Thursday, April 16, 2015

SALING BERPESAN DENGAN KEBENARAN

Tujuan utama manusia dijadikan Allah ialah untuk beribadat kepada-Nya. Dunia ini dijadikan Allah sebagai gelanggang ujian atau dewan peperiksaan bagi manusia untuk melihat siapakah diantara hamba-Nya yang lebih baik amalannya. Untuk ini, Allah s.w.t. mengadakan pelbagai kejadian seperti tanah ladang, emas perak, pangkat dan darjat, lelaki dan perempuan, anak dan berbagai-bagai lagi untuk melihat apakah pengabdian menusia kepada-Nya akan berkesan atau adakah manusia mencintai Allah dan Rasul lebih dari segala perkara tersebut. Disamping itu manusia mempunyai sifat lupa dan lalai.

Oleh itu sentiasalah berlaku adil sesama manusia. Sifat yang sentiasa memberi nasihat wajar ada pada diri seseorang. Semoga semua nasihat dapat diterima dengan baik oleh sesiapa yang dinasihati. Untuk memberi nasihat, sifat jemu perlu dibuang dan kesabaran itu perlu apabila kita berhadapan dengan mereka yang menerima nasihat Ini jelas melalui firman Allah s.w.t. yang bermaksud:-
"Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."
(al-Asr: 2 dan 3)

Supaya manusia tidak lupa dan lalai dari matlamat hidupnya yang sebenar iaitu supaya patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya, maka perlulah kita sentiasa nasihat menasihati diantara kita semua. Ingat mengingati adalah amalan orang-orang yang beriman. Bagi orang-orang yang beriman nasihat yang diterima dibalas dengan terima kasih, jika nasihat itu diberikan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

Dalam kita menemui suau kemungkaran, kita wajar atau mesti memainkan peranan untuk memberi teguran atau nasihat. Ini perlu dilakukan agar sesuatu kemungkaran itu dapat dibendung atau dihapuskan. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:-
"Sesiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya (kuasa). Maka sekiranya ia tidak sanggup berbuat demikian maka hendaklah ia mengubah dengan lidahnya dan sekiranya ia juga tidak sanggup berbuat demikian maka hendaklah ia mengubah dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

No comments: