Saturday, November 21, 2009

IBADAT HAJI - UMRAH DAN ZIARAH

KELEBIHAN DAN KEMULIAANNYA MASJIDIL HARAM
Masjidil Haram meliputi Ka'bah, tempat tawaf di sekelilingnya serta semua bangunan dan halaman untuk bersolat. Ianya termasuk bahagian pembesaran yang dimulai pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a. sehingga ke zaman Khadimul Haramain Raja Fahd bin Abdul Aziz.
Masjidil Haram mempunyai kelebihan yang mulia dan unik yang tidak dimiliki oleh mana-mana tempat di dunia ini. Kemuliaan ini kerana kedudukannya yang berada di Makkah. Makkah adalah merupakan bumi yang sangat mulia di mana terdapatnya binaan Ka'bah di dalamnya.
Terdapat banyak dalil-dalil dari Al-Quran yang menyebut dengan jelas tentang hubungan dan kaitan yang rapat antara Ka'bah, Masjidil Haram dan Makkah secara umum.
Pertama:- Perkataan "Masjidil Haram" bermaksud "Ka'bah". Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:-
"Kami sering melihat engkau (wahai Muhammad) mengangkat mukamu ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke arah kiblat yang engkau sukai. Palinglah mukamu ke arah Masjidil Haram".
(Al-Baqarah: 144).
Kedua:- "Masjidil Haram" bermaksud "Makkah". Firman Allah s.w.t. yang maksudnya:-
"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang musyrik (kafir) itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram selepas tahun ini".
(At-Taubah: 28).
Perkataan "Masjidil Haram" ini telah disebut sebanyak 15 kali di dalam Al-Quran. Tidak syak lagi semua dalil ini menunjukkan kelebihan serta kemuliaan Masjidil Haram dan Makkah keseluruhannya.
Masjidil Haram telah dimuliakan sejak sebelum Islam lagi. Kaum Arab tidak memasuki kawasan Haram dengan kasut mereka sebelum Islam. Mereka mengelilingi Ka'bah dengan tidak berpakaian kerana mereka percaya bahawa pakaian mereka telah dikotori oleh dosa-dosa mereka. Kaum lelaki melakukan tawaf pada waktu siang dan perempuan pada malam hari.
Sebagai memuliakan Ka'bah, Arab Quraisy juga tidak membina rumah-rumah mereka dengan bentuk empat segi tetapi dengan bentuk bulatan.

No comments: