Sekolah adalah institusi masyarakat yang dibina dengan tujuan tertentu bagi rakyat dan negara. Tujuan utamanya adalah untuk membentuk dan mengubah tingkah laku murid-murid atau pelajar ke arah yang dikehendaki. Guru memainkan peranan utama melaksanakan dasar dan tujuan pendidikan.
Seorang guru juga merupakan seorang ahli masyarakat. Disamping peranan dan tugasnya sebagai guru, dia dipengaruhi oleh kehendak masyarakat dan juga kehendak persekolahan. Oleh itu, gerak laku dan tindak tanduk guru sentiasa diperhatikan oleh masyarakat. Dalam masyarakat yang sedang membangun seorang guru diharapkan menjadi agen pembaharuan bagi masyarakat dan negara. Namun begitu, dalam usaha melaksanakan tugas tersebut, guru menghadapi beberapa halangan yang wujud di sekolah, masyarakat dan mereka sendiri.
Teori pendidikan menggariskan tiga aspek penting dalam pembentukan seseorang guru:-
1. Tahap pendidikan guru
2. Latar belakang pengetahuan yang hendak diajar
3. Kaedah atau cara ilmu pengetahuan disampaikan kepada muridnya
Guru yang mempunyai sahsiah yang baik akan dapat mempengaruhi pembelajaran murid-murid dengan berkesan sekali. Bagaimanapun, sifat ini agak sukar didapati. Sifat-sifat baik seorang guru umumnya adalah hasil latihan dan kesedaran hendak mencapai matlamat menjadi guru yang berwibawa.
Ilmu pengetahuan adalah alat utama guru. Ia harus disertai dengan kebolehan menyampaikan ilmu pengetahuan. Oleh yang demikian, seorang guru perlu menjalani latihan perguruan yang khusus. Kemajuan ilmu pengetahuan dan pendidikan telah membahagi-bahagikan kursus pendidikan mengikut bidang0bidang tertentu. Setiap bakal guru akan diberi kursus umum dan juga kursus utama sesuai dengan bidang ilmu pengetahuan dan jenis sekolah yang akan dipertanggungjawabkan kepadanya.
Pada hakikatnya seorang guru menjadi pengganti ibu bapa murid-muridnya dan paling utama menjadi contoh yang baik kepada murid-muridnya. Guru juga menjadi penasihat dan pembimbing murid-muridnya mengenai hal-hal yang bersangkutan dengan sahsiah, menjadi contoh kebudayaan masyarakatnya, penyebar nilai budaya rakyat dan pembentuk masa depan masyarakat dan negara.
Guru juga sewajarnya bersifat peramah dan mesra. Saling mempercayai dan tidak menaruh perasaan syakj wasangka terhadap orang lain. Seorang guru itu tidak harus menyalahkan orang lain tetapi sebaliknya perlu memikul tanggungjawab terhadap segala masalah yang timbul. Guru juga perlu mempunyai sifat lemah lembut, mempunyai kematangan emosi, boleh bertolak ansur tetapi tegas dan adil.
Selain daripada sifat-sifat tersebut di atas, guru juga harus mempunyai minat terhadap kesenian dan kesusasteraan, mengambil bahagian dalam aktiviti masyarakat sesuai dengan kecenderungan dan keahliannya. Seorang guru juga perlu berkomunikasi dengan baik dan yang paling penting ialah dia menyukai serta mengasihi muridnya. Murid merupakan orang yang paling rapat dan terpenting bagi seorang guru. Murid-murid sekolah rendah, pada umumnya lebih mendengar pesanan atau kata-kata gurunya daripada orang lain termasuk ibu bapa mereka sendiri.
Antara sahsiah guru yang disukai oleh murid-muridnya ialah berbudi bahasa, mesra dan mudah didampingi, suka bercakap dalam perjumpaan dan menyukai kanak-kanak. Selain daripada sifat-sifat tersebut, murid-murid amat menyukai bahkan menyayangi guru yang mudah tersenyum, tertawa dan pandai berlawak dengan baik. Guru juga harus suka memberi pertolongan dengan murah hati, jujur serta sabar. Guru perlu memperlihatkan minat terhadap semua muridnya, menghargai serta bersimpati atas usaha mereka di dalam pelajaran.
Sesungguhnya. guru yang bersahsiah tinggi bukan sahaja dapat menyampaikan pelajaran dengan berkesan bahkan dapat menawan hati murid-muridnya. Guru sekaligus menjadi penasihat yang berkesan dan dianggap sebagai wira, pemberi perlindungan, penyimpan rahsia dan kadangkala dianggap sahabat. Guru yang mesra dengan muridnya mudah menjadi ikutan murid-muridnya.
Di luar sekolah, guru itu dihormati oleh ibu bapa dan masyarakat setempat. Dengan demikian perhubungan antara guru, murid dan ibu bapa akan rapat dan akhirnya memberi kesan kepada perkembangan dan kemajuan pelajaran murid-muridnya. Guru yang dapat bekerjasama dengan ibu bapa, secara tidak langsung dapat pula memberikan pendidikan kemasyarakatan kepada masyarakat setempat. Natijahnya, secara beransur-ansur sikap mereka dapat diubah dan pendidikan kepada generasi muda dapat diberi dengan lebih berkesan.
Tugas utama seorang guru ialah mengajar. Menurut pandangan Islam, orang yang menjadi guru diberi oleh Allah s.w.t. kelebihan berganda. Hadis Nabi Muhammad s.a.w. bermaksud,
"Bahawa orang yang berilmu harus mengajarkan ilmu pengetahuannya kepada orang lain dan pekerjaan mengajar itu amat terpuji."
"Sekiranya Allah memberi hidayah hingga kamu dapat memberi pelajaran kepada seseorang, yang demikian lebih baik bagimu daripada memiliki dunia berserta sekalian yang ada di dalamnya."
Nabi Isa a.s. pernah bersabda, maksudnya,
"Barang siapa berilmu kemudian diamalkannya, baharulah dia disebut pembesar kerajaan langit. Bahawa Allah dan para malaikat berserta ahli-ahlinya langit dan bumi, sehingga semut di sarangnya dan ikan dan ikan di lautan, mengucapkan selawat kepada guru yang mengajar ilmu pengetahuan."
Kalimat guru berasal daripada bahasa Sanskrit bererti pemimpin jiwa. pendidikan rohani dan jasmani manusia. Tingkat lebih tinggi di gelar Maha Guru dan puncaknya Betara Guru. Berguru ertinya belajar daripada guru. Berguru atau mempelajari sesuatu perkara hendaklah dengan bersungguh-sungguh hingga dapat memahami apa yang dipelajari.
Berguru di padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.
Pada hakikatnya, seorang guru akan dipanggil guru selama-lamanya.Kata penggilan mesra kepada seorang guru ialah cikgu. Kebiasaannya, meskipun seorang guru telah bersara daripada jawatannya, panggilan cikgu akan tetap kekal digunakan orang sepanjang hayatnya.
2 comments:
cikguuu..... sampei mati pun oghang aakan panggei cikgu....mulia betoi koje cikgu ni....mendidik manusia.....
betui betui betui.....
Post a Comment