Thursday, September 24, 2015

AKAN HILANG TANAH OGHANG MELAYU?

Agus: Tanah rizab Melayu kian terancam

Tuesday, September 1, 2015

SEKOLAH QURAN

PELAJARAN QURAN DAN AGAMA

Bacaan Al-Quran dan hukum-hukum agama telah mula dipelajari oleh orang-orang Melayu dari semenjak mereka memeluk agama Islam. Tempat-tempat mengaji itu diusaha bersama oleh masyarakat Islam setempat dengan pimpinan guru-guru agama. Biasanya masyarakat Islam memberikan sedikit sebanyak hadiah atau sedekah atau hasil zakat kepada guru-guru itu sebagai menghargai khidmat sukarela mereka. Keadaan sedemikian berjalan pada satu tenggang masa yang panjang. 

SEKOLAH QURAN

 Sekolah atau kelas Quran di negeri Perak telah bermula sejak tahun 1909 dan sehingga tahun 1917 pelajaran yang diajar hanyalah setakat mengaji membaca Al-Quran. Belajar agama sekadar untuk beribadat kepada Allah, mengira, menulis dan membaca jawi. Tiap-tiap kanak-kanak dipastikan boleh membaca Al-Quran dengan tertil sehingga khatam tiga puluh juzuk dan hafal-hafal surah-surah lazim.

Guru-gurunya pula terdiri daripada orang-orang kampung yang diberi gaji oleh kerajaan diantara $5.00 dan $10.00 sebulan. Kewajipan itu dilakukan oleh mereka sebagai kerja sambilan sahaja di sebelah petang. Selain daripada gaji, pihak kerajaan hanya mengadakan buku daftar kedatangan murid. Tentang tempat, susunan pelajaran dan urusan lainnya terpulanglah kepada kebajikan guru masing-masing.

KOMITI PELAJARAN QURAN NEGERI PERAK

Dalam tahun 1917, DYMM Seri Paduka Sultan Perak telah menubuhkan sebuah jawatankuasa sekolah Quran yang pada masa itu dikenali dengan nama Komiti Pelajaran Quran Negeri Perak dan mendirikan pejabatnya di Kuala Kangsar. Seorang Guru Pelawat Quran yang pada masa itu dikenali dengan sebutan rengkas "Ba Ta Qaf" (Visiting Teacher Quran) telah dilantik  bagi menyeliakan Sekolah-Sekolah Quran yang berjumlah  pada masa itu tidak melebihi tiga puluh buah.

Dengan tertubuhnya Komiti Pelajaran Quran itu, bermulalah perubahan-perubahan yang baru dalam susunan pelajarannya. Pelajaran membaca Al-Quran beransur-ansur ditambah dengan pelajaran agama yang mustahak dalam fardhu 'ain dan fardhu kifayah. Mata pelajaran terdiri daripada Ilmu Tauhid, Feqah, Tasauf, Tajwid, Makna dan Adat Lembaga Negeri Perak. Masa belajarnya ialah diantara dua hingga tiga jam sehari di sebelah petang bertempat di bangunan sekolah Melayu. Susunan darjah ialah daripada Darjah Satu hingga Darjah Empat. Gaji guru-gurunya juga telah ditambah daripada $5.00 hingga $10.00 kepada $7.00, $15.00 dan $30.00 pada sebulan.

Dari mula ditubuhkan, sambutan ibu bapa kepada Sekolah-Sekolah Quran bertambah besar. Dalam tahun 1918 iaitu setahun setelah tertubuhnya Komiti Pelajaran Quran itu jumlah Sekolah Quran telah meningkat menjadi empat puluh buah. Bilangan itu semakin bertambah dari setahun kesetahun sehingga meliputi hampir keseluruh negeri Perak.

Tujuan Sekolah Quran diwujudkan ialah untuk membolehkan semua murid-murid membaca Quran dengan fasih dan lancar mengikut hukum-hukum tajwid sehingga khatam tiga puluh juzuk. Hafal dan tahu makna ayat-ayat dalam surah-surah lazim dan bacaan dalam sembahyang, mengetahui adat resam dan adat lembaga negeri Perak dan menyediakan mereka menjadi pegawai-pegawai rendah agama seperti pegawai-pegawai masjid, guru-guru Quran dan sebagainya termasuk juga menjadi calun utama melanjutkan pelajaran ke sekolah Arab yang lebih tinggi.

Peperiksaan yang julung kali diadakan bagi murid-murid Darjah Empat iaitu darjah yang tertinggi sekali di Sekolah Quran telah dilansungkan dalam tahun 1923 kira-kira 16 tahun setelah ia diwujudkan. Dalam peperiksaan itu seramai 89 orang murid telah lulus. Beberapa orang daripada murid-murid yang lulus itu kemudiannya telah dilantik melanjutkan pelajaran di Sekolah Arab tempatan yang lebih tinggi lagi pengajaran agamanya.

Duli Yang Amat Mulia Raja Chulan, CEG., JP., NFC., MCSC., Raja Di Hilir Perak pernah menjadi President Komuniti Pelajaran Quran Negeri Perak, Tuan Haji Zainuddin bin Haji Abas menjadi Setiausaha  Sekolah-Sekolah Quran Negeri Perak dan Tuan Haji Muhammad Saman bin Yusuf Al-Rawa sebagai Pelawat bagi Sekolah-Sekolah Quran di Negeri Perak Darul-Ridwan.

ISKANDAR SCHOLARSHIP

Didorong oleh hasrat menggalakkan pengetahuan agama, maka dalam tahun 1938, DYMM. Seri Paduka Sultan Iskandar Shah telah mengeluarkan satu hadiah pelajaran agama negeri berharga $2,000.00 setahun untuk murid-murid yang lulus Sekolah Quran dengan kejayaan yang cemerlang bagi melanjutkan pelajarannya ke Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan murid-murid yang mendapat kelulusan yang terbaik dalam peperiksaan di Madrasah Idrisiah melanjutkan pelajarannya di Mekah. Hadiah pelajaran itu dinamakan "Iskandar Scholaship".

Julung-julung murid-murid Sekolah Quran yang mendapat hadiah pelajaran Iskandar Scholarship ialah Raja Bashah bin Raja Ahmad, murid Sekolah Quran Belanja Kiri dan Ahmad bin Ibrahim, murid Sekolah Quran, Bendang Siam, Trong. Mereka memasuki Madrasah Idrisiah dalam tahun 1939/1940. Mereka kemudiannya dilantik menjadi Guru Agama Kerajaan Perak setelah menamatkan pengajiannya di Madrasah Idrisiah itu. Diantara yang mula-mula mendapat hadiah pelajaran Iskandar Scholarship ke Mekah ialah Tuan Haji Mohd. Isa. Beliau ke Mekah selepas pendudukan Jepun. Sekembalinya daripada Mekah setelah menamatkan pengajiannya di sana, beliau tidak berkhidmat dengan kerajaan bahkan menaburkan khidmat baktinya dengan mengajar agama di kampung-kampung.

PENDUDUKAN JEPUN

Dalam asa pendudukan Jepun di Tanah Melayu di antara tahun 1942 hingga 1945, Sekolah Quran tidak dapat berjalan dengan teratur. Tetapi apabila Jepun menyerah kalah kepada pihak berikut, Komiti Pelajaran Quran telah bergerak semula dan Sekolah-Sekolah Quran beransur-ansur dibuka dan berjalan seperti keadaan sebelum pendudukan Jepun.

SEKOLAH AGAMA KERAJAAN

Dalam tahun 1949 apabila Jabatan Hal Ehwal Agama, Perak (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak) diwujudkan, maka nama Sekolah Quran telah ditukarkan kepada nama "Sekolah Agaa Kerajaan". Dari semenjak itu pulalah Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan diletakkan di bawah tadbir Jabatan Hal Ehwal Agama Perak. Encik Ahmad Damanhuri bin Haji Abdul Wahab, Penghulu Mukim Durian Sebatang telah dipinjamkan memegang jawatan Setiausaha Pelajaran Quran merangkap Setiausaha majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Perak. Dalam tahun 1954 jawatan Setiausaha Pelajaran Quran diubah nama kepada jawatan Nadzir, Sekolah-Sekolah Agama Negeri Perak dan Encik Ahmad Damanhuri bin Haji Abdul Wahab dilantik memegang jawatan tersebut.

Dengan pertukaran nama Sekolah Quran kepada Sekolah Agama Kerajaan, maka jawatan Guru Quran diubah kepada Guru Agama Kerajaan. Jumlah Guru Agama pada masa itu ialah seramai 395 orang dengan 8 orang Guru Pelawat dan seorang Ketua Guru Pelawat Agama. Ketua Guru Pelawat Agama pada masa itu ialah Encik Mohd. Ashaari bin Mohd. Said. Bilangan Sekolah Agama Kerajaan pula sebanyak 236 buah berbanding dengan 389 buah Sekolah Melayu. Masa persekolahannya ialah disebelah petang bertempat di bangunan Sekolah Melayu.

petikan dari buku Sejarah Perkembangan Pendidikan Negeri Perak.