Nilai dapat kita ertikan sebagai satu konsep yang dijadikan asas oleh masyarakat untuk menilai, mengukur atau membuat pilihan serta keputusan terhadap suatu perkara , darjat, mutu, kualiti, taraf perilaku dan benda mengenai seseorang atau kelompok orang sebagai baik, berharga dan bernilai
Budi bahasa lazimnya merujuk kepada 'tuturkata, kelakuan, sopan santun, tatatertib, akal, kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan yang tercantum dalam kata-kata akhlak mulia'. Tegasnya setiap gerak laku, tuturkata, tatahidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain sebagai peribadi mahupun pergaulan masyarakat terangkum dalam konsep budi bahasa. Konsep-konsep lain yang berkaitan dan melengkapkan nilai budi bahasa termasuklah mulia, adil, hormat, bijaksana, berani, setia, malu, sabar, sopan dan lain-lain.
Kedua konsep di atas terangkum di dalam prinsip kelima Rukunegara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Prinsip ini jelas menekankan bahawa setiap warganegara harus menjaga tatasusila masing-masing dengan tidak menyinggung perasaan sesuatu golongan lain. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kehidupan peribadi dan dalam kehidupan bermasyarakat.
Umumnya, nilai-nilai murni yang diterima diamalkan oleh masyarakat Malaysia yang merentasi individu, kekeluargaan, masyarakat dan kenegaraan adalah nilai-nilai sejagat yang dituntut oleh agama, kepercayaan, adat resam dan kebudayaan. Antara nilai-nilai murni yang universal tersebut adalah seperti berikut:-
1. AMANAH
a. Menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
b. Menghindarkan dengan rela hati kepentingan diri dari mengatasi kepentingan tugas.
c. Menentukan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi masa, kuasa, sumber wang dan peralatan serta tenaga kerja.
2. TANGGUNGJAWAB
a. Menerima hakikat akauntabiliti adalah terhadap Tuhan, disamping pekerjaan dan majikan.
b. Melakukan tugas dengan kesedaran terhadap implikasi baik dan buruknya iaitu sentiasa waspada dan jujur.
c. Bersedia berkhidmat dan menghulurkan bantuan bila-bila sahaja diperlukan.
d. Bercita-cita untuk tidak mengkhianati kepentingan organisasi/institusi/awam dalam menjalankan tugas.
e. Bersedia menjaga maruah agama, bangsa dan negara.
3. IKHLAS
a. Berhati mulia dalam melaksanakan tugas tanpa mengharapkan balasan dari manusia.
b. Mempunyai niat bertugas kerana Tuhan, kerana mencari rezeki yang halal serta mencari keredhaannya.
c. Mengikis sebarang unsur kepentingan diri dalam melaksanakan tugas sebagai asas pengisian amanah.
4. BENAR
a. Jujur dalam melaksanakan tanggungjawab.
b. Bercakap benar dan menepati janji.
c. Cermat dan berhemat dalam membuat keputusan.
d. Bertindak berasaskan profesionalisme.
e. Patuh dan setia dalam melaksanakan tugas.
f. Sanggup menerima teguran dan nasihat.
5. SEDERHANA
a. Menjamin perseimbangan equilibrium dalam diri dan tugasan.
b. Bersederhana dalam setiap amalan hidup, tindakan dan tingkahlaku.
6. TEKUN
a. Berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kesempurnaan dalam tufas dan kehidupan.
b. Rajin mempelajari pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan untuk membaiki taraf hidup.
c. Berusaha gigih untuk menghasilkan kerja yang memuaskan sehingga mencapai tahap cemerlang.
7. BERSIH
a. Mengamalkan kebersihan hati dalam menjalankan tugas seharian.
b. Mengamalkan kebersihan pakaian, bangunan dan alam sekitar sebagi satu cara hidup.
c. Bersih dalam pemilikan harta dan perjalanan tugas.
d. Menjauhi hawa nafsu dan emosi dari mempengaruhi pekerjaan dan pemikiran dalam membuat keputusan.
8. BERDISIPLIN
a. Mengetahuikepentingan dan mengutamakan yang lebih penting.
b. Menilai tinggi masa dan janji.
c. Mengamalkan cara bekerja yang kemas dan terancang.
d. Mempunyai etika kerja dan profesionalisme yang tinggi.
9. BEKERJASAMA
a. Mengamalkan sikap tolong menolong dalam melaksanakan kerja.
b. Sentiasa secara sukarela menyertai aktiviti-aktiviti organisasi sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkatkan semangat kerjasama.
c. Mengamalkan permuafakatan dalam semua perkara kepentingan bersama.
d. Mengelakkan konflik atau pertembungan kepentingan berdasarkan peribadi - mengorbankan kepentingan diri yang bercanggah dengan kepentingan organisasi, agama, bangsa dan negara.
10. BERPERIBADI MULIA
a. Bermanis muka sepanjang masa.
b. Bertimbangan rasa dan bertolak ansur.
c. Menghormati sesama insan.
d. Sentiasa memulakan pertanyaan dengan tujuan untuk menolong.
11. BERSYUKUR
a. Bersyukur kerana dapar melakukan tugas untuk menjamin kesejahteraan hidup sebagai seorang anggota masyarakat.
b. Berkecenderungan melihat keadaan dengan lebih positif sehingga menggerakkan untuk lebih berusaha gigih.
c. Menghayati budaya kerja yang bersopan dantidak bertentangan dengan kehendak agama (nilai-nilai agama dan kerohanian).
d. Tidak berbangga dengan kedudukan dan pangkat.
e. Tidak membazirkan perbelanjaan untuk perkara yang sia-sia.
f. Berkhidmat sebagai ibadah.
fg Bercita-cita menjadi manusia yang mempunyai sumbangan yang banyak kepada masyarakat, negara dan agama.
12. BERMUAFAKAT
"Muafakat membawa berkat" itulah slogan yang harus dipegang oleh setiap rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Dengan adanya amalan muafakat sesama manusia akan mengeratkan lagi perpaduan yang telah lama terjalin.
13. BERTOLERANSI
Sikap toleransi sesama kaum merupakan tunjang utama kepada keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat.
14. BERTIMBANG RASA
Perasaan bertimbang rasa adalah sebahagian daripada sikap terpuji tanpa mengira perbezaan latar belakang sesuatu kaum.
15. BERSATU PADU
Pengamalan berterusan budi bahasa dan nilai-nilai murni akan membawa kesepaduan dalam kehidupan bermasyarakat.
16. BERETIKA
Semangat beretika akan lahir kepada setiap individu sekiranya ia mempunyai nilai pekerti yang tinggi.
17. TIDAK MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI
Seseorang yang kaya dengan budi pekerti dan teguh dengan amalan nilai-nilai murninya tidak akan mementingkan diri sendiri.
18. TIADA PERASAAN CURIGA/SYAK WASANGKA
Perasaan curiga/syak wasangka tidak akan mudah wujud dalam setiap individu yang mempunyai nilai-nilai murni.
Budi bahasa dan amalan nilai-nilai murni amat penting dalam menjaga keharmonian hidup bermasyarakat. Masyarakat yang harmoni, berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni dapat melahirkan satu Bangsa Malaysia yang budiman.
No comments:
Post a Comment