Wednesday, January 2, 2013

KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL

PENDIDIKAN - ISU KRITIKAL

Pendidikan begitu kritikal dan sudah menjadi agenda sejagat, penentu kepada kemajuan bangsa dan pilihan pertama dan utama bagi semua keluarga. Fenomena ini begitu genting di negara membangun dan maju hingga didapati perlu diwujudkan beberapa organisasi yang berangkai untuk memajukan pendidikan di peringkat sekolah dan pendidikan tinggi. Persaingan dengan negara-negara lain menuntut kita melakukan anjakan dalam pembangunan modal insan dari segi keupayaan dan intelek. Justeru, Misi Nasional dan Rancangan Malaysia telah menetapkan "Pembangunan Modal Insan Kelas Pertama" sebagai satu daripada lima teras utama ke arah pencapaian matlamat Wawasan 2020.

Sesungguhnya kejayaan agenda pembangunan modal insan amat bergantung pada kualiti sistem pendidikan dan terasnya ialah aktiviti instruksional atau pengajaran dan pembelajaran. Potensi persepakatan dan bersepadu dalam pengajaran dan pembelajaran ternyata masih belum berjaya dan belum dimanfaatkan secara optimum. Pengajaran berkualiti tinggi masih diharapkan oleh sistem dan dengan mewujudkan guru cemerlang akan mendorong guru menjadi instructional experts yang sukat dipertikaikan. Sebagai contoh kaedah mengajar secara berpasukan atau collaborative teaching masih belum menjadi satu budaya. Masih ramai guru mengajar mengikut kehendak urutan dan cadangan dalam sukatan pelajaran, berorientasikan peperiksaan tanpa mencerna kehendak klien atau murid serta tidak menepati konsep pengajaran berpusatkan murid.

Mereka kelihatan bekerja dalam dunia masing-masing terutama dalam pengajaran. Fenomena ini memberi kesan secara langsung kepada pengurusan kurikulum di bilik darjah. Terdapat guru-guru yang mengajar tanpa set induksi, pengajaran tidak berpusatkan murid, perancangan strategik didapati tidak sistematik, kualiti pengajaran guru masih pada tahap sederhana, pengajaran disampaikan tanpa mengira pengetahuan sedia ada pada murid, kurang pemantauan dan sistem pentaksiran yang longgar. Hal ini mungkin disebabkan tanggapan bahawa guru yang mengajar kelas peperiksaan bertanggungjawab terhadap keputusan peperiksaan. Jika keputusan peperiksaan baik, beliau akan disanjung atau sebaliknya.

Tanggapan ini membuktikan kesepakatan kerja dan tanggungjawab dalam pengajaran dan pembelajaran kelas-kelas peperiksaan belum wujud dengan sempurna sedangkan hasil setiap ujian dan peperiksaan merupakan tanggungjawab semua guru di sekolah. Bahkan antara pengajaran di sekolah rendah dan menengah juga harus berkait. Justeru, kepimpinan instruksional perlu ditekankan agar dapat menjurus kepada misi sekolah bagi mencapai hasil pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti.

No comments: