ADAT RESAM KAUM INDIA
Masyarakat India khususnya Tamil mengikuti resam adat agama Hindu meskipun ramai orang India yang beragama lain. Seperti kaum-kaum lain di Malaysia mereka juga menerima kunjungan dari jiran tetangga. Membawa buah tangan amatlah digalakkan sebagai tanda terima kasih kepada tuan rumah. Masuklah ke rumah mereka dengan kaki kanan dahulu.
Mereka menyapa dengan sebutan "vanakam" dan sentiasa bertanyakan tentang kesihatan, kerja, perniagaan atau sebagainya. tetamu sentiasa dijamu minuman atau makanan dan tetamu mesti sudi menerima hidangan dengan baik sebagai tanda hormat kepada tuan rumah. Jika menerima sesuatu, elok digunakan tangan kanan sebagai tanda kebaikan dan kesyukuran.
Keluarga amat penting dalam masyarakat Tamil. Meskipun bapa memainkan peranan utama tetapi ibu adalah paling dihormati yang dianggap mulia. "Ibu adalah umpama Tuhan" dan anak perempuan pun dipanggil "amma" seperti seorang ibu. Demikian itu penjagaan anak perempuan amat diperhatikan terutama ketika dara.
Seorang suami pula adalah "Tuhan bagi isterinya" dan mesti sentiasa dihormati. Oleh itu proses perkahwinan ditentukan oleh seorang ketua agama yang membuat tilikan masa bertuah serta raksi pasangan berkahwin. Masa yang bertuah amatlah penting bagi segala acara dan upacara untuk mengelakkan berlakunya mala petaka ataupun nasib buruk. Untuk mengelakkan dari keadaan buruk maka biasanya perkahwinan dilakukan pada waktu tengah malam atau matahari akan naik.
Upacara perkahwinan dilakukan di rumah pengantin perempuan ataupun di kuil oleh seorang ketua agama. Pada satu kawasan empat segi di kuil itu, sami akan menyalakan api dan menyembah Tuhan untuk menyaksikan perkahwinan itu.
Seorang bayi adalah acara penting keluarga dan masyarakat. Semua saudara mara dimaklumkan apabila lahir seorang bayi. Selama 16 hari selepas lahir keluarga tidak boleh melakukan sebarang upacara agama. Pada hari ke 16 upacara penting diadakan untuk menamakan anak. Rumah akan dihiasi cantik, buaian dihiasi dan jiran-jiran dijemput bersama meraikannya.
Nama seorang anak didapati dari almanak Hindu mengikut bintang dan hari kelahirannya. Seorang ketua agama akan ditanyakan untuk mencari nama bertuah itu mengikut aksara bintangnya. Ketika menamakan, bayi itu dipangku oleh orang tua satu persatu sambil menyanyikan doa agama oleh kaum wanita. Selepas itu, saudara mara yang hadir akan memberinya gelang untuk dipakaikan sebagai tanda selamat. Pada hari ke 30, bayi itu dibawa ke kuil dan upacara diadakan dengan doa selamat.
Terdapat banyak perayaan di kalangan orang Tamil. Di sepanjang tahun, mengikut kalendar Hindu mereka mengadakan pelbagai upacara bersembahyang berkaitan musim dan perubahan tahun seperti di negeri India. Masyarakat Hindu sembahyang tiga kali sehari, pagi, tengah hari dan petang di tempat tertentu di rumah. Mereka juga pergi ke kuil untuk bersembahyang ataupun mengadakan upacara agama.
Perayaan Hindu adalah mengikut peredaran bulan dan setiap bulan ditandakan oleh bulan mengembang dan menirus. Sebanyak 21 jenis perayaan yang dilakukan termasuklah yang penting seperti "Thaiponggal", "Thaipusam" dan "Deepavali".
Thaiponggal merupakan perayaan menuai dan "masak padi baru" serta "memuja semangat padi". Ia adalah masa yang amat bertuah untuk mengadakan perkahwinan dan upacara lain. Rumah dibersihkan dan dihiasi serta "ponggal" (beras baru) dimasak di dalam periuk baru untuk dipersembahkan kepada Dewa Matahari dan juga disedekahkan kepada jiran tetangga.
Thaipusam adalah perayaan bulan "Thai" untuk membersihkan diri dengan menggunakan susu, madu dan bunga di kuil dengan persembahan kepada dewa Subramaniam. Pada masa ini dibawa "kavadi" yang berisi buah-buahan, susu dan pelbagai persembahan.
Deepavali ialah "perayaan cahaya" sebagai tanda kejayaan "cahaya" ke atas "gelap" atau "ilmu" ke atas "kejahilan" atau pun "keadilan" mengatasi "kezaliman". inilah perayaan paling utama orang Hindu dan sembahyang diadakan terutama doa arwah. Lampu dinyalakan pada pagi hari, makan dihidang di atas daun pisang dan sebiji kelapa dibelah. Ketua keluargamengusap kepala anggota keluarga dengan minyak dan kemudian mereka mandi untuk menyucikan diri dan berdoa. kemudian barulah mereka saling berjunjung ke rumah jiran-jiran dan beraya.
No comments:
Post a Comment