Sunday, November 7, 2010

TATA KELAKUAN DALAM PERKHIDMATAN AWAM

Untuk mencapai matlamat bagi meninggikan daya pengeluaran dan meningkatkan mutu kerja dalam sektor awam, syarat utama yang mesti dipenuhi terlebih dahuku ialah anggota-anggota perkhidmatan perlu mempunyai sifat-sifat yang bersih, cekap dan amanah. Faktor yang menjadi asas penerapan sifat-sifat tersebut ialah pendidikan dan latihan. Peranan institusi-institusi pendidikan memainkan pengaruh yang amat besar dalam pembentukan peribadi seseorang individu supaya berdisiplin dan berdedikasi.

Secara umum tatatertib atau disiplin ialah peraturan-peraturan yang dipersetujui oleh sesuatu kumpulan atau organisasi bagi mewujudkan suasana yang aman tenteram dan menjamin keharmonian ahli-ahlinya. Disiplin juga adalah cara berfikir yang teratur yang melahirkan sifat rasional, keyakinan diri dan ketabahan hati seseorang. Ia juga ada kaitan dengan tatasusila, keadilan, akhlak dan kesopanan.

Ini bermakna orang yang berdisiplin bukan sahaja mematuhi pelaksanaan yang dikehendaki oleh masyarakat tetapi juga mematuhi perlakuan yang diingini oleh masyarakat walaupun ia menyedari bahawa tidak mematuhi bukanlah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda atau dihukum. Contoh jenis perlakuan yang diharapkan oleh masyarakat ialah seorang individu itu menepati waktu, berinisiatif, rajin, bersedia membantu orang dalam kesusahan, berdisiplin dan menghormati orang lain.

Disiplin adalah perlu bagi sesuatu organisasi itu mencapai kestabilan dan objektif-objektif yang telah ditetapkan. Dalam perkhidmatan awam, peraturan-peraturan mengenai tatatertib adalah merupakan satu alat kawalan bagi mewujudkan pentadbiran yang boleh mendapat kepercayaan ramai dan memenuhi tugas dan tanggungjawab kerajaan dengan adil dan saksama. Tatatertib atau disiplin adalah asas utama bagi membentuk negara yang teguh, berdaulat dan mulia.

Tatatertib dalam perkhidmatan awam terkandung dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, (P.U.(A) 395). Peraturan-peraturan ini mengandungi peraturan-peraturan tentang kelakuan yang dibolehkan dan yang dilarang. Anggota-anggota perkhidmatan awam dianggap tahu tentang semua larangan tersebut dan sesiapa yang melanggarnya akan dikenakan tindakan tatatertib.

Tindakan tatatertib merupakan langkah-langkah yang terakhir bagi menghukum mereka yang didapati melanggar peraturan-peraturan yang berkenaan. Tindakan ini adalah bertujuan untuk memperbaiki gerak lakunya dan dalam masa yang sama dapat dijadikan pedoman atau panduan baginya dan bagi yang lain-lain di masa hadapan.

Peraturan-peraturan yang mengandungi peruntukan tentang tatatertib mula dipakai dalam awal tahun 1920'an di negeri-negeri Selat bersama-sama dengan "Colonial Regulations" yang berupa peraturan-peraturan bagi pegawai-pegawai yang berkhidmat di bawah takluk Inggeris di negeri-negeri yang dijajahnya. Pada tahun 1956, satu bab khusus mengenai Tatakelakuan dan Tatatertib yang mempunyai kuatkuasa undang-undang telah diperkenalkan untuk pentadbiran kerajaan di Tanah Melayu.

Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1956 ialah juga merupakan hasil daripada perakuan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Taylor yang dibentuk dalam tahun 1952 dengan tujuan untuk mengkaji perkara-perkara berhubung dengan keutuhan perkhidmatan awam. Dalam laporan yang diterbitkan pada tahun 1955 itu ia telah memperakukan antara lain penubuhan satu badan yang bebas untuk menyiasat perbuatan rasuah dan langkah-langkah untuk membenterasnya.

Peraturan-Peraturan Pegawai-Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Perintah Am Bab 'D') 1968 dan Peraturan-Peraturan Pegawai-Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Perintah Am Bab 'D') 1969 ialah perubahan kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1956. Pada tahun 1980 peraturan-peraturan ini digantikan oleh Perintah-Perintah Am Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Bab 'D') 1980 yang berkuatkuasa pada 17 Julai 1980.

Dengan pelaksanaan Sistem Saraan Baru mulai 1.1.1992, maka Perintah-Perintah Am Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Bab 'D') 1980 telah digantikan dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Peraturan-peraturan baru ini telah berkuatkuasa mulai 15 Disember 1993. Dalam kita hendak mengukur kedudukan tatatertib dalam perkhidmatan awam sebenar, tidak ada satu ukuran yang objektif bagi menentukan sama ada tatatertib pegawai perkhidmatan awam bertambah baik atau semakin buruk.

Keseluruhannya menunjukkan bahawa terdapat banyak sungutan dan aduan mengenai sikap dan tatakelakuan pegawai-pegawai awam, akan tetapi jumlah tindakan tatatertib yang diambil terhadap pegawai awam adalah sedikit bilangannya. Mengikut kajian dan penelitian Unit Tatatertib, Jabatan Perkhidmatan Awam, wujudnya keadaan demikian adalah disebabkan oleh beberapa faktor.

Antaranya adalah:-
1. Kerja-kerja yang berkaitan dengan penyelenggaraan tindakan tatatertib merupakan tugas sampingan dan taraf pegawai yang diberikan tugas itu biasanya tidak begitu kanan untuk menjadikannya berkesan. Dengan kata lain, keutamaan rendah diberikan kepada hal ehwal tatatertib jabatan kerana mungkin difikirkan banyak tugas-tugas lain yang lebih mustahak dan mesti diberikan keutamaan.

2. Sikap kebanyakan ketua yang disorong oleh nilai budaya masyarakat tempatan yang menganggap sesuatu tindakan yang tegas dan menjatuhkan hukuman kepada orang lain sebagai tugas seseorang hakim sahaja. Lain-lain ciri seperti mahu dianggap sebagai ketua yang penyayang, mahu disanjung atau takut akan tindakbalas mereka yang dikenakan tindakan. Ia merupakan penghalang kepada kawalan tatatertib yang berkesan.

3. Lambat atau teragak-agak untuk memulakan tindakan kerana kurang yakin tentang betul atau tidak tindakan prosedur yang harus diambil. Ini berpunca juga dari kurang kemahiran menyelenggarakan tindakan tatatertib.

4. Proses tindakan tatatertib ini berperingkat-peringkat dan keputusan itu kadang-kadang terlalu lama baru diperolehi. Oleh itu sebilangan ketua jabatan berpendapat tindakan tatatertib kurang berkesan.

5. Terdapat sebilangan golongan profesional yang menganggap masalah penyeliaan dan pengendalian tatatertib adalah menjadi tugas para pentadbir sahaja.

2 comments:

jeBateja said...

Tu dia...panjang nya...teman kerja kilang jerk...ahakz...

amalhaj said...

keje kat mane2 pon bleh... aseikan halal.... keje kilang pon ade yg bergaji besor dr keje ngan gomen....