Hari ini kami dibenarkan membuat aktiviti bebas iaitu tidak terikat dengan pihak pengelola. Sebelum subuh kami empat beranak menuju ke Masjidil-Haram untuk solat Subuh berjemaah. Setelah meninggalkan isteri di ruang solat muslimah, saya dan dua orang anak menuju ke dataran tawaf untuk mencari ruang solat. Kami dapat duduk di bawah pelantar tawaf dua tingkat. Ruang tawaf masih lagi penuh kerana ramai jemaah yang melakukan tawaf umrah dan tawaf sunat.
Seperti biasa, kami sekali lagi ke Masjidil-Haram untuk solat Zohor. Selepas solat Zohor, kami tidak balik ke hotel sebaliknya kami terus berada di masjid untuk melakukan ibadah-ibadat sunat yang lain. Solat Zohor biasanya kami mencari ruang yang agak terlindung dari cahaya matahari. Kami selalu mengambil tempat di bawah pelantar tawaf dua tingkat. Di situ biasanya ramai jemaah tertumpu dan terpaksa datang awal untuk mengambil ruang yang sesuai.
Kali ini kami memgambil keputusan untuk terus berada di masjid sehingga solat Maghrib dan Isyak. Selepas solat Asar, kami keluar daru masjid untuk mencari makanan. Makanan kegemaran kami adalah roti yang intinya diisi dengan daging cincang, telur hancur, ikan sardin atau ayam. Sebuku roti adalah cukup mengenyangkan dengan meminum air zam-zam. Selepas solat Isyak, kami balik ke hotel untuk berehat dan bangun pada jam 1 pagi untuk ke miqat bagi melakukan umrah sekali lagi.
HARI KE LIMA - 26 MAC 2014 (RABU):-
Selepas solat Subuh di Masjidil-Haram, kami pulang ke hotel untuk bersarapan pagi. Hari ini kami dibawa melawat Pasar Khakiah, ladang ternakan unta dan seterusnya ke Hudaibiyah. Kami dinasihatkan agar membawa pakaian ihram kerana kami boleh bermiqat umrah di Hudaibiyah. Apabila kami dibawa ke ladang ternakan unta, kami berasa was-was juga kerana pernah dinasihatkan agar mengelakkan diri dari melawat ke situ. Bagaimanapun kami bertawakkal kerana telah di bawa ke situ.
Sampai di Mekah sebelum Maghrib dengan berpakaian ihram. Menunggu selesai solat Isyak untuk melakukan tawaf umrah, saie dan bertahalul. Alhamdulillah dapat selesaikan umrah sekali lagi dan pulan ke hotel untuk berehat. Di hotel, kami mengemaskan semua pakaian kerana kami akan berangkat ke Madinah selepas melakukan tawaf Wida' iaitu tawaf selamat tinggal.
HARI KE ENAM - 27 MAC 2014 (KHAMIS):-
Kami dibawa ke Madinah dengan menaiki bas. "Check In Hotel" di Madinah. Hotel di Madinah adalah lebih dekat berbanding dengan hotel di Mekah. Ini mungkin disebabkan banyak pembangunan dilakukan di Mekah. lagi pun di Madinah suasana agak tenang. Tidak ramai jemaah yang memenuhi Masjid Nabawi. Ini dapat dilihat apabila kami dibawa ziarah dalam ke Masjid Nabawi. Kami berpeluang berada di Raudah untuk solat sunat. Setelah itu kami berpeluang menziarahi Makam Rasulullah s.a.w., Makam Khalifah Abu Bakar dan MakamSaidina Umar.
No comments:
Post a Comment