INSTITUSI KEMASYARAKATAN
"Yang tua dihormati, yang muda disayangi."
Generasi Tua Dengan Yang Muda
1. Dalam hidup sekampung, mesti sentiasa ada rasa hormat kepada yang tua. Kita sewajarnya mendahulukan yang tua dan yang muda dikemudiankan, tidak kira lelaki atau perempuan. Kita sapa mereka dengan panggilan seperti keluarga. Yang tua boleh dipanggil "Pakcik" atau "Makcik", "Abang" atau "Kakak". "Adik" jika lebih muda dari kita.
2. Bertutur, bercakap atau berbual dengan yang tua mestilah menggunakan nada suara yang lembut dan kelakuan yang sopan.
3. Tidak digalakkan yang muda menyampuk percakapan yang tua, walaupun di dalam keadaan biasa. Begitu juga tidak digalakkan yang muda berjenaka dengan tua, apatah lagi mempermainkan yang tua. Itu tanda kurang ajar dan biadab.
4. Pertuturan dan kelakuan kasar tidak diizinkan dalam sebarabg pergaulan. Sopan santun dan tata susila akan melahirkan hubungan baik yang berterusan, walaupun umur dan pengalaman berbeza ataupun berbeza jantina. Malah, antara kenalan baru pun kelakuan kasar mesti dielakkan.
5. Dalam pada itu, yang tua perlu memberi peluang kepada yang muda untuk memberi pendapat atau pandangan. Buah fikiran mereka harus juga dihargai terutama jika bernas. Pendapat yang kurang bernas patut diperbaiki dan diberi tunjuk ajar dengan cara yang baik. Elakkan dari bersikap memerli atau memandang rendah.
6. Yang muda pula jangan cepat membantah jika pendapat tersebut kurang baik. Elok jika pendapat orang ditolak dengan secara yang halus dan merendah diri.
7. Yang tua atau yang muda jangan suka bermegah-megah atau menunjukkan sikap sombong. Kejayaan seseorang itu patut dihargai dan disanjung dengan ucapan tahniah dan galakan. Tidak patut seseorang yang berjaya dipandang serong atau diperli untuk merendahkannya.
Pemimpin Masyarakat dan Orang Awam
Pemimpin ibarat:
"Pohon rendang di tengah padang,
batangnya untuk bergantung,
buahnya untuk dimakan,
daunnya untuk berlindung".
1. Setiap orang di dalam masyarakat adalah sama kerana peranan sosial dan kemampuan ekonomi maka ada yang lebih dipandang tinggi dan dihormati. Walau pun begitu, kita perlu saling menghormati antara satu sama lain.
2. Kita patut menghormati seseorang yang dipilih menjadi pemimpin. Sudah pastilah dia terpilih kerana lebih baik dari yang lain. Kita juga patut bersama-sama menyokong pemimpin kita untuk menjayakan apa saja rancangan dan tindakan yang boleh memberi kebajikan bersama.
3. Para pemimpin pula tidak patut menunjukkan kuasa yang tidak berpatutan seperti suka membesar diri, sombong dan bermegah. Pemimpin dan yang dipimpin perlu bekerja bersama-sama, bermuafakat, berunding dan sama-sama mencapai kebaikan masyarakat selaras dengan semangat bergotong-royong. Pemimpin yang baik ialah yang murah hati kepada pengikut.
"Sungai Pahang sama direnang,
renang menuju Tanjung Berangan,
kerja susah jadi senang,
kerja berat jadi ringan."
4. Bertutur dengan dipimpin patut menggunakan bahasa yang sopan dan mengelakkan bahasa kasar. Dahulukan ucapan dengan perkataan "maaf" atau "tolong", seperti "maafkan saya, boleh tidak saya bertanya?.", Maaf saya tidak bersetuju dengan pandangan tuan". Tidak perlu kita berkasar dan berkeras dalam bahasa dan kelakuan.
5. Hidup bermasyarakat memerlukan tutur kata yang sopan, perangai yang halus dan pekerti yang mulia. Seperti kata orang; mulut mesti manis, hati mesti baik. Kelakuan harus selaras dengan kedudukan masing-masing dan tidak menjejaskan silaturrahim antara sesama kita.
Dari Abi Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:-
"Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan jirannya."
(Riwayat Al-Imam Muslim)
Masyarakat Umum
1. Anggota masyarakat yang berbudi adalah orang yang menunjukkan perangai, kelakuan serta peribadi yang baik dan sentiasa menjaga dirinya dari segala macam kelakuan buruk yang tidak disetujui oleh masyarakat.
2. Di kalangan anggota masyarakat elok kita saling menghormati dan memberi bantuan terutama kepada warga tua, warga istimewa, wanita dan kanak-kanak.
3. Sentiasalah beratur ketika ingin mendapat sesuatu seperti membuat pembayaran di kaunter atau menaiki bas. Jangan sekali berlaku kasar, menolak dan melanggar orang ketika berjalan atau ketika membeli belah.
4. Sentiasa sabar dan baik hati ketika menunggu lampu lalulintas ketika berkenderaan di jalan raya terutama ketika disimpang dan memasuki simpang. Kita tidak perlu terlalu berebut-rebut dan memotong orang dengan kenderaan. Ia membahayakan nyawa.
5. Bertimbang rasa adalah amalan budi yang amat baik. Tidak perlu kita bercakap dengan suara yang tinggi dan bising di tempat-tempat awam. Kawal diri dan suara kita kerana orang lain juga memerlukan ketenangan itu.
6. Mengelak dari melakukan kekotoran dan membuang sampah adalah budi yang baik. Lebih baik lagi jika kita bersama mengutip sampah yang berselerak, membuang dalam tong sampah supaya suasana tidak kelihatan buruk.
7. Tunjukkan budi bahasa yang mulia terhadap semua orang terutama kepada pelawat dan pelancong dari luar. ia memancarkan peribadi yang beradab dan negara serta bangsa serta bangsa yang bertamadun. Seperti kata pepatah, budi bahasa tidak dijual beli. Ia percuma dan murah.
No comments:
Post a Comment