Saturday, May 16, 2015

GURU: MEMBINA ILMU MENYEMPURNAKAN AKHLAK

Apabila sampai saja tarikh ini 16 Mei tiap-tuap tahun semua akan menyambut 'Hari Guru'. Apa-apa pun pasti ada orang akan tanya kita, 'hari itu saja ke kita sambut hari guru?' Hari-hari lain tak boleh ke? Susah juga nak menjawabnya, namun macam kita sambut hari-hari lain juga. Mesti soalan yang sama akan keluar. Kita sambut 'Hari Ibu' orang akan tanya sambut hari ibu sehari itu sahaja ke? Kita sambut 'Hari Bapa' akan juga timbul soalan yang sama. Jadi apa-apa hari yang kita sambut mesti ada soalan kecuali hari lahir, hari merdeka, ulang tahun perkahwinan dan macam-macam lagi yang kita sambut hanya pada tarikh yang berkenaan sahaja.

Untuk hari guru ini, pelbagai cara mereka yang bergelar guru menyambutnya. Begitu juga pelbagai cara murid-murid menyambutnya untuk guru mereka. Bagi guru ada majlis bertukar hadiah antara guru-guru. Semua guru yang ada di sesebuah sekolah akan membeli hadiah dengan harga yang ditetapkan dalam mesyuarat. Bila sambutan hari guru itu berlangsung hadiah-hadiah ini akan dikumpulkan dan diletakkan nombor mengikut jumlah guru. Cabutan nama akan dibuat dan hadiah akan diberikan mengikut nombor giliran penerima. Kalau pengurusan hadiah tidak dibuat dengan berhati-hati kemungkinan ada yang akan terima kembali hadiah yang dibeli sendiri. Namun begitu atas kecekapan pihak pengurusan hadiah perkara sebegitu tidak mungkin akan berlaku.

Selalunya apabila hari guru itu dikelolakan oleh murid atau pelajar mesti ada pertandingan antara guru-guru. Guru-guru akan dipilih mengikut kategori yang dibuat oleh jawatankuasa pemilihan yang dianggotai oleh murid atau pelajar. Pengundian akan dijalankan oleh murid atau pelajar. Mereka ini akan mengundi pilihan masing-masing mengikut kategori yang dipertandingkan. Setiap kategori ada kotak undinya dan kertas undi akan dimasukkan ke dalam kotak oleh murid atau pelajar setelah kertas undi dipangkah. Antara kategori yang dipertandingkan ialah guru paling garang, guru paling handsome, guru paling cun, guru paling rajin, guru paling sporting, guru paling cool, guru paling lawak, guru paling bergaya dan macam-macam lagi kategori.

Disamping itu, ramai juga murid atau pelajar akan memberi hadiah kepada guru-guru mereka. Memang penghormatan akan dapat diterima oleh guru-guru apabila boleh dikatakan hampir semua murid atau pelajar akan membawa hadiah. Paling kurang pun seorang murid atau pelajar akan memberikan sekuntum bunga kepada guru mereka. Ada terdapat juga guru yang menerima hadiah yang agak berharga dari murid atau pelajar mereka. Mungkin murid atau pelajar ini dari keluarga yang mewah dan mampu untuk memberikan hadiah yang berharga kepada guru mereka. Terdapat juga murid atau murid hanya menulis ucapan hari guru pada sehelai kertas dan diberikan kepada guru sebagai hadiah. Begitulah penghormatan yang diberi oleh murid atau pelajar kepada gurunya.
Begitulah saban tahun hari guru ini diraikan atau dilakukan.
Paling hebat ada pihak luar yang menganjurkan perayaan hari guru. Guru-guru dijemput ke majlis itu dan mereka diraikan dengan penuh meriah. Selalunya pihak penganjur adalah terdiri dari bekas pelajar, jawatankuasa keselamatan kampung, jawatankuasa masjid, jawatan kuasa rukun tetangga dan pelbagai lagi. Terima kasih kepada semua atas penganjuran tersebut dan dianggap yang terbaik bagi memberi penghormatan kepada guru pada hari guru.

Tuesday, May 12, 2015

PEMIMPIN DAN KEPEMIMPINAN

Sesiapa sahaja yang menunjuk arah, memandu, dan membimbing ke arah mencapai sesuatu tujuan tertentu dapat dikatakan sebagai pemimpin. Seorang ayah yang sentiasa menunjuk ajar serta membimbing isteri dan anak-anaknya untuk mencapai kebahagiaan hidup rumahtangga adalah seorang pemimpin keluarga. Begitu juga dengan guru yang menunjuk arah, memandu dan membimbing muridnya dalam kelas untuk menimba ilmu pengetahuan; dia adalah seorang pemimpin di kelasnya.

Di sekolah, selain daripada guru besar dan guru-guru, pengawas-pengawas sekolah, ketua-ketua darjah, ketua-ketua rumah dan lain-lainnya juga merupakan pemimpin-pemimpin muda yang berpotensi. Mereka adalah individu-individu yang diberi tanggungjawab untuk memandu dan membimbing orang lain, iaitu para murid lainnya, untuk mencapai kecemerlangan akademik, kemantapan disiplin, dan menerapkan nilai-nilai murni kepada para murid sesuai dengan budaya sekolah yang telah dibina dari satu generasi ke satu generasi.

Pada peringkat negara, kita juga mempunyai lapisan-lapisan pucuk pimpinan yang berkhidmat untuk menentukan keamanan, kestabilan dan kemakmuran rakyat. Kita mempunyai pemimpin-pemimpin pada peringkat negara, negeri daerah atau jajahan dan juga pada peringkat kampung atau desa. Pada peringkat negara, kita mempunyai Perdana Menteri. Pada peringkat negeri, kita mempunyai Menteri Besar atau Ketua Menteri. Pada peringkat daerah atau jajahan kita mempunyai Pegawai-Pegawai Daerah atau Pegawai-Pegawai Jajahan sementara pada peringkat mukim dan kampung, kita mempunyai Penghulu dan Ketua Kampung.

Kita juga mempunyai pemimpin-pemimpin politik, pemimpin agama, pendidikan, keamanan dan lain-lainnya. Pada asasnya mereka adalah orang-orang yang memimpin, membimbing, menunjuk arah, dan memandu orang ramai, iaitu rakyat, untuk mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di negara ini. Melalui penerangan di atas adalah jelas kepada kita siapa yang dimaksudkan pemimpin.

Dalam kita membicarakan soal pemimpin dan kepimpinan ini, kita tidak harus lupa membicarakan soal kewujudan para pemimpin di tengah-tengah sesuatu masyarakat. Ada pemimpin yang memang diturunkan oleh Allah s.w.t. untuk memimpin umat manusia di muka bumi ini. Mereka terdiri daripada para nabi dan rasul seperti junjungan besar nabi kita, Muhammad s.a.w., yang telah ditunjuk oleh Allah untuk memperbaiki akhlak manusia, dan membawa umat manusia daripada kehidupan jahiliah kepada jalan yang diredhai Allah.

Ada juga para pemimpin yang kehadirannya dalam sesebuah masyarakat itu ditentukan oleh darah keturunan. Seorang raja atau sultan umpamanya, apabila magkat, puteranya secara automatis akan diangkat menjadi raja atau sultan menggantikan ayahandanya untuk memimpin masyarakat negara berkenaan.

Sementara itu di dalam lingkungan masyarakat primatif pula ada kalanya seorang yang paling tua dan berpengalaman diangkat menjadi ketua atau pemimpin masyarakat berkenaan. Disamping itu, ada pula pemimpin di kalangan masyarakat ini yang diangkat terdiri daripada orang yang paling gagah dan berani; yang dapat mengalahkan sesiapa sahaja dalam lingkungannya. Anggota masyarakat yang lainnya bukan sahaja berasa takut bahkan tunduk menurut perintah dan kemahuannya. Selagi belum ada individu lain dalam lingkungan itu yang berani mencabar kewibawaannya, selagi itulah dia akan berkuasa memimpin anggota-anggota yang lainnya.

Dalam masyarakat moden yang sudah bertamadun, yang menjadikan ilmu dan harta kekayaan sebagai asas untuk menentukan status atau kedudukan seseorang, biasanya pemimpin dalam lingkungan masyarakat moden tidak lagi dipilih berasaskan darah keturunan, umur dan kekuatan fizikal. Dalam masyarakat moden di kalangan tempat, para pemimpin biasanya diangkat berasaskan ketokohan individu-individu tertentu daripada kalangan orang-orang yang berilmu pengetahuan tinggi, memiliki ketrampilan dalam sesuatu bidang tertentu, dan berpengaruh mungkin kerana kekayaannya, atau disebabkan oleh karisma yang ada di dalam dirinya.

Dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, pucuk pimpinan negara dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya umum. Pemilihan ini dibuat berasaskan kepada ketokohan serta pengaruh individu-individu yang berkenaan, bagi membolehkan mereka diberi kuasa menurut perlembagaan negara, untuk memimpin negara dalam satu jangka masa tertentu.

Sementara itu pemimpin-pemimpin dalam bidang pentadbiran negara pula, dari peringkat nasional sehinggalah ke peringkat daerah dan kampung dilantik berdasarkan kepada pengalaman, ilmu pengetahuan serta ketrampilan tokoh-tokoh berkenaan dalam bidangnya masing-masing, serta bakat kepemimpinan yang telah di tunjukkan oleh mereka.

dari buku Asas Organisasi dan Kepemimpinan.

Monday, May 11, 2015

BUDI BAHASA BUDAYA KITA

Budi bahasa budaya kita bukan sekadar ungkapan tetapi merupakan satu tatacara hidup. Berbudi bahasa dan amalan-amalan nilai-nilai murni amat penting dalam kehidupan kita yang bermasyarakat. Masyarakat yang harmoni, berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai seperti ini mampu melahirkan satu bangsa yang budiman. Setiap orang wajar mempunyai sifat-sifat yang mulia, beradab, bersopan santun, tersisip dengan semangat perpaduan dan tolong menolong, bertoleransi, saling memahami, cintakan kedamaian dan kebersihan serta cintakan negara.

Pemupukan dan penghayatan budi bahasa dan nilai-nilai murni di semua lapisan masyarakat perlu diberi tumpuan. Ianya bermula dari murid sekolah hinggalah ke lapisan profesional dan pemimpin. Bagi membentuk satu bangsa yang terbilang, semua msyarakat bertanggungjawab menghindarkan diri dari nilai-nilai dan amalan hidup yang kasar, kotor, yang melanggar bahasa dan tidak mengendahkan tatasusila yang beradab. Amalan dan penerapan budi bahasa dan nilai-nilai murni perlu dipraktikkan sama ada dalam komunikasi, ucapan, pertuturan atau panggilan dalam perlakuan dan pergaulan.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya adalah simpulan bahasa yang amat sesuai sekali untuk menyemai budaya berbudi bahasa daripada peringkat awal lagi iaitu peringkat awal alam persekolahan. Ini adalah disebabkan murid-murid di peringkat sekolah mudah dibentuk dan ditanam dalam diri mereka dengan nilai-nilai murni. Sekolah menjadi saluran utama kerana sekolah dan guru mampu untuk mendidik dengan segala ilmu bahkan menanam rasa untuk berbudi bahasa serta berakhlak mulia. Murid dari peringkat awal persekolahan lagi telah belajar dan diajar untuk menghormati guru.

Budi bahasa budaya kita, adalah amalan yang perlu dibuat dalam pelbagai kumpulan atau peringkat. Ada peringkat di antara guru dengan murid dan ada peringkat di antara murid dengan rakan sebaya. Bagi peringkat di antara guru dengan murid, tumpuan adalah khusus untuk mendidik murid-murid agar mempunyai nilai murni yang tinggi seperti berdisiplin, menggunakan bahasa yang sopan dan beradab, berani mengaku kesalahan yang dilakukan serta bersedia untuk memohon maaf, mentaati jadual sekolah, tidak ponteng dalam untuk mengikuti setiap subjek pengajaran dan pembelajaran dan menjaga kesihatan diri dan persekitaran sekolah.

Amalan untuk peringkat di antara murid dengan rakan sebaya pula adalah lebih tertumpu kepada dorongan dan galakan. Tumpuan lebih banyak ke arah memotovasikan diri. Sikap saling hormat menghormati sesama rakan adalah perlu dilakukan. Ucapan salam atau ucapan selamat antara mereka perlu diutamakan. Di sini akan tertanam rasa hormati menghormati antara mereka. Disamping itu, ia dapat memupuk sikap menghargai perbezaan beragama, latar belakang masyarakat dan budaya masing-masing. Menghargai idea, fikiran dan pendapat serta hak milik rakan sebaya, saling membantu dan bekerjasama sesama rakan sebaya juga amalan mulia yang perlu dilakukan.

Banyak aktiviti boleh dilakukan di peringkat sekolah sebagai pengisian amalan budi bahasa budaya kita ini. Antaranya dengan mengadakan ceramah dan pameran, mengadakan pelbagai pertandingan seperti kuiz, pidato dan permainan tradisional boleh melahirkan individu dan juga masyarakat yang mempunyai identiti positif, berfikiran luas, terbuka serta bertanggungjawab bukan sahaja kepada diri sendiri malahan kepada keluarga, rakan, jiran, pemimpin, guru dan persekitaran. Amalan budi bahasa budaya kita adalah amalan mulia yang boleh membentuk sikap yang positif kepada kita. Sikap individu yang positif pula akan dapat membentuk masyarakat yang harmoni dan muhibah.

Saturday, May 9, 2015

MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT

MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT

Orang tua-tua dahulu banyak meninggalkan kepada kita, perumpamaan-perumpamaan yang merupakan kiasan-kiasan perkataan. Kiasan tersebut perlu kita teliti sejauh manakah kepentingannya boleh membantu kita. Namun semestinya setiap perumpamaan itu mengandungi banyak pengertian. Banyak yang tersurat dan sudah tentu banyak juga yang tersirat. Apakah setiap perumpamaan yang menjadi peninggalan datuk nenek kita dahulu telah atau akan kita praktikan? Mungkinkah ianya hanyalah sebagai hiasan atau kata-kata yang kita rasa sedap dibicarakan atau didengari?

Perumpamaan tersebut sentiasa bermain di bibir setiap insan yang mengikuti perkembangannya. Perumpamaan yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan. Sentiasa menjadi 'evergreen', umpamanya 'muafakat membawa berkat', 'bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat' dan 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing', sentiasa segar sehingga kini. Ia tentunya mengandungi suatu yang tersimpan yang perlu kita huraikan. Juga ianya perlu kita terjemahkan dalam kehidupan kita seharian.

Dalam aspek ini, untuk menterjemahkan 'muafakat membawa berkat, Kementerian Pendidikan Malaysia akan memastikan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta terlibat sebagai rakan dalam pendidikan. Penumpuan yang dibuat adalah untuk manfaatkan kelebihan saing pelbagai pihak bagi menyampaikan pendidikan berkualiti secara bersepadu, berkesan dan cekap.

Langkah-langkah yang diambil adalah melalui;
1. Meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan komuniti tentang peranan mereka dalam pendidikan anak-anak.
2. Menyediakan bimbingan kepada sekolah bagi memacukan proses penglibatan ibu bapa dan komuniti.
3. Mengaitkan bantuan kewangan untuk murid miskin dengan peningkatan pelibatan ibu bapa
4. Mengumpulkan PIBG untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong pelibatan ibu bapa dan komuniti.
5. Meningkatkan jaringan Sekolah Amanah dan bidang lain untuk pelibatan sektor awam.

Sistem pembelajaran mengiktiraf bahawa pembelajaran berlaku di luar lingkungan sekolah dan boleh berlaku di rumah serta dalam komuniti. Sekolah sewajarnya dapat menyediakan persekitaran yang kondusif unntuk jalinan hubungan kerja positif antara sekolah dengan ibu bapa dan komuniti.

Kewujudan 'muafakat membawa berkat' dapat disalurkan atau dijalankan melalui hubungan dan kerjasama pihak sekolah dengan pihak lain yang berkaitan. Antaranya;
1. Kerjasama sekolah dengan ibu bapa
2. Kerjasama sekolah dengan komuniti

Untuk mengekalkan 'muafakat membawa berkat' serta perumpamaan yang lain, beberapa perumpamaan yang ditinggalkan kepada kita perlu dihapuskan. Melalui penghapusan tersebut maka jalinan serta jaringan sekolah dengan ibu bapa dan komuniti. Oleh itu adalah wajar, perumpamaan
'jangan jaga tepi kain' dihapuskan. 'Jaga tepi kain orang lain' boleh membantu antara sesama kita dalam mengekalkan 'muafakat membawa berkat.'




Friday, May 1, 2015

APABILA ORANG LAMA BERSUARA

Pesanan Tun Dr Mahathir UNTUK AHLI AKAR UMBI UMNO
30 April 2015
Sumber : www.chedet.cc

1. Saya ucap terima kasih kerana ada ahli-ahli akar umbi UMNO yang menasihati saya supaya tidak “menyerang” Dato’ Sri Najib, Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

2. Saya punyai sedikit pengalaman dalam bidang politik, terutama yang berkaitan dengan budaya Melayu. Kita cenderung untuk setia kepada pemimpin. Kita tidak soal apa-apa yang dilakukan oleh pemimpin. Dia pemimpin, kita pengikut. Oleh itu, ikut sahajalah. Lebih-lebih lagi apabila kita diberi penerangan olehnya secara tertutup seolah-olah kita dapat berkongsi rahsia dengan pemimpin kita.

3. Tetapi untuk kita membuat keputusan atau menghukum secara bijak, secara adil kita perlu dengar kedua-dua belah pihak.

4. Jika ada yang fikir saya merosakkan parti, saya harap saya diberi peluang untuk menjelaskan kenapa saya “menyerang” Dato’ Sri Najib. Bagi saya serangan ini mungkin tidak menyenangkan Najib dan sebahagian daripada ahli UMNO tetapi sebabnya ialah kerana saya ingin menyelamatkan UMNO, parti keramat yang dahulu disokong sehingga menang 2/3 tiap PRU.

5. Hanya mereka yang tidak dapat lihat sahaja yang tidak sedar bahawa UMNO dibawah Dato’ Sri Najib telah gagal memulih UMNO selepas Tun Abdullah. Kemenangan Najib lebih tipis.

6. Saya harap saya diberi peluang berjumpa dengan ahli UMNO biasa untuk menerang akan masalah kehilangan berbillion Ringgit oleh Dato’ Sri Najib. Lepas mendengar kedua-dua pihak adililah terhadap “serangan” saya. Apakah saya sedang merosakan parti atau mencuba menyelamatkanya.

Maka ada pula yang tidak berpuas hati dengan teguran "orang lama" ini:-
DI SAAT PEMBANGKANG NAMPAK GOYAH,
UMNO TUNJANG BN SEMACAM REKAH.
Retak bumi tempat berpijak
Patah dahan tempat bergantung
Nampak digeruni tapi tak bijak
Orang lain mendapat untung.
Karpal Singh (harimau DAP) telah meninggal dunia.
Tok Guru Nik Aziz (mursyidul am PAS) telah kembali ke rahmatullah.
Lee Kuan Yew (pengasas dan peneraju PAP Singapura,yang juga 'bapa kandung DAP
Malaysia) telah meninggal dunia.
Anwar Ibrahim (pengasas dan peneraju PKR,yang juga ketua pembangkang)menjalani
hukuman penjara.
DAP dan PAS sedang bercakaran kerana hudud.
Dalam parti PAS sedang bercelaru kerana berebut jawatan.
Dalam parti PKR sedang berkecamuk kerana kehilangan peneraju utama Anwar Ibrahim.
Ringkasnya,pakatan pembangkang sedang goyah.Dari segi strategi politik,inilah masa yang paling sesuai untuk BN/UMNO menguasai gelanggang.
Tapi malangnya,inilah juga masa yang dipilih oleh Tun Mahathir,mantan PM,untuk menyerang PM Najib sehingga ke tahap menggesa Najib melepaskan jawatan PM.
Pakatan pembangkang menarik nafas lega... Dapat jurucakap 'bertauliah' yang tak payah dilantik dan tak perlu dibayar,bernama Mahathir.
Rakyat tertanya-tanya,apa kesudahan episod ini.
Saya tak punya jawapan..
Melainkan sekadar meraut nukilan,
untuk mewajahkan rasa terkilan..
'Agaknya,memang dah nasib Melayu jadi begini..
Baru nak maju,dah macam-macam terjadi.
Pemimpin nombor satu sedang digerudi,
diasak bertubi-tubi,termasuk hal peribadi.
Yang menggerudi ialah mantan Perdana Menteri.
Khabarnya atas alasan nak selamatkan parti.
Resepi dari pengalaman silam dibancuh dalam acuan masakini.
Belum tentu kuih yang diharap akan menjadi.
Yang nampak meriah... peranan golongan 'batu api'.
Dah nasib Melayu jadi begini..
Berbalah sesama sendiri tanpa henti.
Kaum-kaum lain seronok memerhati...
Melayu dalam pembangkang kutuk Umno kerana benci.
Melayu dalam Umno lagakan pemimpin untuk naikkan kroni.
Melayu atas pagar macam lalang ikut angin persepsi.
Mereka atas pagar tak berparti.
Yang penting,perut mereka minta diisi.
Dah nasib Melayu jadi begini..
Yang diberi kuasa,selalu lupa diri.
Bermewah-mewah tak berhingga,ikut lautan nafsu tak bertepi.
Yang belum dapat kuasa,tunjuk baik tak terperi.
Yang jadi pengikut,pilih pemimpin tak berhati-hati.
Kayu pengukur... asal kembung poket sendiri,
Meskipun nasib bangsa diperjudi.
Dah nasib Melayu jadi begini...
Rakus politik,tergadai jatidiri.
Rebut pangkat,sanggup berseteru sesama sendiri.
Tamak wang,ambil risiko menjerat diri,korbankan integriti.
Hilang kuasa... salahkan orang tak bagi undi.
Apalah nasib bangsa ku ini..
Ada pemimpin,tapi sering tandus bestari.
Ada kuasa,tapi nak guna tak reti.
Jumlah majoriti,tapi terpecah jadi minoriti.
Negara kaya,tapi poket orang lain yang penuh berisi.
Mudah-mudahan jangan sampai bangsa ku Melayu merempat di bumi sendiri.
...nukilan Sani Supi...

dan kepada siapa pula lagu "anak kecil main api" hendak ditujukan?
Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya-raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa di antara kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Kita kan merintih sendiri

Jangan buang waktu lagi
Majulah raih sebuah mimpi
Hapuskan sengketa
Teruskan usaha
Kita kan gagah di nusantara

Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di pentas dunia

Fikir-fikirlah sendiri. Jangan hanya menyalahkan orang lain......