Penduduk Islam Hulu Baram terpinggir
Jofri Jaraiee, PAS Miri , | 22 Feb 2012 |
Baru-baru kita ada menerima aduan tentang masalah guru yang mengajar di SMK Temenggong Datuk Lawai Jau Long San, Ulu Baram yang sangat memerlukan sebuah surau, untuk guru dan penduduk yang beragama Islam solat berjamaah di situ. Mereka memohon agar pihak berwajib dapat membina sebuah surau di kawasan mereka mengajar, sekurang-kurangnya dapat digunakan manafaat oleh penduduk Islam di situ mengaji Al Quran, belajar Solat dan fardu Ain.
Guru yang bertugas di kawasan pedalaman Sarawak, sepatutnya dilayan dengan baik kerana mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga mereka sekian lama dan sudah tentu mereka ini akan terasa terpinggir, lebih-lebih lagi tanpa ada kemudahan asas dan insfrastruktur yang baik di kawasan pedalaman tempat mereka berkhidmat. Namun guru-guru ini tetap menjalankan tugas mereka dengan tekun tanpa rasa jemu dan bosan demi mendidik anak bangsa.
Pihak Kementerian Pelajaran seharusnya memberi perhatian yang sewajarnya terhadap masalah yang dihadapi oleh guru yang beragama Islam dan bukan Islam yang berkhidmat jauh di kawasan pedalaman Sarawak. Pihak kerajaan perlu membina lebih banyak lagi kemudahan asas untuk penduduk di pedalaman Sarawak agar mereka dapat hidup selesa dan mampu untuk menjana ekonomi sendiri dengan menjual hasil tanaman serta kraftangan mereka ke bandar yang berdekatan.
Kemudahan asas dan infrastruktur ini sangat diperlukan oleh semua penduduk di Ulu Baram tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
Kita mendesak pihak kerajaan atau badan yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan rakyat dapat turun padang melihat sendiri, nasib guru dan penduduk di pedalaman tersebut, agar pemintaan mereka untuk mendapat kemudahan asas tersebut dapat ditunaikan dengan segera.
Kepada umat Islam dan para dermawan yang bermurah hati, bolehlah menderma atau memberi sumbangan terus kepada guru dan penduduk Islam di Ulu Baram tersebut yang ingin membina sebuah surau di tempat mereka tinggal agar ianya menjadi kenyataan.
Segala derma boleh disalur ke Jabatan Islam berdekatan untuk mereka salurkan kepada pihak yang berkenaan. Kita harap pihak yang diamanah menjaga kebajikan umat Islam di Sarawak dapat menyalurkan wang derma tersebut terus kepada pihak yang memerlukan.
Pihak kami hanya menyampaikan hasrat, para guru dan penduduk Islam di Ulu Baram, agar kita sama-sama dapat menyumbang dan menderma untuk pembinaan sebuah surau. Segala sumbangan ikhlas penderma hanya Allah yang akan membalaskannya di hari kemudian.