Thursday, March 13, 2014

ORANG BERADAB TIDAK PERNAH BICARA TENTANG DIRINYA

Apabila disebut perkataan 'adab', ia tidak dapat lari dalam kehidupan manusia secara peribadi yang mana akan membentuk masyarakat. Adab ada kaitan dengan dengan bentuk atau nilai keperibadian. Mengikut Kamus Dewan, adab bermaksud tingkah laku serta tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa, budi pekerti yang halus dan kesopanan. Adab juga adalah cara seseorang berkelakuan dalam sesuatu situasi tertentu yang menjurus kepada kaedah pergaulan. Ia adalah berbeza mengikut suasana atau majlis yang diikuti.

Adab yang mengandungi erti kesopanan mempunyai ciri-ciri kehalusan. Biasa diperkatakan sebagai kebaikan budi pekerti. Kita menilai peribadi seseorang itu melalui adab sama ada baik atau buruk. Kumpulan manusia yang baik itu ada adabnya. Begitu juga bagi kumpulan yang jahat juga mempunyai adab. Dalam aspek ini adab telah menjadi peraturan yang mesti dipatuhi. Hukuman akan dikenakan bagi mereka yang melanggar adap atau peraturan ini.

Bagi masyarakat di Malaysia, mereka mempunyai cara hidup yang siatematik. Ada nilai dan adabnya. Tidak mematuhi adab bermakna telah dianggap telah terpesong daripada peraturan. Kumpulan ini boleh dianggap sebagai 'tidak beradab'. Harga diri seseorang akan jatuh apabila mereka telah melanggar adab. Orang yang tidak beradab ini akan dianggap sebagai 'kurang ajar'

Adab ini merangkumi nilai kehidupan seharian. Setiap perlakuan sepanjang hari akan dipengaruhi oleh adab. Umpamanya, ada adab waktu makan. Adab waktu bermain. Adab waktu tidur. Adab waktu berkawan. Adab waktu bekerja. Adab waktu rehat dan pelbagai lagi adab selagi manusia itu berkeluarga dan bermasyarakat.

Adab terbahagi kepada dua kategori:-
1. Adab di luar diri
2. Adab di dalam diri

1. Adab di luar diri:-
Ia merangkumi kesopanan di dalam pergaulan. Mengelakkan perlakuan yang salah pada pandangan umum. Peraturan adab di luar diri sentiasa berubah mengikut perubahan tempat dan masa. Ia merangkumi hukum adat dan resam susuatu masyarakat.

2. Adab di dalam diri:-
Ia merupakan kesopanan dalaman. Ada juga yang menyatakan kesopanan batin. Ia adalah adab sopan yang dipengaruhi oleh hati seseorang. Hati yang bersih, baik, jujur dan ikhlas akan membentuk adab yang baik dn begitulah sebaliknya.

Dalam Islam beradab sopan kepada ibu bapa adalah wajib. Ia adalah ibu kepada segala adab kesopanan. Hadis Nabi SAW ada menyatakan bahawa, "Syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu, dirimu serta hartamu semuanya adalah untuk bapamu."

No comments: