Negara memerlukan tenaga mahir yang mencukupi dalam pelbagai bidang bagi memastikan status negara maju tercapai menjelang tahun 2020. Penyediaan tenaga kerja mahir ini memerlukan satu sistem pendidikan yang cekap serta guru yang berketrampilan sesuai dengan bidang yang diperlukan untuk pembangunan negara.
Untuk merealisasikan matlamat tersebut, pemilihan calon guru harus dibuat dengan lebih objektif berdasarkan ujian dan temu duga. Seperti yang diketahui umum, bukan semua individu sesuai untuk menjadi guru.
Keselarasan antara ciri guru dengan sesuatu kerjaya ialah penentu kepada motivasi, kepuasan kerja, pencapaian, produktiviti dan stabiliti dalam kerjaya. Pemilihan kerjaya yang baik seakan-akan sama dengan memadankan pasak bulat ke dalam lubang bulat atau pasak empat segi ke dalam lubang empat segi.
Hal ini bermakna, terdapat keperluan untuk menentukan "individu yang betul untuk kerja yang betul" diberikan perhatian yang sewajarnya dalam pemilihan calon guru. Berdasarkan matlamat di atas serta parameter penting kriteria pemilihan guru iaitu personaliti, minat, pencapaian, nilai integrita dan kecerdasan emosi, satu instrumen telah dibangunkan oleh Jawatankuasa Pembinaan Instrumen MEdSI yang terdiri daripada sekumpulan pakar dari sepuluh buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia.
Terdapat empat bahagian utama untuk pemilihan calon-calon yang akan mengikuti latihan perguruan. Keempat-empat bahagian tersebut ialah personaliti, minat kerjaya, integriti dan kecerdasan emosi.
1. PERSONALITI
Profesion yang diceburi seseorang perlulah bersesuaian dengan personalitinya. Guru ialah 'role model' yang paling rapat dengan murid. Mereka seharusnya mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi serta personaliti yang bertepatan dengan profesion perguruan. Oleh itu, Keselarasan personaliti dengan kerjaya yang diceburi sebagai guru adalah amat penting.
Antara ciri personaliti guru yang boleh mempengaruhi sikap dan sahsiah murid adalah seperti cara berpakaian, pertuturan, kejujuran, kesabaran, ketahanan diri dan kepimpinan. Semua ini akan menjadi ikutan kepada murid-murid guru tersebut.
2. MINAT KERJAYA
Individu mempunyai minat yang berbeza. Minat kepada sesuatu kerjaya merupakan salah satu faktor yang terpenting dalam menentukan kejayaan seseorang dalam profesion yang diceburi. Cabaran profesion perguruan yang semakin hebat pada masa ini memerlukan ketepatan pemilihan calon guru. Minat yang mendalam terhadap kerjaya ini dapat memastikan guru seronok menjalankan tugas dan memberikan perkhidmatan berkualiti yang berterusan.
3. NILAI INTEGRITI
Nilai intergriti merangkumi nilai murni yang boleh diukur dalam batasan pengetahuan, sikap dan tingkah laku. Integriti merupakan projeksi profesionalisme guru berkaitan dengan sifat berdisiplin, tekun, bertanggungjawab, optimis, berkepimpinan, sabar, kreatif dan inovatif. Justeru, guru perlu mempunyai integriti dan sikap profesionalisme yang tinggi.
4. KECERDASAN EMOSI
Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan empat aspek iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (JERI). Oleh itu, selain menjadi tenaga pengajar, seseorang guru juga perlu menjadi pembimbing kepada muridnya. Guru yang memahami dan berupaya untuk menguruskan emosi dirinya dan emosi pelajarnya akan berjaya menyelesaikan konflik dan masalah. merancang dan mengurus tugas harian, kreatif dan inovatif dalam pekerjaan serta berkeupayaan untuk membaiki interaksi dengan orang lain.
No comments:
Post a Comment