SELAMAT HARI GURU
Mari kita bangunkan guru beridealisme
Cikgu Azmi Abdul Hamid, | 16 Mei 2013 |
Digelar guru dan berjawatan guru adalah suatu keistimewaan. Mengingatkan betapa panggilan Cikgu adalah abadi apabila seorang guru memang selesa dipanggil Cikgu sampai bila-bila. Sering kita merenungkan. Cikgu itu panggilan penuh hormat, penuh kasih. Terasa amat damai hati ini jika seorang murid lama menyebut "Dia itu cikgu saya dulu". Pastinya gurunya sampai bila-bila pun.
Akan tetapi, terfikir juga kita betapa menjadi guru itu adakalanya karier pilihan terakhir bagi setengah orang. Apabila sudah tertolak untuk menjawat jawatan yang lain yang dianggap lebih berprestij , maka guru-lah menjadi pilihan. Lalu ujudlah guru separuh hati. Lantaran tidak ada pilihan yang lain, digagahkan juga menjadi guru.
Maka berlakulah guru yang tidak sebenarnya berwatak guru yang sewajarnya. Berdepan dengan murid bagaikan tunggul. Tidak berinteraksi dengan mesra bersama murid, tidak terasa perlu menyantuni pelbagai karenah murid, tidak terasa ingin untuk murid itu benar-benar menjadi manusia yang bermanfaaat kepada masayarakat , tidak mengendahkan untuk membantu murid yang lemah kerana faktor keluarga dirumah yang serba daif.
Inilah antara isu yang kami ingin ketengahkan ketika mengingatkan Hari Guru . Saban tahun secara ritual warga pendidikan merayakan hari istimewa ini buat guru. Dengan tetap menghormati guru sebagai insan paling istimewa selepas ibu bapa , maka persoalan yang seharusnya dilontar apakah impak yang paling besar diperoleh oleh seorang murid dari seorang guru.
Selain setiap guru membekas dari segi madah (subjek) yang diajar sehingga ada yang dilantik sebagai guru pakar, akan tetapi apakah ada yang lebih dari hanya sekadar itu pakar dalam bidang yang diajar.
Kita sangat mengalu-alukan adanya usha meningkatkan professionalisme perguruan. Skima mengijazahkan semua guru sebagai syarat utama untuk diterima sebagai guru yang memenuhi kriteria itu tidak salah. Malah amat diperlukan.
Soalnya yang agak kurang ditekankan ialah pembinaan watak guru sesungguhnya. Kami mengutarakan soal syakhsiyyah guru yang perlu diperkukuhkan kerana mereka ada tubuh yang menjadi kenderaan ilmu . Apabila guru bersakhsiyyah "hasanah" (baik) akan membentuk syakhsiyyah murid. Di sebaliknya jika berwatak "saiyi’ah " (buruk), maka kesan kepada pembinaan generasi akan parah.
Kami juga berpendapat Hari Guru membawa mesej hari berintrospeksi mengenai idealisme perjuangan membina generasi masa depan. Bermakna para guru adalah penanam benih idealisme bukan sahaja kepada masyarakat malah juga kepada anak murid. Seorang guru itu bertutur dan berfikir sebagai seorang futuris ( pemikir masa depan ) kerana yang menjadi kegusaran seorang guru ialah bagaimana anak muridnya perlu dibentuk pemikiran yang jernih dan murni untuk menyumbang kepada masyarakat yang beradab tinggi. Pastinya selepas itu membina tamadun tinggi.
Dalam era perjuangan kemederkaan, guru bukan sahaja memilih untuk mengajar anak bangsa tetapi adalah juga pencetus idealisme mencapai kemerdekaan tanah air.
Maka tercatat betapa ramai guru yang menjadi penggerak perjuangan yang sangat dihormati masyarakat. Catatan sejarah tidak berbohong. Memang sesungguhnya begitulah sejarah.
Hadiah terbesar seorang guru ialah menanam bibit idealisme di sanubari anak murid. Maka tidak sedikit guru pada zaman penjajahan, turun bersama di medan lapangan masyarakat, menyuara keprihatinan, mencetuskan semangat dan memberanikan diri berada dibarisan depan .
Oleh itu, ketika Hari Guru disambut pada tahun 2013 ini, di samping mengungkapkan ucapan sejuta terima kasih dan sekuntum penghargaan, kami juga mengajak warga guru, diperingkat apa pun, mari kita bermuhasabah, mari kita mengoreksi diri, sejauh mana pendidik dan kependidikan, guru dan perguruan telah berjalan sempurna ke arah membangunkan tamadun cemerlang yang kita idamkan.
Selamat Hari Guru.
Cikgu Azmi Abdul Hamid
Presiden Teras
16 hb Mei 2013
No comments:
Post a Comment