Tuesday, May 20, 2014

SOLAT JUMAAT DI MASJID NABAWI

HARI KE 7/28 MAC 2014 (JUMAAT):-
Badan masih letih, namun digagahi juga untuk solat Subuh berjemaah di Masjid Nabawi. Setelah solat Subuh, beredar ke hotel untuk merehatkan diri sementara menunggu solat Jumaat. Isteri pula berpeluang menunaikan solat Jumaat untuk kali kedua setelah melakukannya kali pertama semasa menunaikan iabadah Haji pada tahun 2005. Anak-anak begitu teruja ketika berada di Madinah sama seperti semasa mereka berada di Mekah.

 Masjid Nabawi 

Masuk awal ke Masjid Nabawi kerana kebiasaannya solat Jumaat jemaahnya akan melempah ruah sehingga ke luar masjid. Masuk awal kerana ingin menempatkan diri di barisan hadapan terutama kawasan Raudah atau pun di luar kawasannya. Meskipun ada jemaah yang terpaksa  solat Jumaat di luar masjid namun, keseluruhan kawasan luar masjid Nabawi telah siap dibina payung yang boleh menutup seluruh kawasan luar masjid dari cahaya matahari.
Payung di luar Masjid Nabawi
 
HARI KE 8/29 MAC 2014 (SABTU):-
Selepas sarapan pagi, kami dibawa melawat tempat-tempat bersejarah di sekitar Madinah. Antara tempat yang dilawati ialah Majid Quba, Masjid Qiblatian (Masjid Dua Kiblat), Jabal Uhud yang pernah berlaku peperangan Uhud dan kebun kurma. Lawatan berjalan lancar dan selesa kerana kumpulan kami cuma ada tujuh orang jemaah yang dipandu oleh Haji Wahyu (Mutawif) dan Haji Syukur (Pengurus Suka Jaya Travel & Tours Sdn. Bhd.).

Gambar Masjid Quba, Madinah
 Masjid Quba

Masjid Quba adalah masjid yang pertama didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. iaitu semasa hijrahnya Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekah ke Madinah. Manakala Masjid Qiblatain iaitu dikenali juga dengan nama Masjid Dua Kiblat. Peristiwa ini berlaku semasa Nabi Muhammad s.a.w. sedang solat, pada rakaat pertama dan kedua, baginda s.a.w. mengadap ke arah Masjidil-Aqsa di Juruselam, manakala pada rakaat ketiga dan keempat mengadap ke arah Masjidil-Haram di Mekah iaitu setelah mendapat wahyu dari Ilahi.

Masjid Qiblatain

HARI KE 9/30 MAC 2014 (AHAD):-
Kami diminta bersiap sedia untuk berangkat pulang ke Tanah Air. Selepas solat Subuh, kami mengemaskan semua pakaian ke dalam beg dan disusun setempat agar memudahkan kami membawa turun dari bilik hotel. Kami menunaikan solat Zohor di Masjid Nabawi. Selesai solat Zohor, kami melakukan Ziarah Wida' ke Makam Rasulullah sebelum bertolak ke Lapangan Terbang Jeddah.

Masjid Hudud

Sampai di Jeddah, kami sempat dibawa melawat Masjid Terapung. Masjid ini dibina di tepi Laut Merah. Ia kelihatan terapung apabila air pasang berlaku di Laut Merah. Disamping itu, kami juga dapat melawat Masjid Hudud. Di masjid inilah hukuman pancung dijalankan. Masjid ini juga dikenali dengan nama Masjid Qisas. Masjid ini sebenarnya telah didirikan oleh Syeikh Ibrahim Al-Juffali iaitu orang kaya di Saudi. Jadi, masjid ini juga diberi nama Masjid Syeikh Al-Juffali.

 Tempat hukuman pancung

HARI KE 10/31 MAC 2014 (ISNIN):-
Kami berlepas dari Lapangan Terbang Jeddah melalui penerbangan Qatar iaitu QR1185. Kami singgah sebentar di Doha sebelum meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur dengan QR846. Penerbangan Qatar boleh dianggap selesa dan memuaskan penerbangan kami. Kami selamat sampai di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) pada jam 12.30 pagi. Bas sudah sedia untuk membawa kami pulang ke rumah.

... Aziz, Jeddah, kami dibawa ke Masjid Terapung di Laut Merah Jeddah
 Masjid Terapung di Laut Merah

HARI KE11/1 APRIL 2014 (SABTU):-
Sampai di rumah pada jam 4.30 pagi. Sekali lagi terima kasih kepada adinda Mohd. Isa, adinda Khodijah (isteri adinda Mohd. Isa), anak mereka Mohd. Faiz dan Anakanda Mior Nasuha (anak kekanda Hasiah) yang sudi menunggu di R&R Simpang Pulai untuk membawa kami empat beranak pulang ke rumah. Alhamdulillah, kami selamat sampai di rumah setelah selesai menunaikan ibadah umrah.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

No comments: