Isu PBS: Beri kementerian tempoh setahun
PUTRAJAYA - [VIDEO] Suara
Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM) hari ini meminta guru memberi tempoh
setahun lagi kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam
menyelesaikan permasalahan berkaitan sistem Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (PBS) dan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
(SPPBS).
Ketua Gerak Kerja SGMM, Norizzat Mohd Johari berkata demikian selepas
selesai persidangan meja bulat yang berlangsung antara NGO itu dengan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hari ini.
Beliau berkata, KPM telah memberi jaminan akan menyelesaikan masalah
berkaitan proses pelaksanaan dasar tersebut yang memberi bebanan kepada
tenaga pengajar.
"Kita adakan perbincangan tadi dengan KPM, kita telah temu titik persefahaman mengenai perkara tersebut.
"Ini bukan dasar yang tak bagus, tapi masalah kecairan maklumat yang
berlaku, ia tak sampai atau salah faham dari segi penyampaian maklumat.
"Kita tahu PBS memang bebankan guru setelah tiga tahun masih mempunyai
kelemahan, namun kita perlu bagi tempoh satu tahun lagi kepada kerajaan
untuk menambahbaik dasar yang sedia ada," katanya pada sidang media di
pekarangan lobi KPM.
Mengulas lanjut, Norizzat berharap, persefahaman yang dicapai dapat menyelesaikan isu yang membelenggu guru-guru di Malaysia.
“Tujuan utama perbincangan ini kita nak cari penyelesaian. Cuba cari
titik persefahaman untuk kurangkan beban tugas guru sekali gus membantu
pelajar yang nak menghadapi Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah
Rendah (PBSMR), tahun depan.
“Kita harap akan ada perbincangan lebih lanjut untuk selesaikan isu
berbangkit melibatkan sistem pendidikan kita,” katanya Norizzat.
Tambahnya, melalui perbincangan meja bulat itu juga membuka ruang
kepada guru-gur untuk menzahirkan pandangan mahupun idea mereka bersabit
dasar pendidikan yang dilaksanakan oleh kementerian.
"Kita telah menemui titik pertemuan, kita bertemu dengan kementerian
hari ini, Alhamdulillah kita telah dapat membuka tembok halangan kepada
guru untuk memberi pandangan atau mengkritik dasar KPM yang membebankan.
"Masalah dengan berkaitan pelaksanaan itu sendiri, sebenarnya perkara
itu mudah, bukan saya berpihak kepada KPM atau goyang dengan pendirian
kami, tapi benda ini mudah dan sedikit masalah komunikasi, dan diakui
oleh kementerian.
"Pegawai-pegawai mereka sendiri akan berhubung dengan kita dan kita
akan menjadi 'platform' untuk memberi cadangan atau pandangan secara
berhemah," katanya.
No comments:
Post a Comment