Saturday, December 20, 2014

TEKUN KERJA KUNCI KEJAYAAN

TEKUN BEKERJA/DEDIKASI
Banyak pekerjaan yang dilakukan oleh manusia tetapi bukan semuanya dianggap sebagai sempurna. Setiap pekerjaan yang dijalankan dengan tidak sempurna akan merugikan bukan sahaja diri sendiri tetapi juga orang lain.

Oleh itu, tiap-tiap orang perlulah berusaha dan sudah pasti setiap hasil yang diperolehi itu mengikut sebanyak mana usaha yang telah dibuat. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:-
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (baasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakan."
(An-Najm: 39)

Islam menekankan supaya seseorang itu sentiasa mengekalkan usaha-usaha yang baik kerana dengan demikian ia boleh meninggalkan kesan yang positif kepada semua pihak. Sesungguhnya tekun adalah asas bagi menghasilkan prestasi dan mutu kerja yang tinggi selaras dengan maksud hadis Rasulullah s.a.w. bahawa Allah s.w.t. suka kepada orang yang dapat membuat kerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

Setiap kerja yang dilakukan mestilah mengikut aturan atau tertib. Ini untuk mengelakkan berlakunya pertindihan dalam sesuatu kerja yang boleh menyusahkan orang lain. Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud:-
"Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)."
(Al-Insyirah: 7)

Setiap pekerja yang tekun akan sentiasa melaksanakan tugas-tugasnya dengan bersungguh-sungguh pada setiap masa dan sentiasa suka kepada kerjanya tanpa rasa jemu atau kecewa. Dalam masa kerja dia akan sentiasa memberi perhatian dan penelitian terhadapnya tanpa leka dan lalai. Dia juga akan berusaha mengatasi sebarang masalah dengan bersungguh-sungguh sama ada secara berseorangan atau secara berkumpulan.

No comments: