Saturday, November 7, 2009

IBADAT HAJI - UMRAH DAN ZIARAH

HURAIAN PERKARA-PERKATA WAJIB HAJI
1. NIAT IHRAM DI MIQAT
Bakal-bakal haji yang menuju ke Tanah Suci kerana menunaikan ibadat haji apabila sampai di miqatnya iaitu tempat yang ditentukan untuk berniat ihram atau had sempadan yang menyamainya, maka wajiblah ia berniat ihram, Kiranya mereka masuk ke Tanah Suci dengan tidak berniat ihram di miqatnya wajiblah kembali semula ke tempat miqatnya untuk berniat ihram. Sekiranya tidak berbuat demikian boleh juga mereka berniat ihram di situ tetapi berdosa dan dikenakan dam.
A. MIQAT
Ertinya ketentuan tempat atau masa untuk berniat ihram haji atau umrah. Miqat terbahagi kepada dua iaitu Miqat Zamani (ketentuan masa) dan Miqat Makani (ketentuan tempat).
1. MIQAT ZAMANI BAGI HAJI
Firman Allah s.w.t. bermaksud:-
"(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu maka tidaklah boleh menyetubuhi isteri dan tidak boleh berbuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji."
(Al-Baqarah: 197)
Miqat Zamani bagi haji ialah bermula dari 1 haribulan Syawal hingga terbit fajar hari yang kesepuluh Zulhijjah. Inilah yang dinamakan bulan-bulan haji. Tidah sah ihram haji jika dilakukan di luar masa tersebut bahkan jadilah ihram umrah.
2. MIQAT ZAMANI BAGI UMRAH
Miqat Zamani bagi umrah ialah sepanjang masa laindari masa ia sedang berihram haji.
3. MIQAT MAKANI BAGI HAJI DAN UMRAH
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah menetapkan miqat bagi penduduk Madinah ialah Zulhulaifah, bagi penduduk negeri Syam ialah Al-Juhfah, bagi penduduk Najd ialah Qarnul Manazil, bagi penduduk Yaman ialah Yalamlam. Miqat-miqat tersebut adalah bagi penduduk negeri-negeri yang disebutkan itu dan juga bagi orang-orang yang datang melaluinya dari negeri-negeri lain yang hendak menunaikan haji dan umrah. Bagi mereka yang tinggal di tempat yang kurang jarak jauhnya dari kawasan miqatnya yang ditentukan itu naka miqat mereka ialah di tempat mereka sendiri hinggalah penduduk Mekah Makkah, miqat mereka di Makkah juga.
Miqat Makani haji dan umrah bagi penduduk di luar Makkah ialah:-
a. YALAMLAM
Miqat bagi penduduk-penduduk Yaman, India dan negeri-negeri sebelah timur termasuk Malaysia dan Indonesia yang datang dengan kapal laut. Yalamlam ialah nama sebuah bukit di tepi Laut Merah di dataran Semenanjung Tanah Arab dan jaraknya dengan Makkah lebih kurang 89 km.
b. ZULHULAIFAH (BIR ALI)
Miqat bagi penduduk Madinah dan sekitarnya, jaraknya dengan Makkah lebih kurang 450 km dan lebih kurang 10 km dari Madinah.
c. AL-JUHFAH (BERDEKATAN RABIGH)
Miqat bagi penduduk-penduduk Syam, Mesir, Maghribi (Morocco), Sepanyol dan negeri-negeri dari arahnya. Jarak dengan Makkah lebih kurang 187 km.
d. QARNUL MANAZIL
Miqat bagi penduduk-penduduk Kuwait, Najd dan bakal haji yang datang dengan kapal terbang melalui ruang angkasanya. jarak jauhnya dengan Makkah lebih kurang 94 km.
e. ZATU IRQIN
Miqat bagi penduduk Iraq yang jaraknya dengan Makkah lebih kurang 94 km.
Bagi penduduk-penduduk Makkah, Miqat Makani haji mereka ialah di rumah mereka sendiri. Adapun tempat berniat bihram umrah bagi penduduk Makkah dan juga bagi orang yang berada di Makkah ialah di Tanah Halak yang lebih baik iaitu:-
a. JA'RANAH lebuh kurang 22 km dari Al-Masjid Al-Haram
b. TAN'AIM lebih kurang 5 km dari Al-Masjid Al-Haram
c. HUDAIBIYAH (SYUMAISI) lebih kurang 29 km dari Al-Masjid Al-Haram
PERINGATAN:-
a. Mana-mana bakal haji yang berangkat ke Tanah Suci sama ada dengan kapal laut atau kapal terbang atau melalui daratan dengan menyeberangi atau melintasi negeri-negeri lain hendaklah berniat ihram mengikut Miqat Makani bagi penduduk-penduduk negeri yang dilaluinya itu. Misalnya seorang bakal haji Malaysia melalui negeri Najd hendaklah berniat di Qarnul Manazil.
b. Disunatkan mandi sunat ihram, memakai pakaian ihram dan sembahyang sunat ihram. Apabila tiba di miqatnya teruslah berniat ihram. Selepas itu wajiblah mereka menjaga pantang larang ihram sehinggalah selesai tahallul.
c. Jemaah haji yang menziarahi Madinah lebih awal (tidak mengikut Makkah dahulu) tidaklah berihram di miqat mengikut negerinya tetapi hendaklah berniat ihram di Zulhulaifah (Bir Ali) iaitu miqat bagi penduduk-penduduk Madinah dan kawasan yang sama dengannya.
d. Bagi mereka yang menaiki kapal terbang dan terus ke Makkah eloklah mandi sunat ihram, memakai pakaian ihram dan sembahyang sunat ihram di mana-mana tempat sebelum menaiki kapal terbang kemudian berniat ihram untuk mengelakkan daripada tertidur atau terlupa apabila sampai di miqat.

No comments: