Wednesday, March 27, 2013

APAKAH BETUL BEGINILAH KEADAAN SEBENAR DI SEKOLAH?


MURID DAN GURU SAMA MENANGGUNG BEBANANNYA.

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS):-
PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani), psikomotor (jasmani) dan sosial selaras  dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. PBS ini mentaksir proses dan produk secara formatif dan sumatif iaitu mengamalkan konsep assessment for leraning dan assessment of learning. 

PBS mentaksir bidang akademik dan bidang bukan akademik. PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan oleh pihak sekolah secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Oleh itu PBS adalah masih tertakluk kepada LPM yang mana LPM menjadi rujukan.
Komponen PBS terdiri daripada dua kategori iaitu akademik dan bukan akademik. Kategori akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP). bagi kategori bukan akademik pula adalah bterdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

PBS dilaksanakan di sekolah oleh guru sekolah. PBS dilaksanakan sama seperti Penilaian Kerja Amali (PEKA) dan Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS). Begitu juga dengan Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS), Perkara Asas Fardu Ain (PAFA), projek, kuiz, soal jawab persembahan dan lain-lain.

CERITA GURU 6 - ORANG MACAM INI PUN ADA?

Cikgu Munirah pergi ke Kedai Telekom di bandar berhampiran rumahnya. Niat di hati nak bayar semua bil yang sepatutnya dia bayar. Selama ini suami cikgu Munirah yang membayar setiap bil tapi kali ini disebabkan suami Cikgu Munirah ada tugas di Luar Negara maka terpaksalah cikgu Munirah melakukannya sendiri. Memang kekok rasanya pada cikgu Munirah.

Sesampai saja di Kedai Telekom, cikgu Munirah lihat ramai orang berbaris. "Ramai sungguh orang yang hendak membayar bil-bil hari ini?" terpancul soalan dalam hati cikgu Munirah. "Selalunya tidaklah sampai berbaris macam ini." kata hati cikgu Munirah lagi. Bila dia masuk sahaja ke dalam Kedai Telekom itu, maka "terkejut berok"lah (bahasa orang muda zaman sekarang) cikgu Munirah bila nak bayar bil kat Kedai Telekom pon ke pakai mesen.
Bila masuk sahaja ke dalam Kedai Telekom itu, cikgu Munirah terdengar suara seorang lelaki yang kuat. Terdapat seorang lelaki di kaunter bayaran memaki hamun staf telekom yang ada di kaunter itu. "Awak semua makan gaji buta." kata lelaki itu sambil tangan menunjuk ke arah staf-staf telekom yang ada di situ. Cikgu Munirah melihat semua staf telekom yang ada di situ senyap tanpa berkata apa-apa. "Awak semua menyusahkan orang ramai." kata lelaki itu lagi sambil menumbuk-numbuk meja kaunter di situ.

Lelaki tersebut enggan beredar walaupun diarah oleh pengawal keselamatan Kedai Telekom tersebut. Malah pengawal keselamatan tersebut turut dihambur dengan kata-kata nesta serta makian dari lelaki tersebut. Cikgu Munirah simpati dengan staf Kedai Telekom tersebut. Hanya disebabkan berlaku perubahan dalam pembayaran bil-bil, habis semua staf di situ kena maki.
Cikgu Munirah cuba untuk bertanya. "Mengapa uncle marah-marah ni?" tanya cikgu Munirah kepada lelaki tersebut. "Awak siapa? Mengapa awak nak tahu?" tengking lelaki tersebut. "Kalau marah-marah sebegini bagaimana mahu selesai masalah?" balas cikgu Munirah. "Awak tahu siapa saya? Kalau tak tahu diam. Saya adalah ketua parti XXX di sini. Awak faham?" kasar bunyinya kata-kata dari lelaki tersebut.

"Kasihan, letih pemimpin-pemimpin tertingg dalam kerajaan laung-laungkan 'transformasi', tapi pemimpin bawahan masih belum faham." rungut cikgu Munirah. "Apa kamu cakap? Kamu siapa yang berani menegur saya?" berang lelaki tersebut. "Saya seorang cikgu. Saya malu mempunyai seorang pemimpin seperti awak. Awak tak malukah gelagat awak yang dilihat oleh pelanggan-pelanggan yang lain terutama kanak-kanak?" balas cikgu Munirah.
Lelaki tersebut tergesa-gesa keluar dengan marah dia memberi amaran kepada cikgu Munirah. "Ingat, tahulah aku uruskan pertukaran kamu nanti." ugut lelaki tersebut. Cikgu Munirah terkelu. Kemanakah pula akan ditukarkan. Dalam hatinya terus berkata, "pemimpin macam ini pun ada dalam Malaysia ini." Berjayakah "transformasi" yang dilaung-laungkan?

Tuesday, March 19, 2013

CERITA GURU 5 - APA CIKGU BUAT BILA CUTI SEKOLAH

Tak lama lagi cuti penggal akan bermula. Cuti kali ini selama seminggu. Ramai cikgu-cikgu sudah berkira-kira untuk bercuti. Ada yang bercadang hendak balik kampung. Ada yang bercadang membawa keluarga makan angin. Ada yang bercadang menziarah keluarga untuk merapatkan ikatan silaturrahim. Ada yang hendak berehat sahaja di rumah.
Cikgu Azmi seorang guru muda yang baru dipostingkan di salah sebuah sekolah rendah di bandar ini. Cikgu Azmi berasal dari Johor. Cikgu Azmi bercadang hendak balik ke kampung di Johor masa cuti penggal selama seminggu ini. Sudah tuga bulan cikgu Azmi tidak balik kampung. Bukan cikgu Azmi tak mahu balik kampung tapi ada sahaja tugas yang perlu diselesaikan. Ada sahaja kerja yang perlu dibereskan tak kira Isnin sampai Jumaat. Malahan Sabtu dan Ahad pun ada kerja yang perlu dibuat.
Pagi tadi Guru Besar memanggil cikgu Azmi masuk ke pejabatnya. Cikgu Azmi diarahkan oleh Guru Besar untuk melatih pasukan sepak takraw sekolah yang akan bertanding di peringkat daerah sebaik sahaja sekolah bermula selepas cuti penggal. Lagi pun sekolah cikgu Azmi merupakan johan negeri pada tahun lalu. Apakah cikgu Azmi akan mengorbankan masa cutinya demi untuk pasukan sepak takraw sekolahnya?

Saturday, March 16, 2013

CERITA GURU 4 - BERJAYA ANAK KAMU YEEEE

Petang tadi pergi ke Ipoh. Nengok hoki Piala Azlan Shah. Ngapa idak nama Piala Sultan Azlan Shah? Biarkan mereka yang memikirkan pasal nama itu. Yang ndak diceritakan kat blog ini pasal jumpa dengan sahabat lama di "De Garden", Ipoh. Sudah berpuluh tahun tak jumpa boleh jumpa kat sini. Rupa-rupanya sahabat itu pun ndak nengok hoki juga. Malaysia main dengan India belah malam, jadi lepak dulu kat kedai makan.

Sahabat ini pun seorang guru. Sebaya dengan teman. Sama maktab. Lepas posting tahun 1980 memasing bawak diri. Tiba-tiba pada tahun 2013 ini boleh jumpa balik. Itulah kehendak Allah. Allah telah menemukan kami semula. Biasalah kalau jumpa sahabat mesti sembang pasal keluarga. Pasal kekawan. Pasal kerja. Bila sembang tang keluarga tu yang boleh beri tabik pada sahabat itu.

Sahabat itu kerja sahaja setahun terus kahwin. Itu sebab umur anak sahabat itu yang sulung udah 30 tahun. Anaknya ada 9 orang. Wui ramai nya. Tapi, walaupun ramai, semuanya masuk sekolah asrama penuh. Sembilan orang anaknya dapat 5'A dalam UPSR. Dapat 8'A dalam PMR dan 10'A dalam SPM. Bukan senang yer nak dapat macam itu.

Masa sekolah menengah, anak yang sulungnya masuk MCKK. Nombor dua masuk STAR Ipoh. Nombor tiga Tunku Khursiah. Yang keempat Seri Puteri. Kelima Tun Fatimah. Keenam Yayasan Saad Melaka. Ketujuh Alam Shah. Kelapan Sekolah Menengah Sains Teluk Intan dan kesembilan Sekolah Menengah Sains Bukit Mertajam.

Tang anak-anak sahabat ini memang hebat. Apa tidaknya, sebab sahabat ini hebat. Lepas posting lima tahun sambung belajar ambil ijazah. Isteri sebagai idola dan pendorong katanya. Maklumlah dapat isteri guru yang berijazah. Lepas lima tahun kemudian ambil pula Master. Dan sekarang ini sudah PHD pula. memang hebat sahabat ini. Tahniah. Semoga Allah memberi kebahgiaan dunia dan akhirat buat sahabat dan keluarga. 

Wednesday, March 13, 2013

CERITA GURU 3 - MAK TIPU MAK TIPU MAK TIPU

Pagi sabtu itu, cikgu Munirah tergesa-gesa keluar dari rumahnya. Cikgu Munirah sudah terlambat untuk ke sekolah. Pagi itu cikgu Munirah terpaksa memujuk anak bongsunya yang tiba-tiba mengamuk dan menangis sambil memekik, "mak tipu..... mak tipu..... mak tipu....." Kesabaran cikgu Munirah tercabar. Namun anak bongsunya tidak bersalah. Dia telah berjanji akan membawa anaknya mandi laut. Sudah berapa kali Sabtu janji itu hanya tingal janji.

Sabtu dulu-dulu cikgu Munirah terpaksa membawa murid-murid ke Majlis Tilawah Quran ke peringkat daerah. Sabtu sebelum itu, cikgu Munirah melatih pasukan bola jaring sekolahnya yang tahun sebelumnya telah menjadi johan daerah. Sabtu sebelum-sebelum itu, cikgu Munirah mengadakan kelas tambahan murid-muridnya yang akan menduduki SPM tahun ini.

Janji cikgu Munirah dengan anak bongsunya itu telah tidak tertunai agak lama. Kadang-kadang cikgu Munirah berasa malu dengan suaminya. Suaminya walaupun bekerja bukan sebagai guru tetapi suami bekerja lima hari seminggu. Hari Sabtu dan Ahad pasti ada di rumah kecualilah kalau ada kerja-kerja luar daerah atau luar negara.

Pagi itu, suami cikgu Munirah terpaksa memujuk anak bongsu mereka. Suami cikgu Munirah membawa anak bongsunya keluar. Cikgu Munirah berbangga dengan suaminya yang memahami tugas isterinya sebagai seorang guru masa kini.Cikgu Munirah berasa sedih apabila ada orang yang berkata kerja sebagai seorang guru senang, sabtu ahad cuti. Kalau cuti penggal lagi lama cuti. Cikgu makan gaji buta.

Monday, March 11, 2013

CERITA GURU 2 - KERJA 7 HARI SEMINGGU


 DIARI CIKGU MUNIRAH
ISNIN - keluar dari rumah ke sekolah jam 6.45 pagi. Mesti awal sampai sebab ada perhimpunan yang bermula jam 7.30 pagi. Hari ini mengajar lapan waktu. Kalau keluar lambat akan lewat sampai ke sekolah sebab jalan raya 'jem'. Habis mengajar jam 1.35 petang tapi tak boleh balik lagi sebab pengetua bagi arahan boleh keluar dari sekolah jam 3.00 petang. Ini arahan yang wajib dipatuhi oleh semua guru.

SELASA - 7.15 pagi sudah ada di sekolah. Giliran kena tunggu  murid di pintu pagar. Bersalaman dengan murid perempuan dan ibu murid. Maklumlah 'sekolah penyayang'. Sambil bersalaman bertanya khabar. Hari ini balik jam 5.30 petang sebab ada kelas tambahan mula jam 3.00 petang sampai 5.00 petang.

RABU - Seperti biasa kena pergi awal ke sekolah. Loceng pertama jam 7.15 sudah berbunyi. Ada program 'mentor & mentee pula. Hari ini balik jam 6.00 petang sebab ada kegiatan kokurikulum. Kedatangan wajib dan diambil tandatangan.

KHAMIS - Jam 7.00 pagi sudah ada di sekolah. Kena buat pemantauan di kantin. Tengok kebersihan. Tengok mutu makanan. Tengok keselamatan. Tengok bermacam-macam lagi yang ada kaitan dengan kantin. Hari balik rumah jam 6.00 petang. Ada latihan bola jaring untuk pasukan sekolah.

JUMAAT - Bacaan Yassin mingguan bermula jam 7.00 pagi. Selesai jam 7.30 pagi. Terus ke tapak perhimpunan kawal murid masuk ke kelas. Hari Jumaat balik ke rumah awal jam 12..15 tengah hari. Tapi jam 3.00 petang kena datang balik ke sekolah ada kelas tambahan.

SABTU - Mula jam 8.00 pagi ada latihan bola jaring untuk pasukan sekolah. Habis latihan jam 11.00 pagi. Balik ke rumah jam 11.30 pagi. Separuh hari berada di sekolah.

AHAD - Jam 7.00 pagi sudah keluar rumah. Hari ini ada program bersama pemimpin tempatan. Pagi bersama murid. Petang bersama ibu bapa. Esok, dah datang ISNIN........

Sunday, March 10, 2013

KISAH GURU 1 - DI MANA ISTERIKU?

Suatu malam, Dr. Ng Kok Heng terjaga dari tidurnya. Dilihat jam loceng di kepala katil menunjukkan angka 1.00 pagi. Dia berasa hairan, ke manakah isterinya yang sepatutnya berada di sebelah pembaringannya. "Ah, mungkin dia ke bilik air," bisik hati Dr. Ng Kok Heng dan terus kembali menyambung kembali tidurnya.

Lebih kurang pukul 2.00 pagi, Dr. Ng Kok Heng terjaga lagi dari tidurnya. Tangannya meraba-raba di sebelah pembaringannya. Isterinya masih tiada tidur di sebelahnya. Disebabkan terlalu mengantuk Dr. Ng. Kok Heng meneruskan tidurnya. Tambahan pula, awal-awal pagi Dr. Ng Kok Heng terpaksa ke Hospital Besar Kuala Lumpur kerana ada urusan di sana.

Sekali lagi Dr. Ng Kok Heng terjaga dari tidurnya. Jam di dinding bilik berbunyi tiga kali yang menandakan waktu itu sudah pukul tiga pagi. Dr. Ng Kok Heng terkejut kerana isterinya masih lagi belum ada disampingnya. Dr. Ng Kok Heng bangun dan turun dari katilnya untuk mencari isterinya. Dilihatnya lampu bilik bacaan di rumahnya masih terang benderang. Dr. Ng Kok Heng sudah dapat meneka bahawa isterinya kesayangannya berada di situ.

Apabila masuk sahaja ke bilik bacaan tersebut, dilihat siterinya masih mengadap skrin komputer. "Hai, darling, masih belum tidur?" sapa Dr. Ng Kok Heng kepada isterinya. "Belum, saya sedang online saps ini sayang," balas isteri Dr. Ng Kok Heng. "Tidurlah. Jaga kesihatan. Besok mengantuk masa mengajar," Balas Dr. Ng Kok Heng. "Di sekolah pun boleh buat kerja itu masa rehat atau bila ada masa free," sambung Dr. Ng Kok Heng. "Tak boleh, di sekolah internetnya terlalu perlahan dan selalunya langsung tak boleh online," balas isteri Dr. Ng. Kok Heng.

"Susah sangatkah menjadi guru sekarang ini?" kata Dr. Ng Kok Heng. "Di sekolah kerja dari pagi sampai petang, lepas itu sambung pula kerja di rumah sampai hampir subuh," sambung Dr. Ng Kok Heng. "Sayang tidurlah dulu, saya nak sambung kerja ini. Sekarang internet sungguh laju, mudah sungguh kerja yang hendak dibuat," balas isteri Dr. Ng Kok Heng. "Oklah darling, saya sambung tidur semula. Kerja, kerja juga, kesihatan sayang kena juga dijaga," jawab Dr. Ng Kok Heng sambil masuk ke bilik tidurnya untuk menyambung semula tidurnya.