Sunday, April 5, 2015

APAKAH KITA AMANAH?

Merujuk kepada Kamus Dewan, amanah ialah suatu sikap yang sepatutnya ada kepada seseorang. Amanah dikaitkan dengan sikap yang dapat atau boleh dipercayai. Bersikap jujur kepada semua pihak. Terdapat juga amanah yang merupakan sesuatu yang perlu disimpan dan diberikan kepada orang yang boleh dipercayai. Ia bukan sahaja yang berbentuk barangan malahan perkara yang diamanahkan itu boleh juga kepada pesanan dan nasihat.

Terdapat banyak tajuk-tajuk kecil yang berkaitan dengan amanah terdapat di dalam al-Quran. Antaranya ialah amanah mesti ditunai dalam surah al-Baqarah. Amanah jangan sekali-kali dikhianati melalui surah an-Anfal. Serahkan amanah kepada yang berhak dalam surah an-Nisa'. Begitu juga surah-surah lain yang menekan kepada amanah iaitu surah asy-Syura dan al-A'raf.

Ramai sering memperkatakan amanah dan sebagai, menerangkan maksud amanah diperkatakan di sini bahawa amanah itu merupakan suatu perkara yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia menentukan masa hadapan sesebuah masyarakat. Semua peranan yang dimainkan oleh setiap individu berkisar di sekitar amanah yang diletakkan ke atas dirinya. Manusia tidak boleh melepaskan dirinya dari menunaikan amanah yang telah dibebankan kepadanya oleh kehendak-kehendak kehidupan.

Kalau di atas ada diperkatakan surah-surah yang mengandungi penekanan mengenai amanah, di dalam al-Hadith juga ada perkara yang dikaitkan dengan amanah. Antaranya tidak sempurna iman seseorang tanpa sifat amanah yang diriwayatkan oleh at-Tabrani. Tidak amanah itu adalah satu tanda munafik riwayat oleh Ahmad Abu Asy-Syeikh dan menunaikan amanah itu adalah satu tugas yang berat.

Apabila diperkatakan menunaikan amanah itu adalah satu tugas yang berat, ia melibatkan tugas-tugas harian kita terutama kerjaya kita. Urusan-urusan pentadbiran yang merupakan satu urusan yang mesti dipelihara dan dikawal tanpa dicemari oleh unsur-unsur yang merosakkan. Setiap orang adalah bertanggungjawab untuk memperbaiki sebarang kerosakan yang berlaku dalam urusan pentadbiran kerana itu adalah satu amanah yang dipikulkan kepadanya. Setiap orang mesti menunaikan amanah kepada Tuhannya, dirinya, keluarganya , majikannya, negaranya dan masyarakat seluruhnya.

Betulkah manusia masa kini kurang amanah? Orang tua-tua dahulu lebih mempercayai seseorang dari orang masa kini. ini dapat dilihat melalui perjanjian-perjanjian yang termeterai masa dahulu banyak berfokas kepada perjanjian lisan berbanding dengan perjanjian masa ini yang lebih terperinci melalui perjanjian "hitam putih". Itulah timbulnya persoalan adakah orang dahulu lebih amanah dari orang sekarang? Kita kena mencari jawapannya agar kita tidak terhimpit dengan persoalan amanah atau tidak amanah.

Dahulu pun berlaku pecah amanah. Ini berlaku di dalam sesebuah organisasi. Lebih tepat lagi dalam sesuatu pentadbiran. Namun kini kejadian pecah amanah lebih hebat lagi. Kalau masa berlaku secara gelap namun sekarang terus berlaku secara terang-terangan. Kalau dahulu pecah amanah akan menerima hukuman yang setimpal jika didapati bersalah namun masa kini sering diperkatakan oleh ramai akan terlepas kerana adanya 'tangan-tangan ghaib' yang mencampuri urusan mahkamah. Jadi, apakah betul adanya perkara sebegini?