UNSUR-UNSUR KUALITI DALAM PENDIDIKAN
Dilihat secara menyeluruh terdapat tiga unsur dalam pendidikan berkualiti:-
1. Kualiti tenaga manusia (guru)
2. Kualiti proses (pengajaran dan pembelajaran)
Kualiti hasil (manusia yang dikeluarkan)
Ketiga-tiga unsur inilah yang boleh mencerminkan pendidikan berkualiti. Ia bermula dengan guru yang baik. Diikuti oleh proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan diakhiri oleh keluaran yang bermutu tinggi.
Guru yang berkualiti ialah guru yang pertamanya bersikap profesional, yang mahir dalam hal-hal perguruan, tahu tentang teori dan praktiknya, tahu tentang pengajaran dan pembelajaran, peka terhadap perkembangan pendidikan, mengikuti perkembangan ilmu dan patuh kepada tatasusila profesion perguruan. Secara amnya, guru berkualiti ialah guru yang dedikasi, komited, bertanggungjawab dan sanggup berkorban. Guru itu diibarat sebagai lilin yang membakar dirinya untuk menerangi orang lain.
Proses pendidikan yang berkualiti pula ialah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Ini bermakna apa yang diajar oleh guru dapat diterima dan dihayati oleh murid. Proses yang berkualiti ini dapat digambarkan dengan suatun keadaan di mana pengajaran dan pembelajaran, baik dalam kurikulum mahu pun kokurikulum, berjalan dengan licin dalam sesebuah institusi pendidikan.
Hasil yang berkualiti bermaksud manusia yang pintar yang keluar dari sesuatu institusi pendidikan setelah dididik oleh guru dalam suatu proses pengajaran dan pembelajaran.
Jadi dapat dilihat ketiga-tiga unsur kualiti yang tersebut mencerminkan pendidikan berkualiti. Unsur kualiti tenaga manusia dan unsur kualiti proses membantu ke arah menghasilkan kualiti keluaran. Kalau guru baik dan pengajaran dan pembelajaran berkesan, hasilnya biasanya adalah baik. Begitulah sebaliknya. Namun seperti yang dinyatakan pada awal-awal lagi ukuran terakhir ialah hasil keluaran. Kalau keluaran baik, maka pendidikan disifatkan sebagai berkualiti.
Melihat kepada ciri-ciri, kriteria dan realiti yang ada, maka satu soalan akan timbul.
Apakah pendidikan sekarang berkualiti?
Jawapan yang tegas, "YA" atau "TIDAK" sangat sukar diberi. Ia bergantung kepada siapa yang menilai dan dari sudut mana.
Pembuat dasar, jawapannya adalah "YA" kerana pendidikan sekarang berjaya mengeluarkan tenaga mahir untuk keperluan negara seperti yang dicita-citakan oleh Dasar Pendidikan Negara.
Bagi pembayar cukai, pemerhatiannya berbeza. Pada suatu ketika dulu seperti dalam tahun-tahun 60'an dan 70'an, pekerjaan mengejar pendidikan. Dalam ertikata lain, lulusan sekolah, maktab dan universiti dengan senang mendapat pekerjaan. Siatuasi ini berubah sama sekali dalam tahun 80'an. Malaysia mengalami satu keadaan tidak seimbang. Ramai orang yang mempunyai kelulusan tetapi tidak banyak pekerjaan yang dapat ditawarkan kepada mereka. Ketidakseimbangan antara pendidikan dan pekerjaan ini adalah suatu yang tidak patut berlaku. Tujuan pendidikan formal seperti yang difahami oleh ibu bapa dan pelajar adalah untuk menyediakan anak-anak muda untuk hidup dan bekerja dalam sistem yang dibentuk oleh dunia moden ini.
Kesan besar daripada ketidakseimbangan antara tujuan pendidikan dan realiti ekonomi tertimpa ke atas pelajar. Mereka kecewa kerana aspirasi mereka tidak dapat dicapai. Jurang yang berlaku antara aspirasi dan peluang ini menyebabkan ketegangan berlaku dalam masyarakat. Apabila sektor ekonomi tidak dapat menyerap tenaga mahir yang ramai, maka akan timbul soalan: Apakah pelajaran yang diberi itu sesuai dengan kehendak pasaran buruh? Apakah pendidikan peka dengan perubahan-perubahan yang berlaku? Kalau demikian, institusi-institusi pendidikan harus mengkaji diri sendiri dan kemudian menyesuaikan diri dengan perubahan yang pesat berlaku. Ini sekaligus menyatakan bahawa pendidikan sekarang belum boleh dikatakan berkualiti.
Bagi seorang "moralist", lain pula pandangannya. Dalam dunia yang pesat berubah ini manusia seolah-olah kehilangan pedoman. Nilai-nilai tradisi dicabar oleh perkembangan dalam sains, teknologi, ekonomi dan politik. Nilai-nilai ini terburai dan ini dapat dilihat apabila anak-anak muda yang dididik dalam sistem sekolah yang ada, berlagak luar dari norma-norma yang biasa, baik dari segi kelakuan, pakaian dan lain-lain. Apakah sebabnya anak0anak muda berperilaku sedemikian rupa? Semua tangan akan menghala ke arah sekolah. Sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan gagal mempertahankan tahap nilai perlakuan yang baik dan gagal mengajar anak-anak muda untuk menerimabaik nilai-nilai tradisi ini. Ini bermakna pendidikan belum sampai kepada tahap yang boleh dikatakan berkualiti.
Namun bagi guru pula, iaitu pengamal pendidikan yang berada secara langsung di dalam sistem, jawapan kepada soalan itu adalah "YA" dan "TIDAK". Jawapan ini lebih realistik kerana guru merasai realitinya dari dalam dan bukan melihat seperti orang lain dari luar sistem. Guru, misalnya mengakui kualiti tinggi murid yang dikeluarkan oleh institusi-institusi pendidikan tahun demi tahun dari segi pencapaian akademik. guru juga mengakui kebolehan murid atau pelajar yang lebih baik dari yang sudah-sudah dalam kegiatan kokurikulum. Pada masa yang sama, guru mengakui sejumlah besar manusia yang dikeluarkan tidak dijamin dari segi disiplinnya. Begitu penilaian guru mengenai kualiti dalam hal-hal pendidikan. Ada "YA" dan ada "TIDAK". Dasar kepada jawapan ini ialah bahawa nilai itu adalah relatif dan subjektif.
No comments:
Post a Comment