Friday, November 20, 2009

APAKAH WAJAR BERTIGA?

oleh:- penjaga kubur
Result UPSR tahun 2009 telah pun keluar dan diumumkan oleh Guru Besar di dewan sekolah pada 19 Nivember 2009. Aku yang duduk di penjuru dewan menitiskan air mata kegembiraan. Tiba-tiba aku terfikir mengapa aku mesti menitiskan air mata? Aku kini berada disaat-saat kegembiraan. Lagi pun aku ini adalah seorang lelaki. Apakah mesti aku menangis untuk melafazkan rasa gembira? Begitu juga, apakah aku mesti menangis untuk melafazkan rasa sedih?
Sedang aku melayani lamunan aku, aku terdengar suara seorang perempuan memberi salam. Aku angkatkan muka aku ke arah suara tersebut. Di hadapan berdiri seorang perempuan yang aku kira masih muda dan bergaya. Aku kira umurnya sekitar awal 30'an dan aku percaya ianya adalah ibu kepada salah seorang murid aku. Segera aku bangun dan mengelapkan air mata di pipi.
"Mengapa cikgu menangis?". Soalnya sambil menghadiahkan sebuah senyuman yang aku rasa paling manis sejak aku mengenal perempuan selain daripada ibu, adik dan kakak aku.
"Saya menangis?" Aku terpinga-pinga dan mengemukakan pula soalan kepada perempuan itu.
"Betul cikgu! saya nampak cikgu duduk termenung dan air mata berlinang di pipi." Jelas perempuan itu.
"Maafkan saya puan, sebenarnya saya terlalu gembira di atas keputusan yang dicapai oleh murid-murid saya." Aku menjelaskannya.
"Cikgu! Saya memohon ribuan ampun dan maaf daripada cikgu." Aku terdengar suaranya bergetar dan tersekat-sekat sambil menghulurkan tangannya ke arah aku.
"Mengapa mesti puan memohon maaf daripada saya?" Soal aku tanpa menyambut huluran salam daripadanya.
"Apakah cikgu masih marah dan masih berdendam dengan saya hinggakan cikgu tak mahu memaafkan saya?" Katanya sambil aku lihat airmatanya mula mengalir di pipinya yang gebu itu dan aku lihat tangannya masih lagi dihulurkan ke arah aku.
"Saya tak faham, apa yang puan katakan itu." Aku tersentak dengan kelakuan anehnya dan sememangnya aku tak mengerti apa yang tersirat dan tersurat di hati perempuan itu.
"Tak apalah cikgu, siapalah saya untuk dimaafkan dan kalau cikgu tak mahu memaafkan saya. Biarkan saya ceritakan apa yang terbuku di hati saya." Kata perempuan itu sambil menjatuhkan tangannya setelah huluran salamnya yang tidak aku sambut.
"Cikgu! Lelaki yang memarahi cikgu melalui telefon enam bulan dulu itu adalah suami saya. Memanglah ada anak saya mengadu yang cikgu selalu mendendanya kerana tidak siap kerja rumah dan sebagainya." Terangnya kepada aku dengan panjang lebar.
Aku termenung, lantas aku teringat kembali pada suatu malam aku menerima panggilan telefon dari seorang lelaki yang memaki hamun aku serta memberi amaran kepada aku agar tidak mendenda anaknya lagi. Masih aku ingat, betapa kasarnya lelaki tersebut menyergah aku tanpa memperkenalkan dirinya kepada aku.
Sebenarnya, aku sendiri pun tidak tahu siapa anaknya kerana memang menjadi tanggungjawab aku sebagai seorang guru Bahasa Inggeris, akan mendidik dan mengajar anak murid aku sehingga mereka faham. Itulah sebabnya mereka aku denda jikalau tidak menyiapkan kerja rumah atau melakukan kesalahan-kesalahan lain.
Sengaja aku tak mahu mencari siapa anaknya walaupun pun pada peringkat awalnya aku cukup marah kepada murid itu kerana mengadu kepada keluarganya. Walaupun pun aku dikategorikan guru yang garang namun mereka masih menyukai aku. Ini dapat dilihat apabila hari guru setiap tahun, akulah guru yang paling banyak mendapat hadiah.
"Siapa anak puan?" Tanya aku kepada perempuan itu.
"Itu." Tunjuk perempuan itu kepada seorang murid perempuan yang sedang berjalan menghala ke arah kami.
"Nabila Atisya?" Tutur aku perlahan-lahan.
"Ya! Itulah satu-satunya anak saya, cikgu!" Kedengaran sayu suara ibu Nabilah Atisya.
Nabila Atisya adalah salah seorang murid yang aku sanjung kerana sikapnya. Tetapi mengapa hari itu Nabila Atisya boleh mengadu kepada ayahnya? Selama ini bukan tidak pernah aku mendenda Nabila Atisya kerana aku yakin, aku ingin mendidiknya menjadi murid yang cemerlang di sekolah ini dan aku percaya Nabila Atisya boleh melakukannya.
"Mana ayahnya?" Aku bertanya kepada ibu Nabila Atisya setelah aku terlamun seketika.
Tiba-tiba ibu Nabila Atisya menangis teresak-esak sambil memeluk anaknya. Aku terpegun dan terpaku melihat mereka.
"Kami telah bercerai cikgu." Luahan dalam esakan ibu Nabila Atisya.
"Maafkan saya, puan." Aku pula yang memohon maaf kerana berasa bersalah mengeruhkan suasana ketika itu.
"Cikgu, terima kasih kerana telah membantu saya sehingga mendapat 5A dalam UPSR." Nabila Atisya bersuara kegirangan.
"Tahniah, Nabila Atisya memang saya jangka boleh dapat 5A." Aku memberi penghargaan atas kejayaan Nabila Atisya.
"Ya, Allah! Ya, Tuhanku. SesungguhNya Engkau Maha Mengasihi lagi Maha Penyayang. Aku bersyukur kepadaMu Ya, Allah, kerana seandainya Engkau membuka pintu hati ini untuk mengetahui siapa lelaki yang memarahi aku dulu, aku akan melakukan satu dosa kepada kepada seorang murid aku yang bernama Nabila Atisya. Sesungguhnya aku sebagai hambaMu Ya, Allah, pasti aku berdendam dengan muridku ini. Aku bersyukur dan berterima kasih kepadaMu Ya Allah." Bisik hati kecil aku.
"Cikgu saya ingin menjemput cikgu untuk dinner pada malam minggu ini di Heritage Ipoh." pelawa ibu Nabila Atisya.
"Cikgu mesti datang tau." Rayu Nabila Atisya kepada aku.
"Siapa lagi yang datang?" Aku bertanya.
"Saya, Nabila Atisya dan cikgu." Balas ibu Nabila Atisya sambil berlalu bersama-sama anaknya meninggalkan aku terpinga-pinga.
"Cuma bertiga?" Bisik hati aku tidak percaya.

2 comments:

chehassan said...

Tahniah cikgu. Saya membaca coretan cikgu ini dengan perasaan terharu dan gembira. Inilah kehidupan. Dan kita yang dianugerahkan kebolehan mendidik, lakukanlah dengan cara terbaik. Mengapa bertiga.... pergilah dengan ikhlas.

amalhaj said...

Anak-anak gagal, guru di sekolah yang dipersalahkan. Anak-anak berjaya,guru di sekolah tuisyen yang disanjung.