Sunday, September 30, 2012

KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN, APA PERBEZAANNYA?

Dua perkataan yang amat mudah untuk disebut. Kepimpinan dan Pengurusan. Tapi apa perbezaannya? Memanglah dua perkataan tersebut lain sebutan bunyinya. KEPIMPINAN dan PENGURUSAN. Begitu juga lain ejaannya. Hanya yang sama adalah jumlah abjad yang membentuk kedua-dua perkataan iaitu sepuluh abjad.

Kepimpinan sering dikaitkan dengan arah atau tujuan. Dalam sesebuah organisasi ia berkait rapat visi, objektif, matlamat, isu-isu strategik, tranformasi, manusia dan komunikasi. Jelas kepada kita, kepimpinan merangkumi kebolehan menggunakan dua kemahiran berfikir iaitu kemahiran berfikir secara kritis dan kemahiran berfikir secara kreatif. Satu lagi kemahiran ialah kemahiran memimpin.

Pengurusan banyak menumpukan cara-cara dan kaedah pelaksanaan. Oleh itu pengurusan banyak menjurus kepada proses pelaksanaan, isu-isu operasi, transaksional, cara dan kaedah, sistem dan keberkesanan pelaksanaan tugas. Pengurusan lebih mengutamakan kebolehan pengurusan elemen-elemen sesebuah organisasi.

Bagi organisasi pendidikan, kepimpinan merupakan elemen yang penting dalam pengurusan. Kepimpinan dan pengurusan diibaratkan sebagai 'lagu dan irama' yang tidak boleh dipisahkan Kedua-duanya saling bertindak dan berintegrasi antara satu sama lain.

No comments: