Hari ini bertarikh 30 Ogos 2013. Hari Jumaat. Besok, Sabtu. 31 Ogos 2013. Ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke- 56. Sudah melebihi setengah abad rupanya Malaysia ini merdeka. Kalau mengikut usia seseorang manusia, ia hampir kepada usia penghujung. Saban tahun sambutan ulang tahun kemerdekaan ini pasti dilancarkan mulai 15 Ogos hingga 15 September tahun semasa. Hebohlah berita mengenai sambutan ulang tahun kemerdekaan ini semua media. Dalam surat khabar penuh dengan berita ulang tahun kemerdekaan. Dalam televisyen juga disiarkan berita yang sama. Malahan dalam intenet juga ada turut sama.
Seusai sahaja kita membuat sambutan ulang tahun kemerdekaan, pada 16 September saban tahun kita merayakan pula hari Malaysia. Kalau kita bertanya kepada anak-anak di sekolah, apakah mereka tahu apakah perbezaan di antara dua sambutan tersebut. Apakah perbezaan peristiwa pada tarikh keramat iaitu 31 Ogos dan 16 September? Atau mereka bersama-sama merayakan hanyalah ikut-ikutan sahaja. Orang mengibarkan bendera, mereka juga mengibarkan bendera. Orang melaungkan sorakan merdeka, mereka turut sama melaungkannya.
Apa yang saya perhatikan baik di bandar-bandar malahan turut menjadi perhatian saya ke kampung-kampung. Kibaran jalur gemilang amat berbeza antara dua lokasi ini. Begitu juga antara premis kerajaan dengan premis persendirian juga kibaran jalur gemilang yang berbeza. Timbul persoalan dalam hati saya, mengapakah perkara sebegini boleh berlaku pada hal Malaysia telah pun mencapai kemerdekaan 56 tahun yang lalu. Apakah warga Malaysia sudah tidak mempunyai semangat patriotik dalam diri mereka? Atau apakah dengan mengibarkan jalur gemilang itu membuang masa dan kerja yang sia-sia?
Setiap tahun ada sahaja pertandingan sambutan ulaang tahun kemerdekaan. Saban tahun mesti ada pemenangnya sekurang-kurang tempat pertama hingga ketiga. Kadang-kadang sampai ada hadiah sagu hati sebagai tambahan. Apakah hadiah-hadiah yang ditawarkan itu tidak berbaloi jika dibandingkan dengan kerja-kerja persiapan untuk pertandingan? Namun begitu, seandainya kita mempunyai semangat patriotik yang kuat kibaran jalur gemilang lebih muncah lagi tanpa mengira tawaran-tawaran hadiah. Jalur gemilang akan berkibar sepanjang jalan. Jalur gemilang berkibar megah di premis-premis persendirian.
Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengarahkan semua sekolah dan premis-premis pendidikan mengibarkan jalur gemilang ini mulai 15 Ogos sehingga 15 September. Jalur gemilang mulai menghiasi bangunan dan kawasan premis pendidikan. Di sekolah, suasana begitu meriah pada hari pelancaran bulan kemerdekaan. Begitu juga pada hari sambutan kemerdekaan itu yang dijalankan sehari sebelum hari ulang tahun kemerdekaan tersebut. Terdapat pelbagai bentuk jalur gemilang yang menghiasi premis pendidikan ini. Di sekolah-sekolah, setiap pagi lagu yang berkaitan dengan kemerdekaan akan berkumandang di udara.
Situasi sambutan ulang tahun kemerdekaan yang begitu meriah bukan sahaja tertumpu kepada sekolah rendah, Situasi yang sama juga akan dilihat di sekolah menengah. Jikalau di peringkat awal lagi mereka telah ditanam dengan semangat patriotik yang tinggi, mengapa apabila mereka telah dewasa semangat patriotik yang tersemai menjadi pudar? Mengapakah semangat patriotik dalam diri mereka menjadi layu? Mengapa semangat patriotik yang hidup segar dan subur tiba masa dewasa ianya mati begitu sahaja? Betulkah golongan remaja hanya bersemangat menyambut ulang tahun kemerdekaan pada malam "countdown" sahaja?
No comments:
Post a Comment