Friday, November 13, 2009

GURU SEBAGAI PENILAI

Penilaian mungkin merupakan bidang yang paling rumit dari seluruh proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia melibatkan pelbagai macam hubungan. Seorang guru yang peka selalu menilai murid-muridnya menurut tanggapan mereka terhadap situasi belajar. Tidak mustahil bahawa guru boleh jadi mempunyai penilaian yang salah mengenai bagaimana seharusnya tanggapan para muridnya. Kerana penilaian hanya berikutan dengan tanggapan yang dapat disaksikan terus, maka mustahillah membuat penilaian mengenai banyak pengaruh kecil-kecil yang mengubah hidup seseorang bertahun-tahun, setelah pengalaman-pengalaman di kelas yang sesungguhnya dilupakan.
Dalam membuat penilaian, guru mesti memahami para murid dalam hubungannya dengan lingkungan serta tempatnya di dalam situasi sekolah, masyarakat atau universiti. Ia perlu mengetahui hal-hal yang berpengaruh pada pekerjaan muridnya. Murid pula berkepentingan untuk mengetahui apa yang telah ia capai dalam kelas. Ia ingin tahu bagaimana penilaian guru mengenai dirinya meskipun menilai umum adalah rumit sifatnya. Namun, penilaian yang paling bererti ialah yang terjadi pada waktu guru memberi tanggapan langsung terhadap murid menurut hasil pekerjaan murid tersebut.
Guru mesti mempunyai pertimbangandan tanggungjawab apa akibat yang timbul kepada murid dari penilaian itu dan apa akibat yang mungkin akan timbul. Ia harus menjaga agar penilaian itu benar-benar berdasarkan pertumbuhan pertumbuhan murid dan sama sekali tak merugikannya. Ia harus didorong dan diberi gambaran mengenai kemajuan yang telah dicapainya. Penilaian harus dilakukan dengan seobjektif mungkin. Tidaklah adil untuk memberikan kepadanya suatu penilaian yang tidak benar dan tidak realistik dengan memperlihatkan kejayaan yang tak pernah dicapainya atau potensi yang tidak dimilikinya.
Tujuan guru bukanlah mengadili murid. Sebaliknya, ia berhati-hati untuk menggalakkan pertumbuhan untuk membantu murid memahami tempatnya di dalam proses. Ia juga untuk membimbing dengan cara-cara yang dapat membantu untuk menggalakkan kekuatannya dan untuk menasihatinya mengenai kelemahan-kelemahannya. Setiap guru bekerja dengan murid dalam ikatan yang sangat rumit yang dipengaruhi oleh reaksi murid terhadap guru sebelumnya ataupun pengajaran pada umumnya. Namun mengingat kerumitan ikatan yang ada antara guru dan murid, kita hanya dapat meninjau guru sebagi penilai.
Guru pada umumnya tidak senang membuat penilaian atas muridnya. Suatu penilaian dapat menghalang kemajuan murid dan proses pertumbuhannya oleh gambaran yang diberikan dalam penilaian itu kepada murid. Guru menyedari hal itu dan diharapkan tanpa peduli seberapa pun kemajuan yang berjaya dicapai oleh murid, guru mampu menghargai dan memberi dorongan kepada murid.
Guru memerhatikan murid dan dengan suatu cara memastikan potensinya. Ia melakukan sejumlah ujian yang bersifat objektif. Ia mendengarkan murid dengan saksama untuk membantunya menentukan siap atau belumnya ia menghadapi jenis pekerjaan yang dikehendaki daripadanya. Pada waktu mendengar muridnya, mungkin guru merasakan tidak ada arah, adanya kegelisahan, keperluan untuk diakui, ketakutan yang mungkin terungkap dalam suaranya, dalam pandangannya atau pun dalam pengakuannya yang sederhana.
Guru terus menerus menilai perkembangan murid dan tahu bila ia harus mendesak muridnya agar bekerja lebih giat. Ia terus menerus menilai dirinya sendiri untuk melihat bagaimana hubungannya dalam proses itu dan setiap kali secara teratur mengkaji keadaan mental dan emosinya untuk menjaga supaya tidak kekurangan keghairahannya. Barangkali bahaya terbesar untuk pengajaran yang baik ialah bahawa pengajaran itu menjadi demikian rutin sifatnya sehingga guru tidak lagi memberikan penilaian peribadi kepada setiap muridnya. Pada hal penilaian itu sebenarnya menjadi hak mereka.
Dalam membuat rencana dan mengadakan penilaian, guru harus sentiasa waspada dalam menggunakan ukuran-ukuran. Apabila ia sedang menilai suatu aktiviti sosial, maka ia mengukurnya dengan ukuran-ukuran moden yang mana hal itu menjadi tujuan penilaiannya. Bila minatnya terarah pada gagasan sosial dalam tinjauan sejarah, maka ia mengukurnya dengan yang berlaku pada masa yang sedang ditinjau. Apabila ia sedang menilai seorang murid, maka ia mencuba mengukur murid itu menurut ukuran yang diberikan oleh penilaian-penilaian terdahulu. Ukuran-ukuran yang dihasilkan oleh ujian-ujianterhadap banyak pelajaran yang dikelompokkan menurut tahun umurnya, umur mental dan lingkungan sosial serta ekonominya.
Setelah murid diukur dengan segala ukuran yang munhkin, guru kemudian terus menerus mengukur murid itu dengan dirinya sendiri berdasarkan kesedaran bahawa keterangan yang didapati dari ujian dan bentuk-bentuk penilaian lain hanyalah merupakan bahan yang berguna sebagai petunjuk untuk menentukan potensi murid. Tujuan akhirnya ialah agar murid mengembangkan kemampuan untuk melanjutkan penilaian yang objektif dan tepat atas pertumbuhan dan perkembangannya sendiri. Ini akan memberi kesempatan kepada gurunya untuk membimbing orang lain dalam perjalanan ke arah pengembangan diri.
Proses belajar sebenarnya tidak ada awalan dan tidak ada akhir. Kita tak tahu hari dan saat seseorang anak dapat berjalan. kita tidak tahu hari dan saat ia belajar bercakap atau pun hari dan saat kita menjadi dewasa. Apa yang menurut anggapan kita bahawa kita ketahui dan kita yakini, ternyata ia sentiasa mengalami perubahan sehubung dengan pelbagai macam keadaan.
Jadi, guru sendiri adalah seorang pelajar.Apa yang telah dikatakan menganai pengajaran hanyalah merupakan saranan yang dapat memberi kesan mengenai apa yang mungkin dibicarakan dalam hal itu. Apa yang diharapkan ialah bahawa pemikiran-pemikiran lain akan terangsang dan suatu usaha mencari kebenaran dan kebijaksanaan yang lebih luas akan dimulakan.
Setiap guru sepatutnya menjadi pengajar yang besar atau peribadi yang besar. Guru perlu tumbuh menuju kesempurnaan dalam segala segi kehidupan yang bersangkutan dengan pengajaran. Guru seharusnya mempunyai pandangan yang semakin jelas mengenai tujuan dan pertumbuhan yang semakin mantap dalam menuju pendidikan cemerlang.

No comments: