Sunday, December 7, 2014

BEKERJASAMA SIFAT TERPUJI

BEKERJASAMA
Islam amat menggalakkan umatnya supaya bekerja dengan penuh muhibbah, kasih sayang dan kemesraan. Situasi begitu perlu wujud diantara pekerja dengan pekerja dan pekerja dengan majikan di dalam semua jenis lapangan perkhidmatan, asalkan ia tidak melanggar hukum-hukum syarak. Sebagai contoh ialah apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para Khalifah Al-Rasyidinsemasa menjalankan pentadbiran dalam masyarakat berbilang kaum dan agama yang telah dapat melahirkan kerjasama, tolong menolong dan kasih sayang yang amat erat di kalangan mereka.

Hubungan sesama manusia dalam menjalankan semua jenis perkhidmatan untuk kebajikan bersama adalah diberi nilai yang tinggi, dan bagi orang Islam ianya dianggap sebagai satu ibadah. Oleh itu, tolong menolong melakukan kebaikan adalah sangat-sangat digalakkan manakala tolong menolong melakukan kejahatan adalah dilarang sama sekali.

Allah berfirman yang bermaksud;
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan."
(Al-Maidah: 2)

Kita perlu ingat bahawa melalui kerjasama atau tolong menolong, setiap orang dijanji ganjaran yang berpanjangan iaiu untuk setiap pertolongan yang diberikannya. Tolong menolong yang dilakukan mestilah ke arah kebaikan bukannya ke arah kejahatan. Tolong menolong wajar dilakukan dengan dimulakan antara saudara mara. Ini diikuti rakan sejawat, jiran tetangga, masyarakat setempat dan seterusnya yang lebih luas lagi iaitu sesama manusia.

Terdapat juga hadis yang menekan kerjasama ini iaitu saling bantu membantu dalam sesebuah masyarakat yang bermaksud;
"Hubungan orang mukmin dengan orang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan di antara satu sama yang lain."
(Riwayat At-Tabrani)

Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. telah berlaku satu peperangan antara orang-orang Islam dan orang-orang Kafir di sekitar Kota Madinah. Peperangan yang dikenali sebagai perang "Ahzab" berlaku pada bulan Syawal tahun 5 Hijrah. Peperangan ini juga dikenali sebagai perang "Khandak" yang bermaksud parit. Inilah strategi perang yang digunakan oleh orang-orang Islam iaitu dengan menggali sebuah parit di sekitar Kota Madinah.

Melalui kerjasama, mereka telah berjaya menggali sebuah parit yang dalam dan lebar di sebelah utara Kota Madinah. Umat Islam berganding bahu melaksanakan tugas yang diusulkan oleh Salman Al-Farisi ini. Tanggungjawab menggalikan parit ini telah dipikul bersama oleh umat Islam. Akhirnya melalui kerjasama yang erat dan jitu itu kemenangan telah berpihak kepada musliman.

Masa kini semangat bekerjasama telah mula luntur. Kita lihat, masa dulu, kenduri kendara seluruh masyarakat akan berganding bahu tetapi sekarang banyak tertumpu kepada katering-katering. Masa dulu untuk mengadakan kenduri, keliling rumah didirikan "balai" dan "lepas" sekarang ini penuh dengan khemah-khemah pasang siap. Malahan, ramai lebih berminat mengadakan kenduri kendara di dewan-dewan atau pun di hotel-hotel.

Tahniah kerana masih ada masyarakat yang masih mengekal usaha kerjasama atau gotong royong dalam menjayakan sesuatu program. Mungkin tempat-tempat yang tiada lagi gotong royong tersebut disebabkan kerjasama tiada lagi diperlukan di situ atau kerjasama hanya berlaku dalam program-program tertentu sahaja.

1 comment:

Invisible Me said...

kerja jadi mudah bila bekerjasama ;)