Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana kita dapat bertemu lagi. Terima kasih kepada semua pembaca yang sudi mengikuti blog ini. Perkongsian ilmu sewajarnya menjadi amalan dengan mengamalkan budaya ilmu. Ilmu itu penting bukan sahaja di dunia ini malahan ilmu turut penting di akhirat nanti.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Apabila mati seseorang manusia itu, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah yang pahalanya selalu mengalir (sedekah jariah), ilmu yang bermanfaat serta anak soleh yang selalu mendoakan."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dari tiga perkara yang tersebut di atas, pastinya perkara yang kedua memberi kelebihan kepada kita yang bergelar guru. Melalui pengajaran dan pembelajaran, ilmu dapat disalurkan kepada penerima ilmu iaitu murid. Murid pula akan meningkat dewasa dan pastinya ilmu yang diterima olehnya itu dapat disalurkan pula kepada generasi selepasnya. Tambahan pula, ilmu yang dicurahkan itu adalah ilmu yang banyak memberi manfaat kepada semua. Para guru sewajarnya memanfaatkan masa semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Proses pengajaran dan pembelajaran penting bukan sahaja berlaku di dalam bilik darjah malahan penting juga berlaku di luar bilik darjah. Jadikanlah pengajaran dan pembelajaran yag berkesan.
Ilmu yang bermanfaat akan terus kekal membuahkan pahala selagi mana ia diamalkan. Amalan tersebut diamalkan tidak kira oleh diri sendiri ataupun oleh orang lagi. Paling penting, selagi mana ilmu itu disebarkan dan juga ilmu itu diamalkan. Rasulullah s.a.w. selalu menegaskan tentang kepentingan ilmu pengetahuan dan juga kepentingan mempelajarinya. Islam meletakkan orang yang berilmu itu ke darjat yang tinggi. Imam al-Ghazali telah menegaskan bahawa ilmu itu imam, amal itu makmumnya. Begitulah pentingnya ilmu itu kepada kita. Ayat al-Quran yang pertama juga adalah berkaitan dengan ilmu. Iqra' yang membawa perkaitan dengan membaca.
Jatuh cinta sering kita kaitkan dengan remaja. Kita kaitkan antara lelaki dan perempuan. Perkaitan cinta antara dua jiwa. Namun, mengapakah tidak kita kaitkan cinta manusia dengan ilmu? Lihat sekeliling, berapa ramaikah remaja yang mampu jatuh cinta dengan ilmu? Kita perlu sedar bahawa ilmu itu jauh lebih menguntungkan berbanding harta yang menimbun. Untuk mendapatkan ilmu bukanlah mudah. Ilmu diperolehi melalui usaha yang gigih. Perlu ada ketekunan dan perlu ada pengorbanan untuk mendapatkan ilmu. Apabila kita meletakkan ilmu itu sebagai satu keperluan, kita sanggup bersusah payah untuk mendapatan.
Ilmu itu keperluan kepada semua pihak. Ilmu yang dicurahkan itu bukalahn hanya kepada murid semata-mata. Semua peringkat umur memerlukan ilmu. Menuntut ilmu bukan semata-mata kepada anak-anak, malahan orang dewasa juga penting untuk menuntut ilmu. Oleh itu, tanamkanlah dalam diri kita bahawa menuntut ilmu itu wajib ke atas semua pihak. Kita juga wajar membudayakan ilmu sepanjang hayat.
1 comment:
ilmu harus di sebarkan walaupun sedikit
Post a Comment