Tuesday, June 26, 2012

UDAH JADI GUGHU BESOR WEH, ALHAMDULILLAH

Taniah ler miker dapat jadi Gughu Besor. Itu ler perkataan yang kluor daghi mulot kegahni sekolah tempat teman ngajor. Aikkkkk biler pulak teman jadi Gughu Besor? Teman nanyer balek kat keghani tuh. Ini her.... soghat tawaghan udah teman teghimer aghi nih. Baleh keghani tuh sambei ngunjok soghat tuh pader teman. Teman teghuis nagmbek soghat tuh, pastuh lekes-lekes teman mukak ngan macer soghat tuh. Hah.... sekolah Oghang Asli? Terkejot teman. Naper pulak, tanyer keghani tuh. Idak ler, naper pulak diantornyer teman ke situ. Teman bukannyer ader pengalaman jadi Gughu Besor. Baleh teman. Ater nak idak miker pegi. Tanyer keghani tuh pulak.

Pegi ajer ler. Bukannyer jaoh pon. Idak pindah ghomah pon. Boleh beghulang daghi ghomah miker ler nih. Semangat bebenor keghanio tuh nyughoh teman teghimer tawaghan jadi Gughu Besor tuh. Patuh pulak miker boleh mecah ghekod dunia nih. Kater keghani tuh lagi. Naper pulak? Baleh teman. Ater idak ker miker peghasan, sekolah nih ader cawangan-cawangan yang len. Hebat miker jadi Gughu Besor pader enam buah sekolah sekali gus. Kater keghani tuh lagi. Ajernyer weh. Teman kalo teghimer tawaghan tuh akan jadi Gughu Besor di sekolah induk tuh pastuh ader pulak cawangan len lain, ader lima weh. Ghaser besor pulak teman. Ater ajernyer iyer ler sebor, sebab miker Gughu Besor. Bales keghani tuh lagi.

Thursday, June 7, 2012

TINGKAH LAKU GURU PENGARUHI SIKAP PELAJAR

Hubungan peribadi (interpersonal) yang wujud antara guru dengan pelajar sewaktu di dalam kelas boleh memberi kesan tertentu kepada anak didiknya. Tingkah laku guru memberi kesan terhadap pencapaian akademik pelajar serta sikap mereka terhadap mata pelajaran, guru dan sekolah.


Ada lapan tingkah laku guru yang boleh menjejaskan pencapaian akademik dan sikap anak didik mereka.
1. Tidak menyukai pelajar:-
Menyukai pelajar adalah rahsia untuk menjadi guru yang berkesan kerana pelajar adalah klien guru. Jika tiada klien ini, maka tiadalah guru. Guru perlu memikirkan mengenai kliennya iaitu pelajarnya. Guru yang menyukai pelajar boleh mengenali tingkah laku pelajarnya. Ini bererti menyukai profesion keguruan.

2. Tidak mengetahui atau mengenali pelajar:-
Memang tidak dapat dinafikan bahawa guru sukar untuk mengetahui nama dan rupa pelajarnya. Apatah lagi jika bilangan pelajarnya ramai. Namun, guru mesti berusaha untuk mengatasi perkara ini. Penggunaan tanda nama dapat membantu guru dalam masalah ini.

3. Melabel pelajar:-
Ada juga guru yang suka memberi gelaran kepada pelajarnya. Elakkan sama sekali memberi gelaran yang negatif. Guru juga perlu mengelakkan menggunakan perkataan yang kotor atau lucah semasa berinteraksi dengan pelajarnya.

4. Menyindir dan memperkecilkan pelajar:-
Guru yang sering menyindir dan memalukan pelajar di hadapan pelajar lain akan dibenci pelajar terbabit kerana tindakan itu akan menjatuhkan maruahnya.

5. Mendera pelajar secara keterlaluan:-
Walaupun peraturan sekolah menetapkan denda atau hukuman akan dikenakan atas pelanggarannya, namun jangan lakukan secara keterlaluan. Pelajar akan menjadi takut yang boleh mengakibatkan berlakunya ponteng sekolah dan membenci guru.

6. Pagar makan padi:-
Amanah yang dipikul guru adalah besar. Guru bukan sahaja mendidik tetapi juga menjaga maruah serta keselamatan pelajarnya. Kejadian sumbang seperti berkhalwat, mencabul dan menodai pelajar perlu dielakkan.

7. Terlalu garang:-
Guru yang terlalu garang menjadikan pelajar sentiasa gelisah dan takut. Ramalan-ramalan yang negatif dari pelajar akan berlaku apabila guru yang terlalu garang masuk ke dalan kelasnya untuk mengajar.

8. Pilih kasih:-
Layanan yang sama rata wajar diberikan oleh guru kepada pelajarnya. Jangan memberi layanan yang lebih semata-mata pelajar itu pandai atau rupa yang menarik. Pelajar yang kurang pandai juga perlu diberi bimbingan dan didikan.

Monday, June 4, 2012

PEMANTAUAN DAN PENILAIAN

Sekiranya sekolah dianggap sebagai institusi pembelajaran maka seharusnya setiap individu di sekolah tersebut terikat dengan aktiviti pemantauan dan penilaian. Bagi mencapai matlamat kecemerlangan pendidikan maka pihak guru dan pengurusan akan sentiasa membincangkan bagaimana usaha untuk meningkatkan kebolehan dan potensi yang ada pada diri pelajar.

Selain itu, Guru Besar akan memainkan peranannya dengan memasuki bilik darjah bagi memantau dan menilai pengajaran guru. Ini membolehkan mereka berkongsi maklumat dan sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran dan kaedah penyampaian guru-guru. Walau bagaimanapun keadaan ini kurang berlaku kerana ada di kalangan guru-guru yang merasa tidak selesa sekiranya Ketua Jabatan mereka terlalu kerap membuat pemantauan ke atas diri mereka.

Bagi mengatasi dilema guru ini, maka pihak sekolah mestilah berusaha untuk meyakinkan guru bahawa pemantauan dan penilaian adalah merupakan satu proses untuk membantu dan meningkatkan kemahiran guru. Aktiviti ini juga adalah merupakan sebahagian daripada tugas rasmi Guru Besar.