KESAN TERHADAP PENGLIBATAN GURU DALAM POLITIK:-
Teman tertaghek ati macer satu artikel yang libat guru ngan politik. Artikel ato tulisan ini dituleh oleh Suhaizan Kayat selaku Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pusat. Tulisan ini dibuat dalam blog Bila Kentong Berbunyi pada 8 Ogos 2010 (Ahad). Pastuh baghu-baghu nih ada pula yang cadangkan libatkan gughu ngan politik, idea daghi UMNO ler pulak. Mengkomer macer pastuh fiki-fikio ler samer.
Kerajaan telah membuat pindaan Peraturan-Peraturan
Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan Siswazah(guru-guru) Gred
DG41 hingga DG 48 untuk bergiat aktif dalam politik mulai 1 Ogos 2010.
Ini bermakna bahawa 190,000 guru siswazah seluruh negara diberi
kebenaran bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana
parti politik. Pengumuman in telah dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara
Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
Pindaan ini dibuat kononnya bertujuan untuk mengembalikan tugas yang pernah diamanahkan kepada guru-guru seperti pada zaman awal kemerdekaan dahulu. Allahyarham
Tun Ghafar Baba dan rakan seangkatan dengannya telah berperanan secara
berkesan dalam politik tanah air selepas kemerdekaan.
Isu
halangan terhadap kakitangan kerajaan daripada terlibat dalam politik
bermula dalam negara kita ketika Dato Onn Jaafar yang menjadi Menteri
Besar Johor dalam masa yang sama mahu menubuhkan UMNO dan terlibat
secara aktif dalam politik. Maka berlakunya konflik kepentingan antara
British dan Dato Onn. Dato Onn mahu terlibat dalam UMNO untuk menjaga
kepentingan orang Melayu.
Dato Onn tidak mahu orang Melayu terus
dijajah. British pula tidak senang dengan tindakan Dato Onn yang selalu berselisih pendapat dengan mereka. Akhirnya
British memutuskan kakitangan kerajaan tidak boleh terlibat dalam
politik. Dato Onn telah melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar
Johor dan kemudian terlibat secara aktif dalam politik UMNO.
Matlamat Pindaan
Persoalannya,
mengapa baru sekarang pindaan ini dibuat dan apakah justifikasinya
terhadap kelangsungan kuasa parti pemerintah UMNO dan Barisan Nasional? UMNO menghadapi masalah ketandusan kepimpinan berkualiti di peringkat akar umbi. Pada
masa kini terdapat ramai para usahawan dan kontraktor sahaja yang
mengisi jawatan-jawatan penting di peringkat tersebut.
Tidak dinafikan
pejuang-pejuang UMNO di peringkat awal penubuhannya adalah terdiri
daripada guru-guru. Mereka adalah golongan yang berpendidikan dan sangat
rapat dengan masyarakat. Hujah kerajaan terhadap pindaan peraturan ini
juga nampak meragukan dan dilihat lebih untuk menyelamatkan UMNO. Pada zaman awal penubuhannya, UMNO ditunjangi
oleh bangsawan di peringkat atasan dan guru-guru diperingkat akar umbi.
Parti selain UMNO mempunyai pasaran yang berbeza.
PAS sebagai contoh
didokong oleh para Ulama diperingkat awal penubuhannya manakala DAP
didokong oleh kalangan profesional. MCA pula didokong oleh kumpulan
usahawan Cina. Oleh kerana kerajaan menggunakan hujah guru sebagai
tunggak kepada UMNO semasa era kemerdekaan maka rakyat boleh faham
bahawa UMNO memerlukan sentuhan semula guru-guru bagi menyegarkan
kepimpinannya. Matlamat pindaan ini pun bias
kepada kepentingan kelangsungan kuasa UMNO yang semakin terhakis
sekarang. Adapun lain-lain matlamat itu hanyalah penyedap rasa sahaja
bagi menghalalkan keputusan kerajaan sahaja.
Terdapat
perbezaan yang jelas umpama langit dan bumi di antara UMNO pada era
kemerdekaan dengan UMNO yang dipimpin oleh generasi kedua kelompok
bangsawan sekarang ini. Semasa awal penubuhannya UMNO bergerak bersama
denyut nadi rakyat demi memperjuangkan nasib mereka. Bermula daripada buah fikiran, semangat, halatuju sehinggalah ke peringkat perlaksanaannya
UMNO tidak lekang daripada mahu mendekati rakyat. Bukti kesungguhannya
apabila Tunku Abd Rahman Putra Al-Haj, Presiden UMNO yang kedua telah
menjual beberapa buah banglonya di Pulau Pinang bagi menampung kos
menuntut kemerdekaan. Apabila rakyat melihat kesungguhan pemimpin UMNO
maka hati rakyat menjadi hiba lalu apa yang ada ditangan diserahkan
kepada perjuangan UMNO.
Gelang, duit, jam tangan semuanya diserahkan
kepada perjuangan UMNO, perjuangan rakyat pada masa tersebut. Namun
segalanya telah berubah sejak Tun Dr Mahathir mengambil alih kepimpinan
negara. Dasar penswastaan ditambah dengan hasil petroleum yang lumayan
menjadikan UMNO lupa daratan. Semangat seperti era
kemerdekaan sudah tidak ada lagi dalam UMNO. Peranan ini telah diambil
alih oleh PAS. Apabila Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat membacakan ayat-ayat
Al-Quran berkenaan kelebihan berjihad, rakyat tidak kira parti politik
menyumbang kepada perjuangan rakyat. Itu hakikat yang telah berlaku.
Allahyarham Tan Sri Mohammad Rahmat sendiri merakamkan dalam bukunya,
detik-detik mengaibkan ketika UMNO dibatalkan.
Semasa mesyuarat penubuhan UMNO (Baru), Tun Daim menggunakan songkoknya
untuk memungut derma bagi penubuhan UMNO (Baru). Alangkah terkejutnya Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat apabila duit derma yang dikutip hanya
dapat berjumlah RM274 termasuk RM50 duit beliau sendiri. Itu derma
daripada hulubalang-hulubalang UMNO termasuk Tun Dr Mahathir yang
dianggap kedekut oleh Allahyarham.
Perubahan
yang berlaku dalam UMNO amat membimbangkan pemimpin UMNO sendiri. Tun Dr
Mahathir sendiri telah menyatakan betapa UMNO telah busuk sampai ke
usus. Tun Musa Hitam pun pernah berkata UMNO sudah terlalu tua. Tiada
ubat kepada penyakit tua kecuali mati. Rasuah
adalah menjadi punca utama mengapa UMNO dilihat busuk sampai ke usus.
Rasuah bukan berlaku dalam peringkat tertinggi sahaja tetapi sudah
sampai ke peringkat bahagian dan cawangan. Hampir tidak ada ahli UMNO
yang tidak dapat terlepas daripada wabak ini.
Dalam keadaan kekalutan
seumpama ini apalah yang boleh dilakukan oleh para guru yang berada di
bawah. Guru-guru boleh berperanan seperti zaman awal kemerdekaan kerana
perjuangan UMNO adalah perjuangan rakyat. Guru-guru yang berhati mulia
ini sudah tentu tidak boleh bersama UMNO lagi kerana UMNO sudah busuk
menanti masa untuk dikafan dan ditalkinkan. Kalaupun ada guru yang
tertarik dengan UMNO, tidak tahu berapa lama mereka boleh
bertahan dengan prinsip menolak politik wang. Bagaimana guru-guru boleh
tahan dengan godaan politik wang jika Ketua Cawangan, Ketua Bahagian,
Ahli Majlis Tertinggi, Naib-naib Presiden, Timbalan Presiden dan
Presiden sendiri menabur wang semasa pemililihan. Orang UMNO kata “No Money – No Talk”.
Guru-guru yang dibawa masuk akan disisihkan oleh UMNO sendiri jika mereka bertegas dengan prinsip menolak politik wang. Apa yang dikuatiri, guru-guru yang bersih umpama kain putih ini akan dicorakkan oleh politik wang yang ada dalam UMNO. Akhirnya rosaklah guru-guru ini akibat perbuatan UMNO. Secara
mudah rakyat boleh beranggapan kerajaan membuka peluang guru berpolitik
adalah untuk mengisi kekosongan kepimpinan berkualiti UMNO di peringkat
cawangan-cawangan. Bukanlah untuk kepentingan negara. Kehadiran
guru-guru ini diharap boleh memanjangkan kelangsungan UMNO menjadi parti
pemerintah.
Kesan Kepada Pendidikan Negara
Rakyat
Malaysia memahami bahawa tugas guru di sekolah semakin hari semakin
mencabar. Kenakalan pelajar sekolah sungguh menakutkan. Pergaduhan,
hubungan seks, anak luar nikah, dadah, buli, peras ugut dan segala macam
masalah anak muda remaja ini berada di sekolah sekarang. Ibubapa
menjadi resah dengan perkembangan yang berlaku. Dasar pendidikan yang
sering berubah-ubah juga menambah beban kepada para guru.
Tidak dapat
dinafikan pendidikan yang baik mestilah sentiasa responsif dengan
perubahan zaman tetapi perubahan yang dimaksudkan ada kalanya tidak
menguntungkan mana-mana pihak kecuali kroni sahaja contohnya isu
Pengajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dasar
dibuat secara tergesa-gesa akhirnya terpaksa dimansuhkan dengan
melibatkan kerugian jutaan ringgit duit rakyat. Dasar-dasar yang lemah
inilah yang telah banyak membebankan guru-guru. Akhirnya guru-guru
terpaksa membuat semua kerja di sekolah, daripada merangka bentuk
pengajaran dan pentadbiran sekolah sehinggalah tugas menghantar pelajar
sakit perut balik ke rumah pun menjadi tanggungjawab mereka.
Peruntukan
pendidikan yang telah dipotong oleh kerajaan juga telah membebankan
mereka. Ini sudah tentu menambah satu lagi tugas guru iaitu mencari dana
sekolah untuk menampung keperluan sekolah. Tanggungjawab seorang guru pada masa kini umpama rojak . Persoalannya, adakah peranan dalam politik yang bakal dibenarkan ini tidak akan menambah beban yang sedia ditanggung ?
Tugas
hakiki sekolah adalah untuk membentuk generasi muda negara menjadi
manusia berguna. Ada pun tugas-tugas lain seperti kemasyarakatan,
politik, ekonomi adalah tugas sampingan mereka. Maksudnya jika tugas
mendidik telah selesai bolehlah mereka menumpukan kepada perkara-perkara
lain. Guru-guru Gred DG45 hingga DG 48 adalah
guru-guru yang terlibat dengan pentadbiran di sekolah contohnya Ketua
Bidang, Penolong Kanan dan Pengetua sendiri. Ini bermaksud tugas
guru gred tersebut sudah tersedia berat di sekolah. Jika mereka
terlibat dengan politik maka tidak ada pilihan kecuali mereka terpaksa
melepaskan tanggungjawab pentadbiran di sekolah.
Guru-guru yang baik di sekolah akan diberi tanggungjawab besar dalam
pentadbiran. Jika mereka telah terlibat dalam politik maka kerja-kerja
pentadbiran sekolah terpaksa dikosongkan. Kekosongan ini akan merugikan
sekolah, guru-guru, pelajar dan ibu bapa kerana guru yang bekerja dengan
penuh dedikasi ini telah memberikan fokus mereka kepada politik.
Sungguh pun begitu, barangkali terdapat guru-guru yang sangat baik dari segi pengurusan masa dan tanggungjawabnya. Mereka yang mampu melaksanakan pelbagai
kerja dalam satu masa ini mungkin boleh dipertimbangkan untuk
berperanan dalam politik. Dalam hal ini adalah lebih elok tahap-tahap
penglibatan politik dibuat secara berperingkat seperti berperingkatnya
PPSMI dimansuhkan.
Bagi
membantu membangunkan masyarakat yang dilanda pelbagai penyakit sosial
yang semakin kronik pada masa kini, guru-guru yang berkualiti ini harus
didedahkan kepada sistem sosial masyarakat negara
ini secara berperingkat terlebih dahulu. Maksudnya pada tahap pertama
ini guru-guru tidak perlu terlibat dalam politik kepartian tetapi cukup
kepada mereka terlibat dalam aktiviti NGO dan pentadbiran komuniti di
peringkat akar umbi terlebih dahulu. Cadangan ini adalah lebih sesuai
dengan baki masa mereka di waktu petang dan malam. Contohnya aktiviti
surau, masjid, kuil, gereja, kelab belia, aktiviti kaum ibu, kebajikan
kampung, sukan, koperasi dan lain-lain lagi.
Pengiktirafan yang diterima daripada kerajaan sebelum ini sangat minima
sekali. Insentif-insentif yang lebih baik seperti elaun kemasyarakatan perlu di usahakan oleh pihak kerajaan bagi menjayakan agenda ini.
Masalah
utama dalam penglibatan parti politik adalah pengurusan masa. Mesyuarat
tergempar parti politik boleh dibuat pada jam 12 malam, kerja parti
politik boleh berterusan 48 jam tanpa henti, sumbangan orang politik
diperlukan tidak kira masa. Isteri yang tidak
biasa dengan jadual suaminya berpolitik akan merasakan lebih terseksa
daripada bermadu empat. Bayangkan tiga hingga empat hari tidak balik
rumah adalah perkara biasa bagi orang politik.
Orang politik tidak
pernah rehat kecuali mati. Ringkasnya jadual mereka sangat sukar untuk disusun. Kalau disusun pun boleh berubah pada bila-bila masa. Oleh
itu adalah lebih baik guru-guru ini diberi pendedahan yang semaksimanya
dalam aktiviti kemasyarakatan terlebih dahulu sebelum menceburkan diri
dalam politik. Adapun mereka yang telah lama terlibat dalam politik,
sudah memahami selok belok dalam dunia politik yang dibuat secara
senyap-senyap sebelum ini bolehlah diberi peluang dengan kawalan yang
sewajarnya daripada pihak kerajaan.
Kawalan ini bukan bermaksud jika
guru berhaluan UMNO diberi peluang tetapi guru dari PAS, PKR atau DAP
tidak diberi peluang. Kawalan yang dimaksudkan adalah kawalan bagi
mempastikan prestasi sekolah tidak terjejas akibat daripada penglibatan
guru dalam politik. Badan yang benar-benar dihormati dan telus perlu menilai kelayakan seseorang guru tersebut sebelum membenarkannya terlibat dalam politik.
Diskriminasi
Walaupun terdapat banyak peraturan yang memandu manusia untuk
menjalankan tugas tetapi peraturan ini tidak boleh terlaksana tanpa
manusia mengguna pakai peraturan tersebut . Pindaan peraturan yang
telah diluluskan oleh pihak kerajaan ini sangat mudah terdedah kepada
diskriminasi, terutamanya melibatkan isu-isu politik. Bayangkan jika ada
seorang guru yang cukup berpengaruh di Parlimen Pagoh di mana Menteri
Pelajaran menjadi ahli Parlimen di sana. Pelbagai aktiviti
kemasyarakatan telah dilaksanakan guru tersebut sebelum
ini sehingga menjadikan beliau sangat berpengaruh di kalangan penduduk
setempat.
Kebetulannya guru tersebut daripada parti pembangkang.
Kemudian guru tersebut memohon kepada pihak kementerian untuk terlibat
dengan politik. Apabila dinilai dalam borang permohonannya guru
ini akan bertanding di Parlimen Pagoh, apakah jaminan permohonannya
akan diluluskan oleh kementerian yang secara jelas akan menjejaskan
kepentingan ahli Parlimen Pagoh yang juga Menteri Pelajaran. Politik di
negara belum diasaskan oleh politik kasih sayang tetapi bergerak di atas
balas dendam. Pihak yang di atas akan menindas pihak di bawah. Pihak di
bawah pula akan memboikot pihak yang di atas pula.
Itulah putaran
politik dalam negara setakat ini. Sebab itulah politik negara kita masih
lagi mundur dibandingkan dengan negara-negara maju. Jika
tidak ada diskriminasi terhadap politik kenapa Dato Seri Anwar Ibrahim
tidak boleh berceramah dalam kawasan persendirian di Rengit, Batu Pahat?
Bukankah Parlimen Batu Pahat diterajui oleh Timbalan Menteri Pendidikan
Dato Fuad Zarkasi. Diskrimisasi terhadap royalti
petroleum Kelantan, royalti Kerajaan Negeri Terengganu ditukar kepada
wang ehsan, guru-guru yang menyokong pembangkang dihantar ke Sabah dan
Sarawak, pensyarah PAS di pecat tetapi pensyarah UMNO dibenarkan
bertugas dan negeri-negeri daripada Pakatan Rakyat telah ditohmah setiap
hari dalam media arus perdana. Itu semua sekelumit contoh diskriminasi daripada pelbagai diskriminasi yang bermaharajarela dalam negara kita.
Apabila
seseorang guru telah menjadi orang politik maka pergaulannya telah
melepas sempadan tembok sekolah. Maka ramailah kenalannya dalam politik
daripada ketua cawangan sampailah Presiden, daripada pegawai kerajaan
sampailah menteri. Apa yang dibimbangi, kelak
guru yang terlibat dengan politik boleh bersifat “besar kepala” dalam
sekolah jika Menteri Pelajaran pun boleh dihubunginya pada jam 1 tengah
malam. Maka ini akan menyusahkan pihak pentadbiran sekolah. Politik
dalaman sekolah telah menjadi isu besar selepas guru terlibat dalam
politik. Isu sebegini sememangnya menjadi masalah kerana budaya pilih
kasih, kroni, rasuah dan sifat pentingkan diri sendiri masih berleluasa
dalam negara kita.
Maka akan berlakulah diskriminasi peruntukan sekolah
berlaku selepas ini akibat daripada guru yang dibenar politik tidak
sehaluan dengan pengetua. Pengetua mahu sekolah maju tetapi malangnya
beliau tidak mempunyai hubungan politik yang luas . Guru yang dibenar
politik bercita-cita tinggi dalam politik maka isu prestasi sekolah
sudah tidak menjadi agenda penting dalam dirinya. Semua masalah ini akan
berlaku disebabkan manusia tidak disetuh hatinya dengan agama. Mereka
tidak meletakkan agama lebih penting daripada kehidupan dunia yang
sementara ini.
Bagi mengelakkan masalah
disriminasi ini maka hendaklah dipastikan politik dalam negara ini kita
berteraskan kepada kasih sayang mahu menjaga rakyat dan negara dengan
agama. Selagi agenda ini belum berjaya maka selagi itulah masalah
politik dalaman sekolah yang telah berlaku dan bertambah buruk selepas
guru dibenarkan terlibat secara aktif dalam politik.
Kesimpulannya Kerajaan
harus membetulkan matlamatnya untuk memberi kebenaran guru-guru
berpolitik. Jika matlamat adalah untuk menyelamatkan UMNO daripada karam
dalam pilihanraya ke-13 maka matlamat tersebut telah tersasar daripada
landasannya yang sebenar. Jika benar niatnya untuk guru-guru
terlibat dalam membentuk masyarakat di akar umbi maka lebih rasional
mereka dipandu dengan insentif yang lebih menarik untuk terlibat dalam
aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi .
Bagi guru-guru mampu
dan cukup memahami selok belok politik maka kebenaran melalui tapisan
dan pemantauan yang ketat diperlukan. Ini penting bagi mempastikan
institusi pendidikan sekolah tidak terbantut peranannya kerana guru
sibuk dalam parti politik. Pendidikan politik sihat perlu dimulakan
sekarang. Didik pemimpin dan rakyat menjaga negara dengan penuh kasih
sayang berlandaskan agama. Pendidikan ini boleh
mengelakkan diskriminasi dan politik dalam sekolah berlaku selepas ini.
Akhirnya kita sama-sama mempunyai tugas yang besar terhadap agama,
bangsa dan negara. Maka bergeraklah dengan bersungguh-sungguh bagi
mempastikan rakyat dan negara selamat dunia dan akhirat.
Suhaizan Bin Kayat
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat
No comments:
Post a Comment