terdapat juga hadis yang menekan kerjasama ini iaitu saling bantu membantu dalam sesebuah masyarakat yang bermaksud;
"Hubungan orang mukmin dengan orang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan di antara satu sama yang lain."
(Riwayat At-Tabrani)

Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. telah berlaku satu peperangan antara orang-orang Islam dan orang-orang Kafir di sekitar Kota Madinah. Peperangan yang dikenali sebagai perang "Ahzab" berlaku pada bulan Syawal tahun 5 Hijrah. Peperangan ini juga dikenali sebagai perang "Khandak" yang bermaksud parit. Inilah strategi perang yang digunakan oleh orang-orang Islam iaitu dengan menggali sebuah parit di sekitar Kota Madinah.

Melalui kerjasama, mereka telah berjaya menggali sebuah parit yang dalam dan lebar di sebelah utara Kota Madinah. Umat Islam berganding bahu melaksanakan tugas yang diusulkan oleh Salman Al-Farisi ini. Tanggungjawab menggalikan parit ini telah dipikul bersama oleh umat Islam. Akhirnya melalui kerjasama yang erat dan jitu itu kemenangan telah berpihak kepada musliman.

Masa kini semangat bekerjasama telah mula luntur. Kita lihat, masa dulu, kenduri kendara seluruh masyarakat akan berganding bahu tetapi sekarang banyak tertumpu kepada katering-katering. Masa dulu untuk mengadakan kenduri, keliling rumah didirikan "balai" dan "lepas" sekarang ini penuh dengan khemah-khemah pasang siap. Malahan, ramai lebih berminat mengadakan kenduri kendara di dewan-dewan atau pun di hotel-hotel.

Tahniah kerana masih ada masyarakat yang masih mengekal usaha kerjasama atau gotong royong dalam menjayakan sesuatu program. Mungkin tempat-tempat yang tiada lagi gotong royong tersebut disebabkan kerjasama tiada lagi diperlukan di situ atau kerjasama hanya berlaku dalam program-program tertentu sahaja.

Saturday, December 6, 2014

TUNAIKAN AMANAH YANG DIBEGHI

Semalam teman try nuleh berkaitan ngan amanah. Boleh ler sikit-sikit tapi idakler secagher terghinci pun. Teman nuleh tuh ader sebabnye. Lebih-lebih lagi teman ngucap syukur dan teghimer kaseh pade Allah. Result UPSR 2014 sekolah tempat teman caghi makan meningkat pencapaiannyer. Tawon ini sekolah tempat teman keghojer pencapaian kuantiti (lulus sememe mater pelajaghan sebanyak 88.9%,kuantitinyer pulak 16.7% manerkaler Gred Pughater Sekolah (GPS) dapat 1.90 dan sekolah ini bukan penyebab kemeghosotan pencapaian daeghah teman.

Aper yang penting maser teman ngan kekawan buat analisa, salah satu sikap yang perlu ader ialah amanah. Betui gak yer. Biler kita telah diamanahkan maker kita janganler pulak khianati amanah itu. Biler kita telah diamanahkan maker kita janganler pulak lakukan kepada yang berhak. Yang berhak di sini ialah anak mughid. Anak-anak mughid sememenyer amnyer dan anak mughid yang nak ngambik UPSR khasnyer.

Biler amanah yang dibeghi atau dipikul oleh cikgu-cikgu telah ditunaikan maker begherti kiter telah menyempurnakan amanah. Biler amanah telah ditunaikan maker begherti amanah itu tidak dikhianati. Biler amanah telah ditunaikan maker begherti amanah itu telah diserahkan pader berhak. Sesungguh Allah memang suka kepada hambaNyer yang amanah. Ituler antagher sebabnyer sekolah tempat teman ngajor dapat keputusan yang boleh dianggap cemegholang.

AMANAH

Amanah merupakan suatu perkara yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia menentukan masa hadapan sesebuah masyarakat. Semua peranan yang dimainkan oleh setiap individu berkisar di sekitar amanah yang telah diletakkan ke atas dirinya. Manusia tidak boleh melepaskan dirinya dari menunaikan amanah yang telah dibebankan kepadanya oleh kehendak-kehendak kehidupan.

Salah satu daripadanya ialah urusan-urusan pentadbiran yang merupakan satu urusan yang mesti dipelihara dan dikawal tapa dicemari oleh unsur-unsur yang merosakkan. setiap orang adalah bertanggungjawab untuk memperbaiki sebarang kerosakan yang berlaku dalam urusan pentadbiran kerana itu adalah amanah yang dipikulkan kepadanya. Setiap orang mesti menunaikan amanah kepada Tuhannya, dirinya, keluaganya, majikannya, masyarakatnya dan negaranya.

Amanah mesti ditunaikan. Oleh itu setiap individu mesti menunaikan amanah yang telah diberikan kepadanya. Ini dijelaskan lagi melalui firman Allah S.W.T yang bermaksud; "Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat saksi, dan barang gadaian) maka hendaklah orag (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya." (Al-Baqarah: 283)

Telah diterangkan bahawa setiap individu itu mempunyai amanah yang tidak sekali-kali diengkari atau dikhianati. Mengkhianati amanah Allah dan rasul-Nya seringkali dilakukan oleh seseorang itu. Kita telah mengkhianati amanah tersebut apabila meninggalkan suruhan-Nya dan melanggar larangan-Nya.

Mengkhianati amanah sesama manusia pula ialah tidak memenuhi sesuatu yang telah diamanahkan sama ada yang berupa harta benda, rahsia atau sebagainya. Disamping itu, setiap amanah mestilah diserahkan kepada ahlinya iaitu kepada orang yang paling layak sesuai dengan ilmu, akhlak, kepakaran dan keupayaannya.