Thursday, January 26, 2012

BANDAR RAYA IPOH BANDAR BOUGAINVILLAEA.

BANDAR RAYA IPOH
Ibu Negeri Perak

KELUASAN KAWASAN
137.5 km persegi

JUMLAH PENDUDUK
Lebih kurang800,000

KAUM
Melayu, Cina, India dan lain-lain

STATUS BANDAR RAYA
27 Mei 1988

BUNGA RASMI
Bunga Kertas (Bougainvillaea)

Nama Ipoh diambil sempena "pokok Ipoh" yang tumbuh meliar pada suatu masa dahulu. Ipoh terletak di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). MBI juga telah mengorak langkah dengan pembangunan terancang dan moden untuk bandar raya Ipoh yang terbahagi dua oleh Sungai Kinta iaitu Old Town dan New Town yang memiliki identiti masing-masing.

Di Ipoh New Town atau Bandar Baru Ipoh, terdapat kemudahan pendidikan, kemudahan pengangkutan, kesihatan, sukan dan riadah, pusat membeli belah mega dan perumahan-perumahan baru. Antaranya Metro Ipoh Baru, Hospital Pakar Ipoh, Hospital Pakar Kinta, Kompleks Sukan Ipoh, kelab-kelab golf, perumahan baru Sunway City, Perpustakaan Tun Abdul Razak dan sebagainya untuk kesenangan dan kesejahteraan warga sekitar Ipoh.

Pembukaan komersial Greentown memberi satu wajah baru kepada pembangunan ekonomi bandar raya Ipoh denganpelbagai aktiviti komersial dijalankan. Bandar raya Ipoh mudah dihubungi dengan sistem pengangkutan darat mahupun udara. Terdapat lebuhraya PLUS, Stesen Keretaapi Tanah Melayu (KTM), Lapangan Terbang Ipoh dan Terminal Bas membentuk satu rangkaian perhubungan yang cekap. Kedudukannya yang strategik di tengah-tengah Semenanjung telah menjadikannya sebagai bandar persinggahan utama pengunjung-pengunjung luar terutamanya dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Singapura.

MBI terus mengekalkan indentiti Old Town atau Bandar Lama Ipoh melalui bangunan-bangunan kedai di Jalan Bandar Timah, Stesen Keretapi Tanah Melayu, institusi pendidikan St. Michael, Muzium Darul Ridzuan, Masjid Negeri, Muzium Geologi dan bangunan-bangunan kerajaan lain. Bangunan-bangunan ini membentuk imej tersendiri kepada bandar raya Ipoh yang memiliki nilai-nilai sejarah.

Reka bentuk aspek seni binanya amat unik iaitu bercirikan elemen "Mooris" dan "Gothic" Inggeris serta elemen seni bina Jepun yang terdapat pada bangunan-bangunan markas tentera Jepun zaman Perang Dunia Kedua. Destinasi pelancongan lain yang terkenal adalah seperti tokong-tokong Buddha di Gua Tempurung, Taman Tema Tambun, Menara Peringatan Birch, Istana Kelly dan lain-lain.