Pendidikan sejak zaman berzaman telah diakui sebagai unsur terpenting dalam pembangunan tamadun manusia. Perkembangan ekonomi dan sosial yang berlaku di banyak negara tercetus oleh pendidikan. Pendidikan digunakan sebagai alat untuk menimbulkan kesedaran politik dan sosial, disamping mengeluarkan tenaga mahir. Ini ditambah pula dengan faedah-faedah yang dapat dinikmati oleh orang perseorangan adalah hasil dari pendidikan yang boleh dilihat dengan nyata. Pendidikan terus menerus menjadi penting.
Pendidikan diberi berbagai definisi iaitu mengikut fahaman seseorang dalam konteks yang dibicarakan. Ada orang melihat pendidikan itu sebagai suatu proses dan ada yang melihat pendidikan sebagai 'sesuatu'. Apabila pendidikan itu dianggap sebagai proses, maka kita dapati beberapa pengertiannya seperti:-
1. Pendidikan ialah usaha sistematik yang disengajakan, yang dibuat oleh sesuatu masyarakat untuk menyampaikan pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran.
2. Pendidikan ialah usaha memperkembangkan potensi individu.
3. Pendidikan ialah perubahan yang berlaku dalam diri manusia.
Apabila pendidikan dilihat sebagai 'sesuatu', pengertiannya adalah berbeza sedikit:-
1. Pendidikan adalah sesuatu yang secara bertahap ditanam ke dalam diri manusia.
2. Pendidikan dilihat sebagai ilmu yang dititiskan ke dalam diri insan secara beransur-ansur, secara terancang mengikut peringkat kebolehan masing-masing.
Dalam kedua-dua bentuk pengertian itu, pendekatan yang berlainan digunakan:-
1. Mengambil pendekatan kemanusiaan.
2. Menggunakan pendekatan ketuhanan.
Namun begitu, sebenarnya tiada perbezaan yang besar antara kedua-duanya, apabila kita melihat kepada tujuan pendidikan itu sendiri. Walau apa pun pengertian yang diberi, pendidikan tetap bertujuan membentuk manusia supaya menjadi baik. Harmonis dengan dirinya, harmonis dengan manusia lain, harmonis dengan alam sekelilingnya dan harmonis dengan Tuhannya.
Nyata sekali pendidikan bertujuan membentuk manusia menjadi insan yang berguna kepada diri dan masyarakat. Sesuai dengan konsep manusia itu diciptakan sebagai 'sebaik-baik kejadian', maka pendidikan berusaha mengeluarkan segala potensi yang ada pada diri manusia iaitu akalnya, rohnya, emosinya dan jasadnya.
Banyak lagi definisi-definisi yang diberi untuk menghuraikan pendidikan, Namun di dalamnya ada dua unsur penting yang tidak berubah:-
1. Manusia
2. Ilmu
Apabila dua unsur dasar ini wujud, maka berbagai masalah timbul kerana usaha berterusan menitiskan ilmu ke dalam diri insan adalah suatu tugas yang besar lagi berat. Demikianlah terdapatnya persoalan-persoalan yang berbangkit:-
1. Apakah jenis ilmu yang hendak diberikan kepada manusia?
2. Mengapakah ilmu itu harus diberikan?
3. Bagaimana ilmu itu hendak diberikan?
Setiap soalan akan mencapahkan masalah. Setiap lapisan orang yang berhubung dengannya akan bertembung dengan banyak isu.
No comments:
Post a Comment