Kualiti bererti mutu. Justeru, berkualiti pastinya bermutu. Kualiti juga membawa konotasi nilai yang tinggi. Apabila dikatakan sesuatu yang berkualiti itu ianya pasti sesuatu yang bernilai tinggi. Atas dasar itulah akan membawa tiga pengertian kualiti yang boleh dilontarkan untuk perbincangan.
1. Kualiti boleh dianggap sebagai keunggulan atau kecemerlangan (walaupun ia sukar ditentukan kerana keunggulan atau kecemerlangan adalah nilai yang relatif).
2. Kualiti boleh dianggap sebagai pencapaian tahap pada piawai yang telah ditetapkan.
3. Kualiti boleh dianggap sebagai nilai yang sepadan dengan kos.
Kualiti itu adalah nilai. Oleh sebab itu ia tidak statik atau tetap pada sesuatu tahap. Ini bermakna apabila kita sudah sampai kepada tahap yang kita inginkan, kita dapati ada lagi tahap yang lebih tinggi yang ingin kita capai seterusnya. Bidang teknologi memperlihatkan ini dengan jelas. Kapal terbang suatu ketika dulu tahap kelajuannya boleh mencapai 200 batu sejam telah dianggap paling pantar. Namun dari semasa ke semasa kelajuan kapal terbang kini boleh mencecah lebih dari 2000 batu sejam. Begitulah bentuk kualiti dalam semua aspek yang perlu dinilai.
Selesai mengenai pengertian pendidikan dan kualili, seharusnya ada penyesuaian antara keduanya untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengenai pendidikan berkualiti. Melalui ketiga-tiga pengertian kualiti yang diberi, yang paling tepat untuk digunapakai bersama pendidikan ialah kualiti yang memberi maksud 'kecemerlangan'. Ini bermakna pendidikan berkualiti ialah pendidikan cemerlang atau bermutu tinggi.
Usaha memberi ilmu pengetahuan kepada manusia adalah untuk diamalkan agar menjadikan hidupnya harmonis. Ini jelas menunjukkan bahawa kualiti yang ingin dihasilkan bukanlah kualiti proses tetapi tumpuan adalah kepada kualiti keluaran (output) pendidikan.Kualiti yang akan membawa manusia mengubah diri.
Pendidikan merupakan satu perkhidmatan dan bukannya barangan yang boleh dilihat rupa, bentuk dan sebagainya. Oleh sebab itu kualitinya sangat sukar diukur kerana ia berbeza dari barangan yang menjadi keluaran kilang yang boleh dilihat, dipegang, dirasa dan boleh pula diuji ketahanannya.
Kualiti yang telah dinyatakan itu tidak ada had. Pendidikan berkualiti tiada siling atau dindingnya. Pendidikan sewajarnya terus bergerak untuk mengejar kecemerlangan dari semasa ke semasa.
No comments:
Post a Comment