Saturday, December 6, 2014

AMANAH

Amanah merupakan suatu perkara yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia menentukan masa hadapan sesebuah masyarakat. Semua peranan yang dimainkan oleh setiap individu berkisar di sekitar amanah yang telah diletakkan ke atas dirinya. Manusia tidak boleh melepaskan dirinya dari menunaikan amanah yang telah dibebankan kepadanya oleh kehendak-kehendak kehidupan.

Salah satu daripadanya ialah urusan-urusan pentadbiran yang merupakan satu urusan yang mesti dipelihara dan dikawal tapa dicemari oleh unsur-unsur yang merosakkan. setiap orang adalah bertanggungjawab untuk memperbaiki sebarang kerosakan yang berlaku dalam urusan pentadbiran kerana itu adalah amanah yang dipikulkan kepadanya. Setiap orang mesti menunaikan amanah kepada Tuhannya, dirinya, keluaganya, majikannya, masyarakatnya dan negaranya.

Amanah mesti ditunaikan. Oleh itu setiap individu mesti menunaikan amanah yang telah diberikan kepadanya. Ini dijelaskan lagi melalui firman Allah S.W.T yang bermaksud; "Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat saksi, dan barang gadaian) maka hendaklah orag (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya." (Al-Baqarah: 283)

Telah diterangkan bahawa setiap individu itu mempunyai amanah yang tidak sekali-kali diengkari atau dikhianati. Mengkhianati amanah Allah dan rasul-Nya seringkali dilakukan oleh seseorang itu. Kita telah mengkhianati amanah tersebut apabila meninggalkan suruhan-Nya dan melanggar larangan-Nya.

Mengkhianati amanah sesama manusia pula ialah tidak memenuhi sesuatu yang telah diamanahkan sama ada yang berupa harta benda, rahsia atau sebagainya. Disamping itu, setiap amanah mestilah diserahkan kepada ahlinya iaitu kepada orang yang paling layak sesuai dengan ilmu, akhlak, kepakaran dan keupayaannya.

No comments: