ADAT RESAM KAUM CINA
Adat resam orang Cina terdiri dari pelbagai kepercayaan tentang alam dan campuran falsafah serta etika dari ahli-ahli fikir zaman kuno serta agama Buddha. Oleh kerana itu mereka kelihatan menyembah pelbagai ciri alam dari pagi hingga malam iaitu mengikut perubahan musim dan pelbagai kuasa tertentu.
Tanpa kepercayaan khusus tentang Tuhan maka keluarga dan negara menjadi tumpuan pemujaan mereka. Dalam keluarga, roh nenek moyang menjadi tumpuan pemujaan. Ia ditandakan oleh sekeping "Papan Peringatan" (tablet) yang dicatatkan nama keturunannya. Papan ini merupakan tumpuan penyembahan keluarga dan diletakkan di ruang tamu rumah untuk semua keluarga. Setelah beberapa generasi papan ini disimpan di rumah klen (huay kuan) ataupun di rumah tokong.
Hubungan antara ahli keluarga terutama antara suami dan isteri, bapa dan anak lelaki, antara adik beradik lelaki, dengan ketua negara dan antara sahabat amatlah penting. Oleh itu, mereka amat menghormati orang tua yang dipandang sebagai mempunyai kebijaksanaan.
Lebih luas dari keluarga ialah persatuan perdagangan dan juga klen yang memuja seorang leluhur atau moyang yang sama. Oleh kerana klen itu amat penting maka di kalangan orang Cina terdapat nama keluarga. Secara tradisi terdapat nama keluarga dan diturunkan melalui anak lelaki. Anak lelaki juga mewarisi harta dari bapanya.
Kepentingan meneruskan keluarga menyebabkan perkahwinan seorang lelaki adalah amat penting. Secara tradisi perkahwinan mengikut beberapa upacara yang bermula dengan merisik oleh seorang perantara hinggalah perkahwinan. Sekarang ini hanya pendaftaran menurut undang-undang saja yang diperlukan dan keraian yang mewah di restoran.
Kelahiran anak mengikuti beberapa adat pentang larang untuk menjaga kesihatan si ibu dan kandungan. Dia digalakkan tidur dan makan dengan baik, membaca buku yang baik dan melihat benda-benda yang cantik. Waktu kelahiran anak itu dibersihkan dan dibedung. Pada hari ke 29 anak itu dicukur dan rambutnya dibungkus dengan kain merah dan digantung dekat bantalnya selama 100 hari dan kemudiannya dibuang ke dalam sungai. Dia diharap akan berani pada masa hayatnya. Setelah sebulan upacara "Bulan Penuh" akan diadakan dengan meriah. Ulang tahun kelahirannya tidak diperingati kecuali oleh anaknya pada waktu tua secara besar-besaran.
Kematian adalah upacara yang amat berharga dan mahal bagi anak-anak. Keranda yang baik, tanah kuburan yang baik dan pakaian kematian yang bagus memerlukan belanja yang besar, Inilah hadiah terbaik anak kepada ibu bapanya. Jika tidak mampu, masyarakat akan pasti membantu.
Anak lelaki yang tua memainkan peranan utama memastikan upacara mandi, memberi makan, kafan dan memasukkan ke dalam keranda seperti yang dinasihatkan oleh seorang tukang tilik. Keranda dijaga hingga beberapa hari tertentu untuk lawatan dan sembahyang dan dikebumikan pada satu hari ganjil.
Upacara pengkebumian adalah acara yang amat meriah denganperaturan tertentu. Selepas pengkebumian diadakan pelbagai upacara lain terutama pembakaran colok dan alatan diperbuat dari kertas sebagai bekalan hidup di akhirat. Oleh itu banyak kepercayaan dan pantang larang yang mesti diperhatikan berkaitan kematian.
Sepanjang tahun banyak sekali perayaan yang diikuti oleh orang Cina. Setiap bulan ada saja kegiatan dan upacara serta dewanya untuk dipuja. Adat resam mereka amatlah banyak dan dilakukan mengikut perubahan "musim" terutama musim pertanian dan iklim seperti di negara China.
No comments:
Post a Comment