Kita perlu tahu hala tuju bagi mencapai matlamat yang diingini. Bagi mencapai kejayaan, kita perlu merancang strategi kursus dan pelajaran. Sebelum merancang strategi pengajaran bagi mana-mana kursus, penting bagi kita memahami matlamat kursus dan mengumpul maklumat berkaitan pelajar kita.
Matlamat kursus adalah pengajaran topik yang ditetapkan dalam sukatan kursus, membantu pelajar menghadapi peperiksaan akhir atau membawa pelajar melalui program penilaian berterusan yang melayakkan pelajar menerima sijil kelulusan.
Lazimnya, salinan rekod akademik pelajar yang baru berpindah dari sekolah lain dikirimkan lebih awal lagi. Ini memudahkan guru membina profil setiap pelajar. Profil ini dapat membantu guru memahami keperluan setiap pelajar serta menilai potensi mereka.
SUKATAN KURSUS
Sukatan kursus memberikan panduan berkaitan perkara yang perlu selesai dipelajari dalam sesuatu jangka masa. Kebanyakan kursus berasaskan sukatan ditentukan oleh sebuah lembaga peperiksaan luaran. Pencapaian prestasi berdasarkan peperiksaan akhir tahun atau penilaian berterusan sepanjang kursus. Ada juga maktab dan sekolah yang menyediakan peperiksaan akhir dan program penilaian berterusan mereka sendiri.
SUKATAN PEPERIKSAAN
Bagi membantu pelajar menghadapi peperiksaan akhir, setiap topik perlu dibincangkan, diajar dan diulangkaji. Topik tambahan juga disediakan bagi memastikan kursus yang ditawarkan lebih seimbang.
PENILAIAN BERTERUSAN
Penilaian tugasan pelajar dilakukan berterusan sepanjang kursus, dan markah direkodkan. Sijil hanya dianugerahkan berdasarkan prestasi yang memuaskan. Pelajar dapat menulis semula tugasan yang kurang memuaskan bagi penilaian semula. Cara ini membantu kedua-dua pihak, iaitu guru dan pelajar menyedari tahap pencapaian dan kemajuan pelajar. Tekanan yang sering dirasai pelajar pada akhir kursus juga berkurangan kerana tiada peperiksaan akhir.
Sukatan yang disusun oleh pihak luar memberikan panduan berkaitan jumlah tugasan yang mesti dinilai serta kaedah pengiraan keputusan pencapaian. Apabila sukatan disusun oleh pihak sekolah, maka prosedur penilaian disediakan oelh kakitangan yang terlibat. Lazimnya mereka mengikut bentuk yang disediakan oleh pihak lembaga luaran. Sukatan yang disediakan oleh pihak sekolah sendiri mempunyai kelebihan, ia disusun supaya bersesuaian dengan keperluan kursus masyarakat setempat.
Sepanjang kursus, masa harus diperuntukkan bagi menyusun dan menilai sesuatu tugasan. Penilaian semula tugasan juga memerlukan masa dan pada masa yang sama perbincangan dengan pelajar hendaklah diatur supaya maklum balas tentang prestasi kemajuan dapat disampaikan dengan segera.
Pelajar juga memerlukan lebih masa bagi menyemaknya sebelum tugasan diserahkan. Tarikh untuk tugasan hendaklah dipatuhi oleh pelajar tetapi jika perlu, jadual penyerahan tugasan boleh diubahsuai mengikut keadaan. Walaupun bagitu, guru mesti memastikan semua tugasan diselesaikan sebelum kursus berakhir.
Hasil tugasan yang dinilai mesti dimaklumkan kepada pelajar sebaik sahaja selesai diperiksa kerana pelajar perlu mengetahui kemajuan mereka. Bahkan jika perlu, maklumkan keputusan penilaian dengan seberapa segera. Maklum balas segera mempunyai kesan terhadap pelajar. Selain kepuasan mengetahui kemajuan mereka, pelajar juga berasa yakin bahawa cara kerja guru mereka adalah tersusun.
Pengajaran juga boleh dirancang sehingga akhir kursus tanpa membuat persediaan peperiksaan akhir. Penilaian terakhir boleh dilakukan pada minggu akhir kursus dan keputusan dapat dikeluarkan dengan cepat. Jelas bahawa, perancangan awal adalah kunci kejayaan dalam semua jenis kursus, baik yang melibatkan peperiksaan akhir mahupun yang mempraktikkan penilain berterusan.
Perancangan awal terutamanya, dapat memastikan pengagihan tugasan yang seimbang dan mengelakkan perasaan terburu-buru ataupun panik dalam kalangan pelajar. Kemajuan yang stabil sepanjang kursus membuat pelajar berasa lebih selesa dan puas hati.
Pastikan semua pelajar menerima salinan sukatan kursus, terutama pelajar matang yang dapat memahami dan menghargai manfaat yang diperolehi setelah mengetahui sukatan yang diambil. Adakan perbincangan berkenaan sukatan kursus semasa pelajaran pertama pada awal kursus. jangan lupa membincangkan sukatan sekali sekala sepanjang kursus.
No comments:
Post a Comment