Wednesday, March 27, 2013

CERITA GURU 6 - ORANG MACAM INI PUN ADA?

Cikgu Munirah pergi ke Kedai Telekom di bandar berhampiran rumahnya. Niat di hati nak bayar semua bil yang sepatutnya dia bayar. Selama ini suami cikgu Munirah yang membayar setiap bil tapi kali ini disebabkan suami Cikgu Munirah ada tugas di Luar Negara maka terpaksalah cikgu Munirah melakukannya sendiri. Memang kekok rasanya pada cikgu Munirah.

Sesampai saja di Kedai Telekom, cikgu Munirah lihat ramai orang berbaris. "Ramai sungguh orang yang hendak membayar bil-bil hari ini?" terpancul soalan dalam hati cikgu Munirah. "Selalunya tidaklah sampai berbaris macam ini." kata hati cikgu Munirah lagi. Bila dia masuk sahaja ke dalam Kedai Telekom itu, maka "terkejut berok"lah (bahasa orang muda zaman sekarang) cikgu Munirah bila nak bayar bil kat Kedai Telekom pon ke pakai mesen.
Bila masuk sahaja ke dalam Kedai Telekom itu, cikgu Munirah terdengar suara seorang lelaki yang kuat. Terdapat seorang lelaki di kaunter bayaran memaki hamun staf telekom yang ada di kaunter itu. "Awak semua makan gaji buta." kata lelaki itu sambil tangan menunjuk ke arah staf-staf telekom yang ada di situ. Cikgu Munirah melihat semua staf telekom yang ada di situ senyap tanpa berkata apa-apa. "Awak semua menyusahkan orang ramai." kata lelaki itu lagi sambil menumbuk-numbuk meja kaunter di situ.

Lelaki tersebut enggan beredar walaupun diarah oleh pengawal keselamatan Kedai Telekom tersebut. Malah pengawal keselamatan tersebut turut dihambur dengan kata-kata nesta serta makian dari lelaki tersebut. Cikgu Munirah simpati dengan staf Kedai Telekom tersebut. Hanya disebabkan berlaku perubahan dalam pembayaran bil-bil, habis semua staf di situ kena maki.
Cikgu Munirah cuba untuk bertanya. "Mengapa uncle marah-marah ni?" tanya cikgu Munirah kepada lelaki tersebut. "Awak siapa? Mengapa awak nak tahu?" tengking lelaki tersebut. "Kalau marah-marah sebegini bagaimana mahu selesai masalah?" balas cikgu Munirah. "Awak tahu siapa saya? Kalau tak tahu diam. Saya adalah ketua parti XXX di sini. Awak faham?" kasar bunyinya kata-kata dari lelaki tersebut.

"Kasihan, letih pemimpin-pemimpin tertingg dalam kerajaan laung-laungkan 'transformasi', tapi pemimpin bawahan masih belum faham." rungut cikgu Munirah. "Apa kamu cakap? Kamu siapa yang berani menegur saya?" berang lelaki tersebut. "Saya seorang cikgu. Saya malu mempunyai seorang pemimpin seperti awak. Awak tak malukah gelagat awak yang dilihat oleh pelanggan-pelanggan yang lain terutama kanak-kanak?" balas cikgu Munirah.
Lelaki tersebut tergesa-gesa keluar dengan marah dia memberi amaran kepada cikgu Munirah. "Ingat, tahulah aku uruskan pertukaran kamu nanti." ugut lelaki tersebut. Cikgu Munirah terkelu. Kemanakah pula akan ditukarkan. Dalam hatinya terus berkata, "pemimpin macam ini pun ada dalam Malaysia ini." Berjayakah "transformasi" yang dilaung-laungkan?

No comments: