Sunday, November 22, 2009

BAPA BENTAYAN, BENTAYAN DAN ANAK BENTAYAN

oleh:- penjaga kubur.
Hari ini terlalu banyak sekali jemputan aku terima. Ada jemputan kenduri kahwin, ada jemputan kenduri bersunat (berkhatan), ada jemputan kenduri tarik buai anak dan cukur rambut, ada jemputan kenduri bertunang, ada jemputan kenduri kesyukuran (anak atau cucu dapat 5A UPSR), ada jemputan kenduri tahlil, ada jemputan kenduri naik rumah baru dan macam-macam lagi kenduri.
Aku kira kad jemputan kenduri kahwin sahaja yang aku terima ada empat keping kad. Hari ini aku kena agih-agihkan masa aku agar dapat menghadiri setiap kenduri tersebut. Aku bernasib baik kerana jemputan yang paling jauh aku terima dari Taiping ada dua jemputan kenduri kahwin dan bersunat.
Hari ini aku nak cerita satu kisah yang berlaku di majlis kenduri bersunat. Peristiwa ini nak dikatakan sama seperti rancangan 'jejak kasih' pun boleh sebab apabila kita berjumpa dengan orang tua-tua, mulalah mereka "bersoreh" (bertanyakan asal usul kita) dan ada ketikanya kita kelu kerana tak pandai "bersoreh".
"Cikgu sudah makan?" Tegur Bentayan sambil tersenyum ke arah aku.
"Sudah, saya nak rehat kejap, lepas ni nak pergi kenduri di Chemor pulak." Balas aku.
"Bentayan, anak awak yang nak bersunat, umur berapa?" Aku pulak bertanya apabila aku lihat Bentayan menarik kerusi dan duduk di sebelah aku.
"Huh, baru lega dapat duduk, tetamu pun dah kurang". Keluh Bentayan tanpa menjawab soalan yang aku ajukan kepadanya.
"Maafkan saya cikgu. Apa yang cikgu tanya tadi?" Pinta Bentayan. Mungkin dia rasa bersalah kerana tidak menjawab soalan aku.
"Anak yang nak bersunat tu umurnya berapa?" Aku ulang semula kepada Bentayan.
"Oh! Umurnya 8 tahun, baru darjah dua. Dia sekolah di sekolah yang cikgu mengajar tu". Jawab Bentayan.
"Di sekolah tempat saya mengajar?" Soal aku kepada Bentayan dan aku berasa sedikit malu kerana tidak mengenali murid aku sendiri.
"Ya, mungkin cikgu tak berapa kenal sebab kami baru pindah ke sini. Jadi, saya sekolahkan di sekolah tempat cikgu mengajar tu kerana dekat dengan rumah saya." Terang Bentayan bagaikan menyelamatkan aku dari terus berasa malu.
"Sebenarnya cikgu, saya rasa cikgu adalah orang yang paling bertuah kerana dapat mendidik tiga generasi dalam keluarga saya." Terang Bentayan kepada aku.
"Saya kurang faham apa yang Bentayan maksudkan itu?" Balas aku kerana kurang mengerti apakah maksud yang ingin Bentayan sampaikan.
"Begini, saya dulu pernah belajar dengan cikgu. Anak saya juga sedang belajar dengan cikgu. Cikgu ingat tak yang bapa saya pun pernah belajar dengan cikgu?" Terang Bentayan kepada aku. Aku terus berimajinasi seketika. Barulah aku teringat bahawa aku pernah mengajar bapa Bentayan semasa aku mengajar di sekolah menengah dulu. Memang betullah kata Bentayan. Aku pernah mengajar bapa Bentayan, aku pernah mengajar Bentayan sendiri dan kini aku sedang mengajar anak Bentayan.
Persoalannya:-
Adakah aku sempat untuk mengajar anak kepada anak Bentayan?

1 comment:

Anonymous said...

kalau umur panjang sempat la.. insyaALLAH.