Wednesday, February 29, 2012

MELOMPAT-LOMPAT DI TAHUN LOMPAT

Biasernyer setiap tawon ader 365 aghi. Tapi, ader jugak yang sampei 366 aghi. Tawon yang ader sampei 365 aghi nih demer ngelor Tahun Lompat. Aper yang melompat idak ler teman tawu. Aghi nih bertaghih 29 bulan duer 2012. Ato lebeh tepatnyer 29 Februari 2012. Aghi nih memang spesel aghibulannyer sebab kan senang nak dapat taghih 29 bulan duer nih semedang. Kener tunggu empat tawon sekali. Itu ler demer kater tawon lompat.

Tawon lompat nih mengkomer boleh kigher empat tawon sekali. Kalo tawon nih tawon 2012 ader 366 aghi ato tawon lompat maker mengkomer tolak ajer 2012 tuh ngan 4 maker jadi ler 2008. Maker tawon 2008 tuh ader ler tawon lompat. Pastu pulak tolak 4 daghipader 2008, jawabnyer 2004 dan tawon 2004 tuh juger tawon lompat. Gituler selanjutnyer tolak 4 lagi jadi 2000 tuh tawon lompat. Tolak lagi 4 jadik 1996 pulak tawon lompat, tolak lagi 4 jadik 1992 tuh samer tawon lompat. Pastuh mengkomer tolakler sendighi nak caghi tawon lompat yang lain.

Monday, February 27, 2012

GURU OH GURU

Dalam maser teman ngemeh bilik pejabat teman keghojer, teman nyumper sebuah buletin pendidikan. Selak punyer selak, teman nampak dan teghuih teman macer sebuah sajak tang guru. Sajak nih dituleh oleh seoghang sastrawan negarer iaitu Dato' Usman Awang. Aper yang teman aghap pader mengkomer silerler macer sajak nih yerk.

Guru Oh Guru

Guru oh Guru
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalir nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Disebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua Sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada Negara

Jadilah apapun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan didulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat

Nukilan: S.N. Dato' Usman Awang

Friday, February 24, 2012

SIKAP MEMAINKAN PERANAN DALAM PEMBENTUKAN DIRI

SIKAP
Sikap merupakan faktor utama yang memainkan peranan oenting dalam membina kejayaan. Banyak petua kejayaan dalam pelbagai bidang dan pembinaan psikologi individu memfokuskan penjajaran sikap. Sikap juga merupakan faktor manusia yang paling sukar untuk diubah kerana sudah menjadi kebiasaan bagi seseorang individu. Oleh itu, sikap merupakan persoalan utama yang perlu direnung oleh seseorang dalam usaha menggapai kejayaan.

Input-input yang berkaitan dengan sikap:-
1. Sistem nilai individu membentuk sikap
2. Sikap mempengaruhi cara individu melihat dan mengukur sesuatu perkara
3. Sikap membentuk cara kerja
4. Sikap dapat menjadi peneguh
5. Sikap dapat membezakan antara individu dengan individu lain
6. Sikap negatif menyukarkan untuk berjaya

Wednesday, February 22, 2012

HULU BARAM - LONG AKAH (LONG SAN)

Penduduk Islam Di Hulu Baram Perlukan Surau Dan Kemudahan Asas



29 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BARAM - Long Akah juga dikenali sebagai Long aka adalah penempatan di kawasan pedalaman bahagian Marudi, Sarawak di hulu sungai Baram. Lapangan Terbang Long Akah hanya untuk berlepas dan pendaratan jangka pendek dan menyediakan laluan ke kampung tersebut yang jauh dari Miri dan Marudi.

Terdapat sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong Datuk Lawai Jau Long San Ulu Baram di situ. Ramai guru dari semananjung dan tempatan yang mengajar di sekolah tersebut.

Baru-baru kita ada menerima aduan tentang masalah guru yang mengajar di SMK Temenggong Datuk Lawai Jau Long San, Ulu Baram yang sangat memerlukan sebuah surau, untuk guru dan penduduk yang beragama Islam solat berjamaah di situ.

Mereka memohon agar pihak berwajib dapat membina sebuah surau di kawasan mereka mengajar, sekurang-kurangnya dapat digunakan manafaat oleh penduduk Islam di situ mengaji Al Quran, belajar Solat dan fardu Ain.

Guru yang bertugas di kawasan pedalaman Sarawak, sepatutnya dilayan dengan baik kerana mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga mereka sekian lama dan sudah tentu mereka ini akan terasa terpinggir,

lebih-lebih lagi tanpa ada kemudahan asas dan insfrastruktur yang baik di kawasan pedalaman tempat mereka berkhidmat. Namun guru-guru ini tetap menjalankan tugas mereka dengan tekun tanpa rasa jemu dan bosan demi mendidik anak bangsa.

Pihak Kementerian Pelajaran seharusnya memberi perhatian yang sewajarnya terhadap masalah yang dihadapi oleh guru yang beragama Islam dan bukan Islam yang berkhidmat jauh di kawasan pedalaman Sarawak.

Pihak kerajaan perlu membina lebih banyak lagi kemudahan asas untuk penduduk di pedalaman Sarawak agar mereka dapat hidup selesa dan mampu untuk menjana ekonomi sendiri dengan menjual hasil tanaman serta kraftangan mereka ke bandar yang berdekatan.

Kemudahan asas dan infrastruktur ini sangat diperlukan oleh semua penduduk di Ulu Baram tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

"Semoga Allah merestui usia-usia yang lampau dan usia-usia yang mendatang". SELAMAT HARI LAHIR buat anakku di SK St. Pius, Long San, Ulu Baram, Sarawak.

Tuesday, February 21, 2012

ISLAM DALAM PERSPEKTIF SEJARAH DI MALAYSIA

Menurut sejarah perundangan, undang-undang Islam telah dilaksanakan dalam pemerintahan Kerajaan Melayu sebelum kedatangan Inggeris. Terdapat bukti yang jelas menunjukkan undang-undang seperti "Hukum Kanun Melaka", "Undang-Undang Pahang" dan "Undang-Undang Kedah" telah dikanunkan dengan cara teratur bagi pemakaian dan panduan Kerajaan Melayu ketika itu.

Selepas kedatangan Inggeris khususnya dengan penerimaan Sistem Residen, secara sedikit demi sedikit prinsip undang-undang Inggeris dimasukkan ke dalam sistem pentadbiran, perundangan dan kehakiman. Akhirnya beberapa undang-undang seperti Kanun Keseksaan, Enakmen Keterangan dan Kanun Acara Jenayah telah diperundangkan di mana Undang-Undang Islam dalam bidang berkenaan tidak lagi berkuasa.

Perundangan Islam mula diperbuat dalam bentuk Enakmen dan Ordinan bagi mendapatkan penguatkuasaan undang-undang. Keadaan ini meletakkan kedudukan undang-undang Islam sama dengan bahagian undang-undang lain yang perlu dikanunkan seperti yang diperjelaskan dalam Perlembagaan Negara.

Wednesday, February 15, 2012

CARILAH YANG HALAL

Makanan dan sumber rezeki yang halal bukan sahaja membawa keberkatan tetapi sebenarnya dapat melahirakan zuriat yang pintar dan sihat. Akhirnya ia akan mendorong seseorang ke arah melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat Allah s.w.t. di akhirat.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 172 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kemau hanya beribadat kepada-Nya".

Malaysia telah menubuhkan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) sebagai persediaan menjadikan Malaysia peneraju hab halal terkemuka di dunia. Industri ini bakal membangun, mempromosi dan memasarkan jenama halal Malaysia bagi mencapai hasrat Malaysia menjadi Hub Halal Dunia.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berperanan mengkaji, mengesan dan mengawal selia produk makanan dan barangan pengguna Islam supaya terjamin suci dan halal. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga akan menjadi sebuah agensi yang bukan sahaja mengeluarkan lesen tetapi turut membolehkan pihak lain menggunakan sijil yang menguruskan pengeluaran pensijilan halal.

Pusat sehenti JAKIM yang yang dibina merangkumi makmal halal dan Ibu Pejabat di kawasan seluas 16.1 hektar di Bandar Enstek, Negeri Sembilan akan memantapkan lagi pentadbiran dan pembangunan penyelidikan. Langkah ini juga membolahkan Malaysia menjadi peneraju dalam pengeluaran apa sahaja produk halal, bukan sahaja makanan malah produk dan perkhidmatan lain yang diperlukan oleh umat Islam di seluruh dunia.

Monday, February 13, 2012

AGUNGNYA AGAMA ISLAM

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Ali-Imran ayat 19 yang bermaksud:
"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam."

Perlembagaan Malaysia menerima Islam sebagai agama rasmi negara manakala penganut agama lain bebas mengamalkan agama mereka.

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Perkara 11(1) Perlembagaan memperuntukkan, "Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya, dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya."

Fasal (4) menjamin dan memelihara akidah Islam daripada digugat oleh dakyah-dakyah agama lain di mana ia menyebutkan bahawa undang-undang boleh dibuat untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama terhadap orang-orang Islam.

Demikianlah betapa Islam mendapat kedudukan yang tertinggi di Malaysia sebagai agama Persekutuan dan akidah umat Islam dipelihara dan dijamin di bawah Perlembagaan dan undang-undang daripada terjebak kepada dakyah agama-agama lain.

Saturday, February 11, 2012

PELAJAR PERLU MEMPUNYAI KEMAHIRAN BELAJAR

KEMAHIRAN MENDENGAR
Ramai orang menggunakan lebih banyak masa untuk mendengar. Mereka kurang untuk membaca, bercakap dan menulis. Pendengar yang berkesan bukan setakat mendengar percakapan. Ianya mestilah turut melibatkan pemprosesan yang aktif seperti menghayati, memahami dan menilai apa yang diperkatakan. Dalam bilik darjah, bertutur merupakan salah satu kaedah penting pengajuaran guru. Murid-murid perlu didedahkan dengan kemahiran mendengar.

Walaupun murid-murid boleh mendengar dengan baik tetapi mereka akan mudah lupa. Murid-murid akan ingat sebanyak 17% sahaja selepas seminggu. Untuk mengatasinya, murid-murid boleh membuat catatan atau mengambil nota. Ini membolehkan murid-murid mengingat fakta atau maklumat dalam jangka masa yang panjang. Keperluan ini sesuai bagi mereka untuk menghadapi ujian atau peperiksaan.

Kemahiran mendengar yang baik mesti didahului dengan sikap yang baik dan positif. Murid-murid mesti mempunyai sikap yang positif terhadap pengajaran guru. Langkah-langkah berikut wajar dipatuhi:-
1. Datang awak ke kelas
2. Duduk di tempat yang strategik
3. Membuat persiapan awal berkaitan dengan tajuk
4. Menyediakan alat tulis dan buku nota
5. Berlapang dada untuk menerima pengajaran guru

KEMAHIRAN PARTICIPATING
Mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti pembelajaran adalah kemahiran participating. Kemahiran ini akan melahirkan sahsiah murid-murid yang berani dan ingin mencuba. Murid-murid tidak gentar atau tidak takut untuk bertanya, memberi pendapat atau pandangan walaupun bertentangan dengan pandangan orang lain. Murid-murid yang aktif ini akan menjadi bebas laku, sentiasa ingin tahu, ingin mencuba dan tidak takut kepada kegagalan. Inilah jiwa murid-murid yang ingin kita bangunkan sesuai dengan usaha kerajaan untuk menjadikan negara kita sebagai negara maju.

Kemahiran participating yang menggalakkan murid-murid bertanya dan menjawab soalan guru akan membolehkan mereka memeriksa dan menilai sejauh mana mereka memahami isi pengajaran yang diajar. Ini juga ada kaitan kepada persiapan menghadapi ujian atau peperiksaan yang akan ditempuhi. Walau bagaimanapun, ramai murid-murid tidak mengambil peluang ini. Mereka sering merasa malu dan takut. Di sinilah peranan guru untuk memastikan semua murid dalam kelasnya memiliki kemahiran participating ini. Oleh itu, jadikan suatu kebiasaan di bilik darjah untuk menyoal pelajar dengan soalan yang mencabar dan galakkan mereka menjawab, memberi pendapat dan bertukar-tukar fikiran.

bersambung

Friday, February 10, 2012

PELAJAR SEKOLAH PERLU MEMPUNYAI KEMAHIRAN BELAJAR

PENDAHULUAN
Pengajaran dan Pembelajaran adalah suatu proses yang sering berlaku berlaku di sekolah. Pengajaran adalah tertumpu kepada guru-guru manakala pembelajaran pula adalah kepada pelajar-pelajar. Pengajaran dan Pembelajaran yang berlaku sewajarnya ada keseimbangan. Namun begitu, masih berlaku keadaan berat sebelah. Guru-guru telah melaksanakan pengajaran mereka dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh. Namun adakah pada masa yang sama pembelajaran murid-murid juga penuh semangat dan bersungguh-sungguh? Adalah amat malang jika pembelajaran murid-murid adalah disebaliknya.

Sehubungan itu, adalah perlu bagi guru-guru sebelum mereka melaksanakan pengajaran yang berkesan sewajarnya memastikan pembelajaran murid-murid juga berkesan. Inisiatif perlu dibuat agar kemahiran-kemahiran yang tertentu diberikan kepada murid-murid untuk mencapai pembelajaran yang berkesan. Pengajaran dari guru akan menjadi lebih mudah dan selesa kerana murid-murid telah bersedia dan tahu apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Apabila kemahiran-kemahiran tersebut telah dikuasai, usaha untuk menjadikan semua sekolah di negara ini sebagai pusat kecemerlangan akan tercapai. Kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid-murid ialah:-
1. Kemahiran Pengurusan Kendiri
2. Kemahiran Mendengar, Participating dan Mengambil Nota
3. Kemahiran Membaca

KEMAHIRAN PENGURUSAN KENDIRI
Kemahiran ini juga dikenali dengan "self-management". Ianya merujuk kepada kemahiran murid-murid untuk monitor, reward dan direct tingkah laku belajar mereka. Kemahiran ini membolehkan murid-murid belajar dengan bebas dan tidak terikat dengan arahan-arahan untuk mereka faham semasa pembelajaran berlangsung. Murid-murid juga boleh mengimbangi aktiviti harian mereka di sekolah dan di rumah.

Di sekolah, murid-murid dikawal oleh guru dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan untuk mereka iaitu:-
1. Aktiviti yang terbatas
2. Kekangan masa
3. Cara belajar yang bebas
4. Persaingan dan penilaian
5. Tindak balas sosial

Sementara itu, di luar kawasan sekolah atau di rumah keadaan dan keperluan adalah berlainan iaitu:-
1. Rutin harian di rumah
2. Masalah keluarga
3. Bekerja
4. Hiburan

Suasana yang berbeza di sekolah dan di luar sekolah menjadikan murid-murid dalam dilema. Murid-murid akan menjadi keliru dalam soal memilih situasi manakah yang sepatutnya mereka ikuti atau lakukan. Di sini, peranan guru dan kaunselor adalah penting untuk membantu murid-murid membuat pilihan yang sesuai untuk diri mereka supaya pembelajaran dapat diteruskan dengan berkesan.

Usaha meningkatkan keupayaan murid-murid dalam proses pembelajaran dapat dilakukan oleh guru dengan memberikan beberapa panduan dan pengetahuan kepada murid-murid supaya dapat membuat persediaan melalui perkara-perkara berikut:-
1. Menyediakan peralatan belajar
2. Pengurusan masa
3. Pilihan kerjaya masa depan
4. Menepati masa
5. Mengurus tekanan
6. Galakan perbincangan.

bersambung

Tuesday, February 7, 2012

COTI YANG UDAH TENTU IDAK COTI WALOPON DIKATERKAN COTI

Demer yang bukan cikgu jeles bebenor pasei cikgu pon coti. Coti MauludurRasul pastuh coti Thaipusam pulak tuh. Ater idak ker demer yang bukan cikgu pon coti samer. Itupon kalo demer tuh keghojer ngan gomen ato pon ngan swasta. Kalo demer idak keghojer udah tentuler demer idak dapat coti. He eleh mengkomer oiii.

Memang bebenor ler weh bulan duer nih ajer strek cotinyer pader Sabtu, Ahad, Senayan dgan Selaser (4 hingger 7 bulan duer). Memang ngempor bebenor ler demer. Bulan satu dulu pon strek coti lebeh daghi seminggu. Coti Tawon Baghu Ciner. Aper ker idaknyer daghi 21 aghibulan hingger 29 aghibulan satu. Mak aiiiii lamer bebenor weh cotinyer. Patutler demer ngempor.

Bebenorker cikgu nih coti panjang? Maghi sini mengkomer nengor betui ker idak. Aghi Sabtu, oghang ghomah teman pegi jugak skolah. Teman nyoelnyer pasei aper. Oghang ghomah teman ngater ader latihan bola jaring. Aghi Ahad pon pegi skolah. Teman nyoel lagi, dier nawab ader keghojer kat skolah nak buat aper ntah teman pon idak faham. Haghi Senayan pon pegi skolah jugak ader latihan bola jaring lagi. Mak oiiii, maner demer coti tuh?

Mengkomer pulak ngater cikgu nih coti semedang. Coti Sabtu Ahad ler. Coti Umom ler. Patuh cikgu ader coti penggel pulak samer dgan bebudak skolah. Kalo gitu mengkomer nyughoh ler anak-anak mengkomer ker. Cucu cicit mengkomer ker. Ato keghoni-keghoni mengkomer tuh jadik cikgu. Pastuh biler udah jadik cikgu, mengkomer akan dapat meghaserkannyer betaper seghonoknyer jadik cikgu sebab manyak bebenor coti.

Kalo mengkomer ndak tawu, ler nih keghojer jadi cikgu bekeghojer ajer memanjang ayor. Keghojer kat skolah. Keghojer kat ghomah. Leh kater keghojer ajer semedang. Cikgu nih bukan ajer ngajor bebudak skolah tuh. Demer jugak kener jadik keghani, nuleh saner, nuleh sini hingger kat dindeng skolah pon demer kener tuleh.

Itu belom masuk hei fail-fail bebudak skolah lagi. Tiap bebudak skolah tuh ader fail memasing. Kener siapkan ngan lengkap, Memacam yang perlu ader kat dalam fail tuh. Maklumler tebel fail tuh tuh pon hamper empat inci. Itu baghu tentang fail. Tang boghang saner, boghang sini, boghang sinun, ntah aper-aper jeneh boghang lagi yang cikgu kener isi.

Teman ghaser udahler setakat nih dulu teman nak nyembang kat blog teman nih. Aper idaknyer, teman nengok oghang ghomah teman udak siap nyetat keternyer. Teman idak nak nyoel lagi dah sebab teman tawu udah tentu oghang ghomah teman tuh nak pegi skolah. Cumer teman pesan ajer kat oghang ghomah teman tuh. Teman berpesan sebab teman sayang kat oghang ghomah teman tuh. Pesan teman, baik-baik mawak keter tuh. Aghi nih jalan sebok. Kat pekan Sunga Sipot tuh jem pasei Thaipusam.

Sunday, February 5, 2012

SALAM MAULIDURRASUL 1433

DIDIKAN ALLAH S.W.T. KEPADA NABI MUHAMMAD S.A.W. DENGAN AL-QURAN
Rasulullah s.a.w. sangat merendahkan diri kepada Allah s.w.t., merasa sangat kecil di hadapan-Nya dan sentiasa memohon agar dikurniakan budi pekerti yang baik dan keluhuran akhlak. Dalam doanya Baginda s.a.w. sering mengucapkan:
"Ya Allah, cantikkanlah tubuh badanku dan budi pekertiku." (Diriwayatkan oleh Ahmad)

Kerap juga Baginda s.a.w. mengucapkan:
"Ya Allah, jauhkanlah diriku dari akhlak-akhlak yang buruk." (Diriwayatkan oleh Tirmidzi dan Hakim)

Allah s.w.t. mengabulkan permohonannya, sebagai memenuhi janji dari firman-Nya:
"Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu." (Mukmin: 60)

Allah s.w.t. menurunkan Al-Quran kepada Baginda Rasulullah s.a.w. sekaligus dengan adabnya sekali. Oleh sebab itu, budi pekerti Baginda s.a.w. adalah Al-Quran.

1. Baginda suka memaafkan, mengajak kepada kebaikan dan tidak melayani sikap buruk dari orang yang bodoh atau tidak mengetahui:
"Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya)." (Al-A'raf: 199)

2. Melaksanakan keadilan, berbuat baik, memberi bantuan serta melarang dari perkara yang keji, kemungkaran dan kederhakaan:
"Sesungguhnya Allah memerintah berlaku adil, berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman." (An-Nahl: 90)

3. Selalu bersikap sabar:
"Dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya." (Luqman: 17)

4. Memberi kemaafan dan kelonggaran pada orang yang bersalah:
"Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya." (Al-Ma'idah: 13)

5. Menolak kejahatan dengan cara yang sebaik-baiknya:
"Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat baik." (Fussilat: 34)

6. Menahan kemarahan dan memaafkan orang lain:
"Dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang maafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Ali Imran: 134)

7. Jangan berburuk sangka, tidak mengintip keburukan orang dan jangan mengumpat:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak meyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa." (Al-Hujurat: 12)

Demikianlah sebahagian kecil dari beberapa ajaran dan didikan yang diterima oleh Rasulullah s.a.w. dan telah Baginda laksanakan dengan sebaik-baiknya. Sebenarnya masih banyak didikan yang terdapat dalam Al-Quran, yang tidak terhitung.

Saturday, February 4, 2012

BERDISIPLIN

Agama Islam telah menentukan beberapa amalan fardhu yang melatih bukan sahaja aspek-aspek fizikal tetapi juga kejiwaan. Kesemua amalan tersebut adalaj diasaskan kepada disiplin tertentu yang mesti dipatuhi apabila sesuatu kerja dijalankan. Contohnya apabila kita hendak mengerjakan sembahyang maka ia hanya boleh dilakukan pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Boleh dikatakan seluruh isi Al-Quran mengandungi perintah-perintah dan larangan-larangan yang merupakan disiplin. Ini menunjukkan bahawa manusia tidak boleh melepaskan dirinya daripada disiplin dan sebaliknya kehidupan tanpa disiplin akan berakhir dengan huru-hara dan kacau-bilau.

Dalam tugas sehari-hari di pejabat, patuh kepada disiplin sangatlah penting. Tanpa disiplin, tugas-tugas akan menjadi kacau-bilau dan kerja tidak selesai. Arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak atasan hendaklah dipatuhi oleh anggota bawahan. Sikap hormat menghormati antara sesama pekerja dan pegawai akan menambah kemesraan dalam jabatan dan meningkatkan semangat untuk mematuhi disiplin pejabat.

Kepatuhan terhadap disiplin menjadi sangat penting kepada pekerja-pekerja dan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam semua bidang khususnya dalam bidang-bidang yang sensitif seperti menjaga rahsia kerajaan dan mengendalikan makmal-makmal perubatan serta bahan-bahan kimia yang bahaya. Pendek kata disiplin sangat penting dalam semua hal.

Minta izin sebelum memasuki sesebuah rumah:
"Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu membri salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik." (An-Nur: 61)

Mintalah izin sebelum berundur diri dari sesuatu majlis:-
"Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benar beriman ialah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, apabila mereka turut bersama-sama dengan Rasulullah dalam sesuatu perkara yang memerlukan perhimpunan ramai, tidaklah mereka meninggalkan majlis perhimpunan itu sebelum mereka meminta izin kepadanya." (An-Nur: 62)

Akibat ketiadaan pengawasan disiplin dalam organisasi:-
"Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum)." (Al-Anfal: 25)

Wednesday, February 1, 2012

KEPENTINGAN BERILMU

Kepentingan berilmu ini telah ditegaskan oleh Allah SWT dengan firman-Nya yang bermaksud:
"Adakah dapat disamakan orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?" (Az-Zumar: 9)

Untuk menjadi seorang pentadbir yang cekap dan berjaya, seseorang individu itu perlu mempunyai ilmu dan kemahiran bekerja yang sucukupnya. Untuk mencapai ke tahap ini, seseorang pekerja itu perlulah menambahkan ilmu pengetahuan masing-masing dari masa ke semasa. Lebih-lebih lagi ilmu yang berteraskan Islam. Sejarah telah membuktikan nilai-nilai yang yang dipakai oleh negara-negara maju melalui disiplin-disiplin ilmu yang tidak mengikut keutamaan ilmu dalam Islam telah membawa negara-negara berkenaan ke dalam kancah keruntuhan moral, adat susila dan krisis nilai.

Bagi mengembalikan nilai-nilai Islam, maka kita (pentadbir) seharusnya mengambil langkah memberi keutamaan mempelajari ilmu-ilmu Islam dan seterusnya diamalkan ke dalam kehidupan sehari-hari. Jika ini dapat dipraktikkan, isya-Allah akan lahirlah pentadbir, pengurus dan pekerja yang cekap dan tidak menyalahgunakan kecekapan itu sehingga tergelincir dari landasan yang diredhai oleh Allah SWT.

Serahkan tugas kepada orang yang berminat dan berilmu:
Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya". (Yusuf: 55)

Berusaha menambah ilmu:
Dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku." (Taha: 114)

Allah mengangkat darjat orang yang berilmu:
Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang di beri ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat." (Al-Mujadalah: 11)

Orang berilmu takut kepada Allah:
Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu." (Al-Fatir: 28)