Tuesday, November 24, 2009

MENGAPA PULA BERDUA-DUAAN?

oleh:- penjaga kubur
Malam minggu selepas solat maghrib, seperti yang telah dijanjikan aku memandu kereta bersendirian menuju ke Ipoh. Niat aku hanyalah satu iaitu untuk memenuhi permintaan anak murid aku Nabila Atisya. Berkali-kali Nabila Atisya menelefon aku untuk mengingatkan aku atas jemputannya itu. Aku sungguh bertuah kerana mendapat seorang murid yang sungguh pandai mengambil hati aku. Bagi aku, kejayaan yang dicapai oleh Nabila Atisya amat aku kagumi. Ketabahan dan kecekalannya menghadapi situasi pergolakan keluarganya tidak menghalang untuknya berjaya dalam UPSR.
Aku memandu sambil mendengar celoteh-celoteh juruhebah dari Radio Sinar. Sesekali mata aku menjeling bangku di sebelah aku di mana terletak bungkusan hadiah yang akan aku sampaikan nanti buat murid aku Nabila Atisya.
"Bungkusan hadiah macam nak bagi girl friend." Rungut adik perempuan aku semasa dia membalut bungkusan hadiah tersebut. Aku cuma ketawa kerana Nabila Atisya adalah cuma anak murid aku. Tidak lebih dari itu.
Aku meletakkan kereta aku di ruang letak kereta di sebelah kiri Hotel Heritage. Aku tidak perlu lama mencari kerana ruang letak kereta masih banyak yang kosong. Jam di tangan aku menunjukkan angka 7.45 yang menandakan aku tiba lebih awal lima belas minit. Aku terus mematikan engin kereta dan keluar menuju ke pintu besar hotel tersebut.
Sampai sahaja aku ke dalam dewan makan, aku terus mencari di mana Nabila Atisya dan ibunya. Puas aku mencari dan akhirnya aku terpandang seorang perempuan tersenyum kepada aku sambil melambaikan tangannya. Betul dan aku yakin perempuan itu adalah ibu Nabila Atisya.
"Mengapa seorang sahaja dan di mana Nabila Atisya?" Soal aku kepada diri aku sendiri sambil menuju ke arah ibu Nabila Atisya.
"Dah lama puan menunggu?" Tanya aku kepada ibu Nabila Atisya.
"Tak lama, baru saja saya sampai. Janganlah berpuan-puan pula dengan saya." Balas ibu Nabila Atisya dengan suara yang sungguh manja sambil menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan aku. Aku gementar kerana sebelum ini sebelum ini belum pernah aku bersalaman dengan orang perempuan yang bukan muhrim aku. Aku terpaksa menyambut salam ibu Nabila Atisya kerana banyak mata memandang ke arah kami berdua.
"Mengapa tangan Arman berpeluh dan gementar?" Tanya ibu Nabila Atisya kepada aku sambil terus tangan aku tidak dilepaskannya. Aku semakin gementar dan tubuh aku dibasahi peluh meskipun ketika itu berada di dewan yang berhawa dingin. Aku kini dipanggil hanya dengan nama sahaja.
"Di mana Nabila Atisya?" Tanya aku sambil aku duduk di kerusi berhadapan dengan ibu Nabila Atisya. Ibu Nabila hanya tersenyum kepada aku. Aku bertambah gementar kerana aku tidak pernah berdua-duaan seperti ini. Pakaian aku semakin dibasahi oleh peluh.
"Di mana Nabila Atisya?" Aku bertanya lagi.
"Nabila Atisya balik ke rumah neneknya." Balas ibu Nabila Atisya sambil ketawa manja kepada aku. Aku menjadi panik. Lidah aku kelu untuk berkata-kata dan aku cuba bangun untuk meninggal ibu Nabila Atisya.
"Relek Arman." Pujuk ibu Nabila Atisya sambil memegang tangan aku. Aku terpaksa duduk semula kerana masih ada mata memerhati tingkah laku aku.
"Mengapa puan mungkir janji?. Aku bersuara dengan agak kuat dan perasaan marah mulai menguasai aku. Aku sesunguhnya amat menyesal kerana terlalu percaya dengan janjinya untuk membawa bersama Nabila Atisya anaknya pada malam ini.
"Nabila Atisya sungguh gembira kerana Arman dapat menemani saya di sini." Luah ibu Nabila Atisya kepada aku.
"Nabila Atisya memang berharap dinner ini hanya untuk kita berdua." Sambung ibu Nabila Atisya lagi. Aku terus menjadi tidak keruan. Nafas aku seakan berhenti apabila mendengar jawapan dari ibu Nabila Atisya.

No comments: