Suatu hari saya dipanggil ke pejabat Pelajaran Daerah. Sesampai di pejabat, saya telah ditunjukkan satu surat bantahan seorang penduduk yang bukan pun waris mana-mana murid sekolah saya. Dia membantah sambil mengugut meminta saya membuka semula pintu pagar di bahagian belakang kawasan sekolah. Pintu pagar ini saya tutup atas pertimbangan keselamatan dan pemantapan disiplin sekolah. Pihak PIBG telah juga dimaklumkan dan mereka bersetuju dengan tindakan ini. Lagi pun pintu pagar itu hanya digunakan oleh kurang daripada 10 orang murid.
Alangkah terperanjatnya apabila pegawai di PPD itu terus mengarahkan saya membuka semula pintu tersebut tanpa sebarang perbincangan. Saya enggan melaksanakannya dan pintu tersebut terus saya kunci. Lebih sebulan kemudian saya dipanggil lagi oleh PPD. Pegawai tersebut menunjukkan kepada saya surat dari Pengarah Pelajaran Negeri meminta laporan berkaitan kes tersebut. Sekali lagi pegawai PPD tersebut meminta saya agar membuka pintu pagar yang berkenaan atas alasan supaya kes tersebut tidak berpanjangan.
Saya masih enggan mematuhi campurtangan "songsang" seperti itu kerana pihak sekolah mempunyai rasional serta alasan yang kukuh dan disokong bersama oleh PIBG sekolah. Sebagai mematuhi arahan, saya telah menjawab surat pengarah tersebut dengan menyatakan rasionalnya penutupan pintu pagar tersebut. Akhirnya pengarah telah menjawab surat bantahan tersebut dengan salinannya kepada saya. Antara catatan pengarah yang mengembirakan saya ialah;
"TINDAKAN GURU BESAR MENUTUP PINTU PAGAR ITU ADALAH WAJAR".
No comments:
Post a Comment