Wednesday, November 25, 2009

PANDUAN MUSAFIR

JARAK PERJALANAN YANG DIHARUSKAN SOLAT QASAR
Jarak perjalanan yang mengharuskan seseorang melaksanakan solat qasar adalah dua marhalah bersumberkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud:-
"Pernah seketika Ibnu Umar dan Ibnu Abbas mengqasarkan solatnya dan berbuka di dalam perjalanan sejauh empat burud iaitu enam belas farsakh (dua marhalah)."
(Riwayat Al-Bukhari).
Ukuran kadar jauh yang diistilahkan dengan dua marhalah itu ialah jarak di antara rumah atau tempat tinggal seseorang dengan tempat yang dia pergi. Adapun mengikut ukuran zaman sekarang ada beberapa pendapat antaranya:-
1. Pendapat Syeikh Abd Rahman Al-Jazaairi di dalam kitabnya "Al-Fiqhu A'ala Al-Mazahib Al-Arbaa'h" dinyatakan bahawa enam belas farsakh atau dua marhalah itu jaraknya ialah 81 km.
2. Dr. Wahbah Zuhailli di dalam kitabnya "Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh" menyebut bahawa ukuran dua marhalah itu adalah bersamaan 89 km.
3. Ada pendapat lain juga yang mengatakan jaraknya adalah bersamaan dengan 100km dan ada juga yang mengatakan 90 km.
Kesimpulannya, daripada gambaran di atas dapat disimpulkan bahawa kadar perjalanan yang diharuskan solat qasar itu mestilah tidak kurang daripada 81 km.
Walau bagaimanapun sebagai jalan selamat adalah lebih baik kita mengambil kira jarak 100 km kerana adanya pandangan yang mengatakan jarak dua marhalah itu adalah 100 km.

No comments: