Aku berkira-kira yang PHD akan diperolehi pada hujung tahun ini 2014. Kalau nak dikirakan memang lambat aku dianugerahkan PHD tersebut sebab kalau sampai hujung tahun ini 2014 bermakna lebih lima tahun aku bertungkus lumus nak dapat sekeping sijil tersebut. Itu pun kalau boleh tunggu sampai hujung tahun ini, 2014. Bermakna ada lebih enam bulan lagi aku akan tertulis perkataan "Dr." diawal nama aku. Macam tak percaya je aku. Itulah pejam celik, pejam celik sudah nak habis pengajian aku. Alhamdulillah. Semoga berjaya. Inilah orang kata berkat dari kesabaran. Kalau tak sabar sudah lama aku cabut lari dan mungkin hanya sekadar "master" je (sarjana le tuh).
Fikir punya fikir, aku nak berubah angin lah pulak. Kalau sekarang aku mengajar di sekolah dan digelar "cikgu", apa kata aku memohon jawatan "pensyarah" yang aku dengar banyak universiti yang hendak didirikan oleh kerajaan. Di Perak ini sudah ada Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dulunya dipanggil Institut Teknologi MARA (ITM). Sudah ada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dulunya Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) menghasil keseluruhannya manusia yang dipanggil "cikgu". Bila sudah naik taraf jadi universiti, ramai graduannya yang masih menganggur. Kesihan, asalnya nak sangat jadi cikgu, itulah mohon belajar di UPSI.
Masa inilah perlu berfikir. Kalau aku mohon UiTM, tentunya akan bertugas di Sri Iskandar. Kalau mohon UPSI pastinya akan bertugas di Proton City. Itu pun kalau nak berkhidmat dalam negeri Perak. Kalau nak keluar dari Perak juga boleh. Kalau keluar dari Perak umpamanya di Pulau Pinang terkenal dengan Universiti Sains Malaysia (USM). Aku tulis tiga-tiga universiti ini bukan apa, sebab aku pernah menuntut ilmu di situ, UiTM, masa aku dulu ITM di Sri Manjung. USM memang terkenal dengan universiti dalam taman dan UPSI di Tanjung Malim. UiTM di Sri Iskandar aku tak sempat belajar. Begitu juga UPSI di Proton City.
Kalau aku tunggu selesai PHD aku, mungkin aku boleh mohon jadi pensyarah di sebuah universiti yang baru di Perak. Tempat pun memang menarik dan aku pun pernah berkhidmat di daerah ini selama lima tahun. Teluk Intan seakan-akan mengamit aku datang. Kalau dulu aku datang dan memberi perkhidmatan aku semasa masih bujang, kali ini kalau diizinkan Allah aku datang bersama keluarga aku. Sekurang-kurangnya bersama isteri aku kerana maklumlah anak-anak pun sudah besar akan membawa haluan masing-masing. Itu terpulang kepada mereka. Mereka akan berkeluarga dan pastinya akan menetap ikut pilihan mereka.
Teluk Intan adalah berasal dari nama Telok Anson. Sebelum itu memang dikenali dengan nama Telok Mak Intan. Siapa Mak Intan itu? Sama-sama kita cari. Menara Condong adalah sinonim dengan Teluk Intan. Sekarang Teluk Intan jauh berubah apabila dibandingkan dengan masa aku mula-mula sampai di Teluk Intan. Namanya pun masa itu masih dengan nama Telok Anson. Masa itu, penyanyi terkenal Jamal Abdilah mula popular setelah menjuarai pertandingan "Bintang RTM" (Kalau aku tidak silap). Aku pasal penyanyi ini memangnya kurang arif.
Bila Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, kerajaan Barisan Nasional berjanji akan membina sebuah universiti di Teluk Intan. Seronoklah orang Teluk Intan. Kalau dilihat pada lokasi yang sesuai, memang sesuai di ladang-ladang yang begitu luas di Teluk Intan. Lihat sahaja pembinaan Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) yang berdiri di tengah-tengah ladang kelapa sawit yang dikira agak jauh juga dengan bandar Teluk Intan. Bagaimana pun masih ada nama Teluk Intan pada nama universiti yang bakal didirikan melalui kempen PRK Teluk Intan.
No comments:
Post a Comment