Thursday, December 25, 2014

SEKALI AIR BAH SEKALI PANTAI BERUBAH?

HIJRAH
Hijrah membawa maksud meninggalkan sesuatu tempat untuk pergi ke suatu tempat yang lain. Hijrah boleh membawa maksud perpindahan, pertukaran dan juga perubahan. Ia bergantung kepada situasi bagaimana ianya berlaku. Hijrah boleh berlaku sama ada penghijrahan rohani atau penghijrahan jasmani. Hijrah boleh berlaku dalam bentuk arahan, paksaan dan boleh juga berlaku atas kehendak diri sendiri.

Setiap awal tahun sama ada Tahun Hijrah atau Tahun Masihi, manusia sering berjanji untuk berhijrah. Dalam konsep ini, manusia berjanji untuk melakukan perubahan (hijrah) dalam bentuk keazaman. Semesti kita mendengar orang lain atau diri kita sendiri berazam melakukan hijrah melalui tekad dan keazaman dari yang negatif kepada yang positif. Persoalannya, apakah kita telah berjaya melaksanakan tekad dan keazaman itu?

Hijrah dalam diri merupakan hijrah rohani. Hijrah rohani perlu dilakukan untuk membentuk diri lebih mendekati dengan Pencipta. Hijrah rohani ini memerlukan pengorbanan yang tinggi. Terbentuk melalui keinsafan atau paksaan dalam diri. Hijrah diri akan membentuk diri yang lebih baik. Yang lebih positif. Yang lebih mulia dan yang lebih berjaya.

Hijrah jasmani boleh berlaku atas kehendak diri sendiri juga atas kehendak orang lain. Ianya bergantung kepada situasi hijrah itu berlaku. Hijrah dari luar bandar ke bandar boleh berlaku untuk mendapat keselesaan atau meningkatkan taraf kehidupan. Terdapat banyak peluang di bandar akan menyebabkan berlaku penghijrahan. Umpamanya peluang-peluang pekerjaan dan kemudahan asas yang baik.

Begitu juga adanya berlaku berhijrah dari bandar ke luar bandar. Terdapat juga manusia akan lebih selesa berada di luar bandar. Mereka yang berhijrah dari bandar ke luar bandar selalunya memerlukan ketenangan dalam kehidupan meskipun terdapat banyak kekurangan di luar bandar.

Arahan pertukaran boleh dikaitkan dengan hijrah dalam bentuk arahan. Sering berlaku sama ada kepada penjawat awam mahu pun swasta. Arahan pertukaran boleh berlaku untuk kenaikan pangkat. Hijrah (pertukaran) ini adalah untuk mengisi kekosongan atau pun pengisian jawatan baru. Terdapat juga arahan pertukaran ini berbentuk pertukaran setara. Ia berlaku sebagai pengisian kekosongan.

Hijrah dalam bentuk paksaan berlaku atas dua situasi. Hijrah terpaksa atau hijrah dipaksa. Lari ke negara lain untuk mendapat perlindungan politik adalah merupakan hijrah terpaksa. Hijrah ini terpaksa dilakukan disebabkan tindakan-tindakan dilakukan dan juga ancaman-ancaman yang diterima.

Hijrah dipaksa berlaku kepada mereka yang kononnya melakukan pencerobohan tanah. Mereka mendirikan kediaman di satu kawasan. Setelah begitu lama menetap tiba-tiba mereka dipaksa pindah (hijrah) dengan alasan kawasan itu adalah dimiliki seseorang atau syarikat. Persoalannya, mengapa sebelum ini tiada sesiapa pun yang mengaku memiliki tanah tersebut?

Kita akan berada dalam tahun 2015 tidak berapa lama lagi. Apakah akan berlaku penghijrahan kepada diri kita? Apakah kita akan memulakan azam yang baru tahun demi tahun? Apakah kita akan dalam situasi yang lebih baik? Apakah kita akan berada dalam situasi yang sama? Berusaha, berdoa dan bertawakkal adalah terbaik kepada kita.

"Ya Allah, jadikan tahun ini lebih baik kepada hamba-Mu ini dari tahun sebelumnya dan jadikan tahun akan datang lebih baik kepada hamba-Mu ini dari tahun ini."

2 comments:

Mar Mansor said...

tulah beberapa hari je lagi..semoga tahun hadapan dapat dihadapi dengan lebih baik

amalhaj said...

2014 bertukar kepada 2015, begitu juga pertukaran tempat kerja sama juga hijrah.....