Persekitaran bilik darjah adalah suasana yang sudah sedia ada dan terpaksa diterima. Suasana penting bagi mewujudkan kerja berkualiti. Oleh itu, jika boleh dilaksanakan, kita perlu berusaha membuat sedikit perubahan bagi mewujudkan situasi pembelajaran yang lebih memberangsangkan.
SUSUN ATUR BILIK DARJAH
Ada kemungkinan, kita sudah diberitahu secara tidak langsung supaya tidak mengubah susunan kerusi meja di dalam bilik darjah. Walaupun begitu jika ada kelonggaran, kita perlu menyusun semula kerusi meja bagi menghasilkan situasi pembelajaran yang lebih menggalak. Sebelum membuat perubahan, pastikan dahulu dengan pihak berkuasa supaya timbul masalah kelak. Jika disuruh, susun semula seperti keadaan asalnya pada akhir masa pelajaran, hari persekolahan, akhir minggu ataupun penggal.
Ada bilik darjah yang susunannya lebih selesa. yang penting adalah guru senang berbicara dengan pelajar seorang semi seorang. Apabila mengajar sesuatu kemahiran, penting bagi seorang guru memerhatikan pergerakan pelajarnya sesuai dengan apa yang dikehendaki. Ini hanya dapat berlaku apabila ada dua lorong yang sesuai.
PENGGUNAAN LORONG
Guru menggunakan sepnuhnya lorong yang tersedia ataupun yang baru disusun atur. Guru tidak perlu bergerak dari tempatnya apabila menggunakan kaedah kuliah. Berlainan pula apabila menggunakan kaedah mengajar kerana guru perlu tahu apa sebenarnya yang dilakukan oleh pelajar. Tempat guru hanyalah bagi meletakkan alat bahan mengajar yang diperlukan dan sudut yang digunakan sepanjang masa pelajaran.
Lorong pula membolehkan guru berinteraksi dengan pelajar serta mendapat maklum balas segera berkenaan pengajaran yang sedang dijalankan. Selain itu, lorong ini dapat membantu menghapuskan rintangan yang wujud dalam banyak situasi pengajaran, iaitu "jurang pemisah" antara guru dengan pelajar. Guru yang kurang berpengalaman mungkin berasa lebih selamat berada di belakang "rintangan" ini, tetapi sudah tentu ini adalah halangan untuk maju ke hadapan.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, interaksi antara individu sangat mustahak. Sepanjang masa pelajaran, guru sering bergerak dan berulang-alik di lorong di antara tempat duduk pelajar bagi melihat apa sebenarnya yang dilakukan oleh setiap pelajar, melihat bagaimana pelajar mengurus dan menyelesaikan kerja dan berbicara dengan pelajar. Ini dapat membantu guru mengenali dan memahami pelajar, mengenal pasti keperluannya dan memberikan panduan yang sewajarnya. Pada akhir pelajaran, guru berpeluang berinteraksi dengan beberapa orang pelajar dan selepas dua ataupun tiga masa pelajaran, guru sepatutnya berinteraksi dengan setiap pelajar di dalam kelasnya.
Pelajar yang pemalu dan pemalas biasanya duduk di bahagian belakang ketika membuat kerja yang diberi oleh guru, atau seberapa jauh yang boleh daripada gurunya. Mereka berharap tidak diganggu dan dibiarkan membuat kerja sesuka hati mereka ataupun melakukan perbuatan yang mereka gemari seperti makan, berbual dan tidur. Peristiwa seperti ini memang sering berlaku, tetapi sayangnya tidak disedari oleh guru yang enggan bergerak dan mengawasi pelajarnya pada waktu mengajar. satu lagi faedah dalam kaedah penggunaan lorong ialah penjimatan masa dan penggunaan ruang yang berkesan, berbanding pelajar yang terpaksa berulang-alik ke meja guru.
KEADAAN FIZIKAL
Rutin pemeriksaan sebaik sahaja guru masuk ke kelas juga harus diamalkan. Rutin ini mengambil masa yang singkat sahaja. Periksa cahaya, suhu dan kualiti udara.
Keadaan fizikal ini mungkin di luar kawalan guru dan mungkin juga denganhanya memetik suis, membuka tingkap ataupun pintu, guru dapat memastikan adanya peredaran udara segar di dalam bilik darjah. Pembelajaran tidak dapat berlaku apabila pelajar kurang selesa dari awal lagi sebab terlalu panas atau terlalu sejuk atau kurang nampak kerana kurang cahaya. Sebenarnya, apabila melihat masalah yang dihadapi guru, ia sudah memadai dan tidak perlu ditambah lagi. Sudah menjadi kebiasaan, keadaan penghuni kelas terdahulu meninggalkan udara busuk untuk kelas selepasnya. Tidakkah guru sebelum itu menyedari tiadanya respons daripada pelajarnya yang mengantuk?
KELENGKAPAN BILIK DARJAH
Ada guru yang sebahagian besar masa mengajarnya dilakukan di dalam sebuah bilik darjah sahaja. Ada guru yang menggunakan bilik yang diagihkan mengikut mata pelajaran dan ada pula terpaksa menggunakan mana-mana bilik kosong bagi mengajar kelasnya.
Bilik darjah yang kosong dan lapang kelihatan muram dan menyedihkan. Suasana kelas seperti ini cepat mempengaruhi guru dan pelajar. Sering berlaku apabila guru terpaksa mencari sendiri bahan bagi menceriakan persekitaran kelasnya kerana tiada peruntukan wang disediakan. Satu cara menjimatkan wang kita adalah dengan meminta bahan untuk digunakan di dalam kelas daripada syarikat perniagaan dan juga sahabat.
No comments:
Post a Comment