Sesiapa sahaja yang menunjuk arah, memandu, dan membimbing ke arah mencapai sesuatu tujuan tertentu dapat dikatakan sebagai pemimpin. Seorang ayah yang sentiasa menunjuk ajar serta membimbing isteri dan anak-anaknya untuk mencapai kebahagiaan hidup rumahtangga adalah seorang pemimpin keluarga. Begitu juga dengan guru yang menunjuk arah, memandu dan membimbing muridnya dalam kelas untuk menimba ilmu pengetahuan; dia adalah seorang pemimpin di kelasnya.
Di sekolah, selain daripada guru besar dan guru-guru, pengawas-pengawas sekolah, ketua-ketua darjah, ketua-ketua rumah dan lain-lainnya juga merupakan pemimpin-pemimpin muda yang berpotensi. Mereka adalah individu-individu yang diberi tanggungjawab untuk memandu dan membimbing orang lain, iaitu para murid lainnya, untuk mencapai kecemerlangan akademik, kemantapan disiplin, dan menerapkan nilai-nilai murni kepada para murid sesuai dengan budaya sekolah yang telah dibina dari satu generasi ke satu generasi.
Pada peringkat negara, kita juga mempunyai lapisan-lapisan pucuk pimpinan yang berkhidmat untuk menentukan keamanan, kestabilan dan kemakmuran rakyat. Kita mempunyai pemimpin-pemimpin pada peringkat negara, negeri daerah atau jajahan dan juga pada peringkat kampung atau desa. Pada peringkat negara, kita mempunyai Perdana Menteri. Pada peringkat negeri, kita mempunyai Menteri Besar atau Ketua Menteri. Pada peringkat daerah atau jajahan kita mempunyai Pegawai-Pegawai Daerah atau Pegawai-Pegawai Jajahan sementara pada peringkat mukim dan kampung, kita mempunyai Penghulu dan Ketua Kampung.
Kita juga mempunyai pemimpin-pemimpin politik, pemimpin agama, pendidikan, keamanan dan lain-lainnya. Pada asasnya mereka adalah orang-orang yang memimpin, membimbing, menunjuk arah, dan memandu orang ramai, iaitu rakyat, untuk mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di negara ini. Melalui penerangan di atas adalah jelas kepada kita siapa yang dimaksudkan pemimpin.
Dalam kita membicarakan soal pemimpin dan kepimpinan ini, kita tidak harus lupa membicarakan soal kewujudan para pemimpin di tengah-tengah sesuatu masyarakat. Ada pemimpin yang memang diturunkan oleh Allah s.w.t. untuk memimpin umat manusia di muka bumi ini. Mereka terdiri daripada para nabi dan rasul seperti junjungan besar nabi kita, Muhammad s.a.w., yang telah ditunjuk oleh Allah untuk memperbaiki akhlak manusia, dan membawa umat manusia daripada kehidupan jahiliah kepada jalan yang diredhai Allah.
Ada juga para pemimpin yang kehadirannya dalam sesebuah masyarakat itu ditentukan oleh darah keturunan. Seorang raja atau sultan umpamanya, apabila magkat, puteranya secara automatis akan diangkat menjadi raja atau sultan menggantikan ayahandanya untuk memimpin masyarakat negara berkenaan.
Sementara itu di dalam lingkungan masyarakat primatif pula ada kalanya seorang yang paling tua dan berpengalaman diangkat menjadi ketua atau pemimpin masyarakat berkenaan. Disamping itu, ada pula pemimpin di kalangan masyarakat ini yang diangkat terdiri daripada orang yang paling gagah dan berani; yang dapat mengalahkan sesiapa sahaja dalam lingkungannya. Anggota masyarakat yang lainnya bukan sahaja berasa takut bahkan tunduk menurut perintah dan kemahuannya. Selagi belum ada individu lain dalam lingkungan itu yang berani mencabar kewibawaannya, selagi itulah dia akan berkuasa memimpin anggota-anggota yang lainnya.
Dalam masyarakat moden yang sudah bertamadun, yang menjadikan ilmu dan harta kekayaan sebagai asas untuk menentukan status atau kedudukan seseorang, biasanya pemimpin dalam lingkungan masyarakat moden tidak lagi dipilih berasaskan darah keturunan, umur dan kekuatan fizikal. Dalam masyarakat moden di kalangan tempat, para pemimpin biasanya diangkat berasaskan ketokohan individu-individu tertentu daripada kalangan orang-orang yang berilmu pengetahuan tinggi, memiliki ketrampilan dalam sesuatu bidang tertentu, dan berpengaruh mungkin kerana kekayaannya, atau disebabkan oleh karisma yang ada di dalam dirinya.
Dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, pucuk pimpinan negara dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya umum. Pemilihan ini dibuat berasaskan kepada ketokohan serta pengaruh individu-individu yang berkenaan, bagi membolehkan mereka diberi kuasa menurut perlembagaan negara, untuk memimpin negara dalam satu jangka masa tertentu.
Sementara itu pemimpin-pemimpin dalam bidang pentadbiran negara pula, dari peringkat nasional sehinggalah ke peringkat daerah dan kampung dilantik berdasarkan kepada pengalaman, ilmu pengetahuan serta ketrampilan tokoh-tokoh berkenaan dalam bidangnya masing-masing, serta bakat kepemimpinan yang telah di tunjukkan oleh mereka.
dari buku Asas Organisasi dan Kepemimpinan.
No comments:
Post a Comment