PENGENALAN
Disiplin boleh difahamkan sebagai peraturan atau undang-undang, manakala kesungguhan adalah sebagai ketekunan atau ketaatan. Hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:- “Sesungguhnya Allah menyukai apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun.”Dari hadis tersebut dapat difahamkan bahawa ketekunan yang berdasarkan kepada disiplin itu memang dituntut oleh Islam.
Sejarah pernah membuktikan bahawa kejayaan junjungan Nabi Muhammad s.a.w. dalam penyebaran Islam, kejayaan Saidina Abu Bakar a.s. memerangi orang-orang murtad dan orang-orang yang enggan membayar zakat juga kejayaan Khalifah Umaiyah dan Khalifah Abbasiah atau kegemilangan umat Islam ketika itu mempunyai disiplin dan kesungguhan dalam perjuangannya.
Pujanggan Arab pernah menyebut:- “Sesiapa yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh pasti berjaya.”
Pepatah Melayu juga ada menyebut:- “Genggam bara api biar sampai jadi arang.”
PENTINGNYA DISIPLIN DAN KESUNGGUHAN
Pentingnya disiplin dan kesungguhan dalam kehidupan tidak dapat dinafikan, baik terhadap Allah (Agama), terhadap diri keluarga, terhadap masyarakat dan juga terhadap Negara.
DISIPLIN TERHADAP ALLAH (AGAMA)
Bagi umat Islam, disiplin dan kesungguhan yang paling tinggi sekali ialah terhadap Allah kerana Allah punca dan matlamat segala-galanya. Untuk merealisasikan disiplin terhadap Allah mudah sahaja iaitu melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Ia merangkum apa yang disebut sebagai “ibadah”. Ibadah yang dimaksudkan di sini merangkumi ibadah secara langsung dan ibadah secara tidak langsung. Ibadah secara langsung tersimpul dalam Rukun Iman dan Rukun Islam. Ibadah secara tidak langsung pula adalah tersirat dalam konsep-konsep kemasyarakatan.
Dalam ibadah-ibadah ini terdapat berbagai-bagai ciri disiplin iaitu disiplin masa, disiplin tempat, disiplin tingkah laku dan sebagainya. Sembahyang, puasa, zakat dan haji memerlukan disiplin-disiplin ini dan merupakan perkara asasi yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Seorang itu tidak dikira bersembahyang fardhu sekiranya tidak ditunaikan dalam waktu-waktu tertentu, tidak dikira sah sembahyang tanpa niat dan bacaan-bacaan tertentu dan tidak dikira cukup rakaat tanpa rukun-rukun “fe’li”nya yang tertentu.
Dalam idabah puasa pun begitu juga, tidak dikira berpuasa dengan hanya tidak makan atau minum tanpa ada disiplin seperti masa tertentu iaitu meninggalkan segala larangannya.
Begitu juga halnya dengan zakat yang mempunyai disiplin tersendiri yang dikenal sebagai syarat wajib dan syarat sah zakat serta kepada siapa diberikan zakat itu.
Tidak kurang juga ibadah haji. Disiplin masa amat dipentingkan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:- “Adapun musim haji itu hanya (dalam) beberapa bukan yang termaklum.”
Disamping itu diperlukan juga kepada kepatuhan terhadap larangan-larangan tertentu.
Disiplin-disiplin dalam ibadah ini dikaitkan pula dengan tingkah laku dan kesungguhan yang hanya tertumpu kepada Allah Yang Maha Kuasa sahaja. Ia tidak kerana mendapat upah. Tidak menunjuk-nunjukkan kepada orang lain dan tidak kerana mendapat pujian dari orang lain kerana ciri-ciri ini bercanggah dan menyimpang dari kehendak dan disiplin dalam Islam.