MUKADIMAH
Apabila kita membaca akhbar-akhbar harian atau pun menonton Berita TV acapkali kita dikejutkan dengan berita-berita berkaitan dengan pelajar sekolah. Kita pernah dengar pelajar mati ditikam dalam bas sekolah, pelajar cedera parah diserang oleh rakan, pergaduhan antara kumpulan (geng) dan berbagai lagi kes disiplin yang melibatkan pelajar sekolah. Ini adalah merupakan kes-kes yang berat. Ini tidak termasuk lagi dengan kes merokok, ponteng sekolah, curi dan lain-lain.
Untuk mengatasi masalah disiplin ini kita seharusnya dapat memastikan sekurang-kurangnya 10 perkara atau isu diselesaikan terlebih dahulu. Jika salah satu di antara yang 10 ini tidak positif maka masalah disiplin dikalangan pelajar-pelajar tidak akan dapat di atasi. Melalui usaha penyelesaian isu atau 10 perkara inilah akan dapat membanteras masalah disiplin hingga ke akar umbi.
1. HUBUNGAN PELAJAR DENGAN IBU BAPA DI RUMAH
Dalam kesibukan ibu bapa mencari nafkah kadang-kadang mereka lupa memberi perhatian kepada anak-anak yang bersekolah. Disamping itu, kebanyakan ibu bapa di bandar yang kurang arif ketika berinteraksi dengan anak-anak mereka. Dalam aspek ini, ibu bapa sewajarnya dapat mengenali anak-anak mereka yang bermasalah dan mereka juga sewajarnya cuba mencari jalan untuk mengatasinya.
2. HUBUNGAN PELAJAR DENGAN GURU-GURU DI SEKOLAH
Masalah disiplin pelajar di sekolah hanya diletakkan di bahu guru displin sahaja. Penyelesaian bersama perlu diwujudkan di dalam jiwa guru-guru yang lain. Staf sokongan juga sewajarnya dilibatkan bersama untuk menguruskan hal disiplin pelajar ini. Suasana di sekolah perlu sentiasa harmonis dan ceria. Suasana sebegitu boleh menghindarkan konflik guru dan pelajar yang dapat membantu meningkatkan tahap disiplin pelajar.
3. HUBUNGAN DENGAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Interaksi dua hala dalam pengajaran dan pembelajaran dapat mengenali masalah pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran. Penumpuan pelajar juga dapat difokaskan apabila masalah yang mereka hadapi telah cuba di atasi oleh guru-guru. Masalah disiplin dalam bilik darjah dapat dihindarkan apabila pelajar mula memberi fokus kepada pelajaran yang diikutinya.
4. HUBUNGAN SEKOLAH DENGAN MASYARAKAT (PIBG):-
Suasana yang harmonis juga perlu diwujudkan antara sekolah dengan komuniti. Selain ibu bapa, jiran tetangga juga diberi peranan dan diberi peluang bersama pihak sekolah dalam usaha untuk membanteras masalah disiplin pelajar. Program bersama antara sekolah dengan komuniti akan menjadikan pelajar takut untuk melakukan sesuatu yang boleh melanggar disiplin sekolah. Pepatah "jangan menjaga tepi kain orang" perlu dikikis di kalangan kita.
5. HUBUNGAN PELAJAR DANGAN PELAJAR
Unit bimbingan dan kaunseling sekolah akan membentuk Kumpulan Rakan Sebaya. Setiap mereka dalam kumpulan perlulah bebas dari perlanggaran disiplin dan akan diberi penghargaan. Begitu juga dengan guru yang membimbing kumpulan turut diberi penghargaan. Apabila semua arahan dipatuhi melalui aktiviti setiap kumpulan, pihak sekolah akan dapat meningkatkan tahap disiplin pelajar-pelajarnya.
6. SEKOLAH SEBAGAI PREMIS PEMBELAJARAN YANG KONDUSIF
Aspek ini sering diabaikan oleh pengurus sekolah. Kondusif bukan sahaja bermakna sekolah itu bersih, ceria dan cantik dengan hiasan-hiasan tetapi mesti juga lengkap dengan perabot serta kemudahan yang lain. Keselesaan bilik darjah, pusat sumber, makmal sains dan sebagainya akan dapat membantu meningkatkan tahap disiplin pelajar. Apabila semua mencukupi tidak akan berlaku perebutan yang boleh mencetus pergaduhan kalangan pelajar.
7. MENGATASI MASALAH STRESS - TENSION
Apabila aktiviti kurang pelajar akan jemu. Perasaan jemu akan menjadikan pelajar itu berada dalam tekanan. Stress atau tension akan muncul dalam diri pelajar. Akibatnya, mereka akan melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan masalah disiplin. Dengan mempelbagaikan aktiviti serta program di sekolah, pelajar akan menjadi lebih ceria dan bersemangat untuk menyertai setiap aktiviti tersebut.
8. PELAJAR INGIN MELIHAT BUKTI KESUNGGUHAN
Setiap sekolah, kes-kes yang melibatkan disiplin ini hanyalah sekitar 5% hingga 10% sahaja. Lebihnya lebih berminat untuk belajar. Namun begitu bilangan yang kecil inilah petlu kita tangani agar tidak merebak lebih meluas lagi. Oleh itu peranan pelajar yang lain yang dapat membantu perlu diiktirafkan serta diberi penghargaan. Pihak sekolah wajar menunjukkan kesungguhan dalam menangani masalah disiplin ini dari Guru Besar hinggalah pekerja yang ada di sekolah.
9. MERTABATKAN PENGAWAS SEKOLAH
Melalui "Lembaga Pengawas" (Board of Prefect) akan memantapkan struktur organisasi sekolah tersebut. Peranan serta ketegasan pengawas sekolah akan membantu pihak sekolah dalam usaha mengatasi masalah disiplin pelajar. Lembaga Pengawas sewajarnya boleh bersidang sendiri membicarakan pelajar yang terlibat dengan salah laku dan boleh mengambil keputusan sendiri tanpa kehadiran guru disiplin sekolah.
10. KEUPAYAAN MEMAHAMI IDEALISMA DAN ASPIRASI PELAJAR
Ini adalag aspek yang terpenting. Namun begitu, inilah aspek yang sering diabaikan atau tidak terfikir oleh pihak sekolah. Peti cadangan di sekolah perlu berperanan dan bukan hanya sekadar ada sahaja. Setiap cadangan perlu dibincangkan serta diulaskan oleh Guru Besar atau Penolong Kanan. Selain dari cadangan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran, pihak sekolah juga bersedia menerima cadangan-cadangan lain seperti berkaitan dengan kemudahan, peralatan, keselesaan malahan mungkin terdapat nama-nama palajar yang melakukan pelanggaran disiplin dimasukkan ke dalam peti cadangan.
KESIMPULAN
Kegagalan pihak pengurus sekolah menghubungkan kesepuluh faktor di atas dan melihat isu yang berbangkit secara sepadu menyebabkan mereka gagal membanteras kemerosotan disiplin pelajar hingga ke akar umbi. Kaedah yang dilaksanakan sekarang, pengurus sekolah melihat kes-kes disiplin secara terpisah-pisah. Penyelesaian kes dibuat secara "ad hoc" yang akibatnya akan berbangkit kes-kes yang baru, manakala kes-kes yang lama juga akan muncul semula laksana rumput yang dipotong akan memanjang semula selagi akarnya tidak tercabut.
No comments:
Post a Comment