ADIL
Adil mengandungi pengertian yang sangat luas meliputi segala aspek kehidupan manusia. Walaupun demikian dapatlah dirumuskan sebagai berikut: "Adil ialah memberikan kepada yang berhak akan haknya mengikut kadar masing-masing". Ulamak-ulamak telah membahagikan adil itu kepada beberapa bahagian iaitu adil terhadap diri sendiri, adil terhadap orang bawahan, adil terhadap orang atasan, adil terhadap saudara mara, adil terhadap rakan sejawat dan adil terhadap semua pihak.
Sesuatu keputusan yang adil, akan dapat diterima oleh hati nurani manusia dengan tenang dan aman. Sebaliknya pula, keputusan yang tidak adil atau zalim, manusia akan menerima dengan protes dan penentangan. Sebagai contoh, seorang suami yang tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya, suami tersebut akan diprotes oleh isterinya yang merasa dirinya dizalimi. Keadaan seperti ini mungkin membawa kepada suasana tidak aman dan tenteram di dalam rumah tangga atau mungkin akan membawa keretakan dalam rumah tangga itu.
Demikian juga halnya pemimpin masyarakat, pemimpin negara atau hakim yang tidak melaksanakan keadilan terhadap rakyat akan diprotes atau ditentang oleh rakyat dan jika hal ini berlaku, keselamatan masyarakat dan negara akan tergugat. Demikianlah betapa pentingnya keadilan itu diterap dan diwujudkan ke dalam masyarakat demi untuk ketenteraman dan keselamatan masyarakat dan negara.
Ali bin Abi Taib berkata:
"Negara itu adalah taman. Undang-undang (Syariat Islam) adalah pagarnya. Undang-undang itu ialah kekuasaan yang wajib ditaati. Kepatuhan rakyat kepada undang-undang menjadi teguhnya pemerintah. Pemimpin negara adalah pengawal yang wajib dibantu oleh tentera-tentera yang kuat. Tentera-tentera itu wajib ditanggung makan minumnya dengan sempurna dari Perbendaharaan Negara. Perbendaharaan Negara adalah dkumpulkan dari harta rakyat jelata, maka golongan rakyat itu hanya dapat ditundukkan di bawah undang-undang adil. Oleh yang demikian, keadilan menjadi sendi kekuatan sesuatu negara (masyarakat)".
No comments:
Post a Comment